Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
MUKTAMAR Pas pada 21-23 Jun di Kuantan mengesahkan taawun (kerjasama) Pas-Umno serta parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh menerima dasar perjuangan parti itu.
Perkembangan ini bermaksud Pas dan Umno memasuki satu era baharu, yang jika dipandang dari satu sisi 'menjarakkan' lagi golongan (ahli dan penyokong) 'tunggu dan lihat' yang setia pada versi Pas atau Umno 'bentuk lama' kepada parti-parti itu.
Ringkasnya, orang Melayu jenis tunggu dan lihat ini adalah mereka yang tidak dapat menerima Pas dan Umno boleh 'berada dalam satu kelambu'. Ini kerana sejarah persengketaan kedua-dua parti adalah terlalu lama dan panjang, tetapi tup tup selepas kedua-duanya tidak berapa cemerlang pada PRU-14 lalu dan menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan, mereka menjadi 'ngam' pula!
Berdasarkan perkembangan semasa dan maklum balas, ramai sungguh Melayu 'jenis tunggu dan lihat' ini tetapi selepas Pas dan Umno sudah jelas membuat keputusan 'untuk bersama', rasa-rasanya tidak perlu lagi golongan ini tunggu lama-lama untuk membuat keputusan.
Ramai juga ahli Umno versi lama sudah meninggalkan parti tua itu - mereka seperti Dato' Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sudah menyertai Bersatu pimpinan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin manaka di pihak Pas tiada pula tertonjol nama-nama pemimpin besar mereka.
Bagi mengulas perkembangan Melayu jenis tunggu dan lihat ini penulis menemui tokoh politik merangkap ahli sosiologi yang banyak menulis mengenai orang Melayu, Dr Syed Husin Ali. Beliau mengingatkan orang Melayu jenis ini supaya jangan tunggu lama-lama.
Kepada orang 'totok' Umno, Dr Syed Husin berpesan supaya mereka menyoroti 60 tahun pemerintahan parti ini - pencapaian dan kegagalannya; kejayaan dan kerosakan yang dilakukannya terutama mutakhir ini...jika mereka berfikir secara serius dan betul tiada sebab untuk mereka tunggu lama-lama lagi.
Bertindaklah sekarang tetapi ke pihak mana yang mahu ditujui? Dr Syed Husin berkata hala itu boleh bermaksud parti-parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tetapi semuanya bergantung kepada prestasi HARAPAN itu sendiri.
"Jadi sekarang HARAPAN perlu buktikan bahawa ia ada parti-parti yang boleh digantungkan harapan...HARAPAN perlu lunaskan janji-janjinya kepada rakyat...ya semuanya bergantung kepada HARAPAN...jika mereka dapat buktikannya...tidak ada sebab untuk Melayu jenis tunggu dan lihat ini tunggu lama-lama lagi.
Sebenarnya 'laungan' kerjasama Pas-Umno bukan perkara baharu. Sebelum pilihan raya lalu, Umno yang cemas kerana tidak yakin komponen BN mampu menduduki singahsana Putrajaya membuat tawaran demi tawaran.
Pada PRU-14 kapal Umno karam terus, bagi bangkit dan menyelamatkan diri ia memaut bahu Pas. Kini kedua-duanya saling paut memaut untuk 'survival' (kesinambungan hidup) masing-masing. Terlupa atau sengaja melupakan kisah-kisah lalu. Bagi Melayu yang tunggu dan lihat terutama orang Pas tak mudah mereka melupakan kisah-kisah ini.
Untuk mengetahui betapa zalimnya Umno ke atas Pas tanyalah orang veteran parti itu. Sejarah mencatat betapa teruknya penganiayaan Umno sesama Melayu. Institusi pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) mereka hancurkan. Pada ketika institusi ini berkembang dan semakin berpengaruh untuk melahirkan bibit-bibit yang dapat menyambung perjuangan menegakkan Islam, mereka dicantas dan dilumpuhkan.
Mengapa pemimpin Melayu Umno (dulu) begitu berkobar-kobar meruntuhkan institusi yang memberi begitu banyak manfaat kepada orang Islam/Melayu sedangkan mereka 'berkokok' kononnya memperjuang nasib orang Melayu pada setiap kali perhimpunan agung parti Melayu terbesar di dunia.
Bukankah Pasti ini salah satu institusi orang Islam/Melayu? Jika mahu runtuh dan hancurkan 'harta orang Melayu' sendiri, ia menunjukkan betapa besar perasaan hasad sesetengah pemimpin Melayu Umno.
Kezaliman pemimpin Melayu Umno ketara apabila peniaga kecil Melayu di tepi-tepi jalan sering diusir, rumah setinggan Melayu kerap diroboh, tanah orang Melayu sering kali diambil dengan alasan ia untuk dimajukan dan anak-anak orang Melayu yang tidak menyokong 'parti Melayu terbesar di dunia' dinafikan hak untuk mendapat bantuan pengajian dan juga peluang pekerjaan serta tender.
Pemimpin Melayu Umno jugalah yang menghancurkan masa depan bahasa orang Melayu seperti memperkenalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sedangkan pada masa yang sama mereka mendakwa sebagai pendaulat bahasa.
Selagi pemimpin Umno tidak mengakhiri kezaliman sesama Melayu ini dan kembali kepada Islam yang syumul, selagi itu Melayu berpecah. Apabila kapal sendiri tenggelam, mengapa dipaut pula orang lain? Bagi orang Pas yang tunggu dan lihat, mereka hairan kenapa Pas tak serik-serik?