DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
SEBELUM Januari berakhir, saya menerima e-mel ini daripada Ketua Pengarang Suara Keadilan (SK), Saudara Najib Hashim: "Untuk makluman tuan SK hanya akan diterbitkan dua kali sebulan bermula bulan depan (Feb). Terbitan pertama pada pertengahan bulan (Rabu) 13 Feb, terbitan kedua pada (Rabu) 27 Feb. Jika berminat, artikel hendaklah dihantar pada Jumaat minggu sebelum tarikh 'deadline'."
Alhamdulillah dan terima kasih SK kerana mengundang saya terus menulis. Disebabkan pengurangan terbitan dan ruangan terhad, izinkan saya melalui kolum Sejenak Bersama LanH ini mencatatkan lebih banyak permerhatian saya seputar isu semasa daripada perbicaraan dan ulasan umum yang 'berlambak-lambak' terutama dalam media sosial.
Memulakan komentar sulung saya di akhbar dwi-mingguan SK era Malaysia Baharu (saya mula menulis di SK pada keluaran 27 April - 19 Mei 2006 dengan artikel bertajuk 'Peranan media alternatif perlu dikembalikan') adalah berkenaan gerakan #MalaysiaMembaca yang diinisiatifkan Kementerian Pendidikan yang dikepali Dr Maszlee Malik.
Dr Maszlee antara lain menyatakan hasrat Kementerian Pendidikan menjadikan rentang masa 10 tahun, iaitu 2021 - 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) lantas menjadikan Malaysia Negara Membaca 2030.
Sungguh murni cita-cita Dr Maszlee dan kementeriannya yang telah membicarakan matlamat, orientasi pelaksanaan dan cabaran termasuk memperkenalkan slogan dan tagar #MalaysiaMembaca; didoakan kejayaan beliau dan 'pasukannya' namun perlu diamat-amati tabiat membaca di kalangan awam terhadap buku dan bahan cetak kini merudum teruk.
Akhir-akhir ini saya kerap ke perpustakaan termasuk yang bertaraf negeri dan desa. Sungguh mendukacitakan jumlah pengunjung tidak memberangsangkan. Malah di sebuah perpustakaan desa, saya adalah satu-satu pengunjungnya selain seorang staf di kaunter!
Berhampiran rumah saya, saya ada sediakan sebuah perpustakaan mini, hampir tiada orang singgah. Akhbar-akhbar yang saya beli, anak-anak tidak menunjukkan minat membaca. Di almari-almari masjid yang disediakan pelbagai buku dan majalah agama, hampir tiada yang sudi menjengah.
Demikianlah anggota masyarakat kita terutama generasi muda hampir tiada minat membaca bahan cetak. Mungkin hanya buku teks sekolah terkecuali. Sekarang ini anak-anak muda, hatta 'mak dan bapak orang' pun sibuk akan gajet elektronik masing-masing. Hampir 24 jam berkepit dengan 'handset' - hatta dalam kenderaan awam semua 'khusyuk menunduk' melihat 'toy' (istilah diberikan 'Mat Salih') - hampir pupus insan yang membaca akhbar apatah lagi buku!
Lantas apa sudah jadi dengan bahan cetak kita? Buku kurang sambutan; jualan akhbar dan majalah merudum teruk, malah ada ditutup. SK mengurangkan terbitan, baru-baru ini akhbar Tamil Nesan iaitu antara akhbar tertua di Asia Tenggara ditutup selepas 96 tahun beroperasi. Demikian juga akhbar Malay Mail dan sejumlah majalah, misalnya Anis dan Hidayah yang saya langgani.
Nah, dalam situasi begini, Kementerian Pendidikan mahu menjayakan gerakan #MalaysiaMembaca. Tentunya pendekatan yang perlu dilakukan 'bukan biasa-biasa saja'. Mesti ada 'usaha luar biasa' - ya kita perlu lakukan banyak pengorbanan kerana kita seolah-olah 'menongkah arus'.
Definisi membaca tidak harus dihadkan kepada bahan cetak kerana kebanyakan orang zaman sekarang membaca melalui peralatan elektronik - hatta pada majlis tahlil dan bacaan Yasin pun sesetengah tok imam dan hadirin membaca dengan melihat 'gajet' masing-masing. Ya, didiklah anak-anak ikut zaman mereka bukan ikut zaman kita! Kita perlu berkorban bagi melakukannya.
No comments:
Post a Comment