Sunday, December 10, 2017

Pendidikan 'percuma sebenar' menjadi dambaan rakyat

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)

SEBAGAI bapa mempunyai anak bersekolah yang akan 'bergelut' bagi melunaskan pelbagai yuran dan bayaran apabila sekolah dibuka awal Januari depan, saya  'terkedu dalam kepiluan' apabila seorang anggota Parlimen BN dari sebuah kawasan luar bandar, 'tergamak' mendabik dada menyatakan pendidikan negara adalah percuma.

Katanya, pendidikan negara dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah boleh dikategorikan sebagai percuma kerana kerajaan membiayai kos pendidikan pada kedua-dua peringkat itu.

Saya tidak tahu apa maksud beliau dengan ungkapan 'boleh dikategorikan sebagai percuma' sedangkan hakikatnya saya sebagai seorang bapa perlu menyediakan ratusan ringgit untuk seorang anak apabila sekolah dibuka nanti.

Seorang adik saya yang mempunyai tiga anak di sekolah rendah dan menengah (dua orang di sekolah berasrama peringat menengah dan seorang sekolah rendah) berkata selepas 'dicongak' jumlah wang perlu disediakan kira-kira RM3,000! Itu belum termasuk pakaian dan peralatan sekolah.

Bayangkanlah RM3,000 perlu disediakan untuk tiga anak; bagaimana mereka yang mempunyai ramai anak dan ada daripadanya berada di universiti. Ertinya sekarang ini hakikatnya untuk menghantar anak-anak ke sekolah memerlukan wang yang banyak...tetapi bagaimana seorang ahli Parlimen dari kawasan luar bandar pula boleh berkata pendidikan adalah percuma...ya percuma apa namanya jika mak bapak terpaksa 'perhabis' (bergolok gadai) untuk menghantar anak ke sekolah. 

Turunlah ke lapangan wahai YB, jangan 'syok' terikut-ikut dengan cakap perdana menteri dan menteri yang dari dulu sampai sekarang, mendendangkan bahawa pendidikan adalah percuma. Dulu pada tahun 2007, perdana menteri ketika itu mengumumkan yuran sekolah dimansuhkan, pelbagai pihak termasuk menteri dan media massa mendendangkan bahawa pendidikan sekolah rendah dan menengah adalah percuma.

Tetapi apakah sebenarnya ‘pendidikan percuma’ itu? Ia adalah pemansuhan yuran tahunan sekolah bernilai RM4.50 bagi peringkat rendah dan RM9 bagi sekolah menengah. Demikianlah, berapa ramai ibu bapa terkedu dengan ‘sandiwara’ hebat ini; mahu tidak mahu terpaksalah mereka menyeluk poket masing-masing membayar ratusan ringgit bagi seorang anak (yuran perlu dibayar pada sekolah biasa dan sekolah agama) apabila sesi persekolahan bermula.

Beberapa tahun selepas sandiwara ‘pendidikan percuma’ itu, menteri mencadangkan ibu bapa tidak perlu mengeluarkan banyak wang apabila sesi baru persekolahan bermula, ada sekolah menerima RM1.50 saja, kebanyakannya tidak sampai RM50 kerana yuran boleh dibayar melalui PIBG yang selagi belum bermesyuarat tidak perlu membuat pembayaran; waduh begitu baiknya pihak berkenaan. 

Hakikatnya melalui mesyuarat PIBG, yuran ditetapkan adalah tinggi, membabitkan puluhan ringgit membawa kepada ratusan ringgit bergantung kepada sekolah.

Secara kebetulan ketika ibu bapa pening-pening lalat untuk mengeluarkan ratusan ringgit sebagai yuran persekolahan tidak lama lagi ada anak-anak remaja mereka terpilih melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka gabra sungguh kerana kos ke IPTA bukan murah, seorang anak mungkin memerlukan RM1,000-RM2,000; ya bagaimana mereka mahu ‘cekau’ ribuan ringgit itu?

Jika anak-anak mendapat tempat di IPT berdekatan, kuranglah sikit kos seperti pengangkutan; tetapi jika mendapat tawaran ke ‘hujung dunia’ bagaimana? Ada yang tinggal di ibu kota mendapat tawaran di Perlis, ada pula dari Sabah dan Sarawak perlu ke Semenanjung dan ada sebaliknya; tidakkah kos pengangkutan saja membabitkan perbelanjaan ratusan malah ribuan ringgit?

Demikianlah betapa ‘sedap’nya bagi sesetengah pihak menyatakan pendidikan percuma, hakikatnya mereka yang ramai anak tahu keperitan yang terpaksa ditanggung. Namun banyak ibu bapa rela berkorban, mereka bergolok gadai, menjual tanah sekangkang kera atau berhutang sana sini bagi melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Oleh itu, tidakkah terasa ‘bagi mereka di atas sana’, memperuntukkan sebahagian kecil kekayaaan negara bagi menyediakan pendidikan yang benar-benar percuma, jauh daripada permainan politik busuk dan hanyir serta berkepentingan sendiri. 

Masa depan negara bergantung kepada generasi mudanya. Mereka wajar mendapat pendidikan terbaik termasuk bimbingan kerohanian bagi membolehkan generasi akan datang memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan tanah airnya.

Namun demikian, kos pendidikan semakin lama semakin tinggi (bukan percuma seperti didakwa), suatu hari nanti dikhuatiri tidak mampu ditanggung golongan sederhana sekalipun. Perkembangan ini sungguh membimbangkan kerana pendidikan sebenarnya adalah keperluan asas yang didambakan setiap rakyat.

Mengapa kos yang dikenakan ke atas anak bangsa berterusan naik sedangkan negara didakwa sebagai paling berkembang maju dan dinamik di kalangan negara-negara sedang membangun? Malah ada pemimpin mendakwa Malaysia sudah mencapai taraf negara maju.Hakikatnya, di banyak negara maju seperti Britain, pendidikan adalah percuma sedangkan ibu bapa di negara kita dikenakan bayaran yang berterusan bertambah pada sesi baru persekolahan. 

Wahai YB yang mendakwa pendidikan di sekolah Malaysia adalah percuma, bolehkah YB (dan mereka yang 'sewaktu' dengannya) memberi jaminan anak-anak saya (kami) tidak perlu melunaskan apa-apa yuran atau membuat bayaran apabila sesi persekolahan bermula awal Januari 2018 nanti? Kalau cakap percuma biarlah BENAR-BENAR percuma jangan menepati pepatah 'siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama nanti jadi menteri'!

No comments: