Monday, November 6, 2017

Bersedialah hadapi 'ibu segala perbelanjaan'...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)

PERDANA Menteri Najib Razak yang kelihatan sentiasa 'ceria' tatkala membentangkan Belanjawan 2018 yang disifatkannya sebagai 'ibu segala bajet' pada 27 Oktober lalu, mengambil kesempatan 'menyindir', 'menghiris' dan 'memukul habis' pembangkang dengan kisah 'Kak Wan' versinya.

Sebagai ketua kerajaan, ambillah peluang itu sepuas-puasnya kerana ini adalah perbentangan belanjawan terakhir sebelum pilihan raya umum ke -14 (PRU-14) yang mungkin menyaksikan sang penguasa terpelanting daripada kerusi kuasa...ya selepas ini tiada lagi peluang untuk menunjukkan aksi sama...ingat-ingatlah wahai semua bahawa kehidupan ini bagaikan pusingan roda - ada kalanya di atas ada kalanya di terperosok di bawah sana!

Jika pihak pemerintah sudah mengemukakan bajetnya, bagaimana belanjawan rakyat untuk menghadapi tahun baru 2018 yang akan muncul tidak lama lagi? Bersedia wahai semua termasuk diri ini kerana berdasarkan 'bahang' kehidupan sukar sekarang ini akan terpercik juga pada tahun baru.

Ya, tahun 2017 akan melabuhkan tirainya, sebulan dua lagi jendela 2018 dibuka. Sesuai dengan tahun baru, tentulah ramai yang bersemangat baru. Kebanyakan daripada kita berharap melalui tahun baru dari sudut positif. Walaupun demikian, banyak daripada peristiwa yang dialami menjelang tahun baru menunjukkan sesuatu yang negatif. 

Satu perkara yang kerap dikaitkan dengan tahun baru ialah permulaan sesi persekolahan. Berhubung perkara inilah banyak ibu bapa yang 'pening-pening lalat' bagi memenuhi keperluan anak-anak. Jadi bersiap sedialah mulai sekarang, jangan apabila sekolah dibuka baru nak 'diraba sana sini' (maksudnya dari segi kewangan).


Perbelanjaan untuk menyekolahan anak-anak pada zaman ini apatah lagi 'pada era GST' bukannya murah. Sekarang tidak lagi sesuai untuk berkata: "Cikgu saya serahkan anak saya ini pada cikgu, pandai-pandailah cikgu buat apa-apa yang baik ke atasnya." 

Sekarang 'penyerahan' dilakukan dengan wang ringgit. Sekalipun pihak berkuasa kerap menguar-uarkan yuran persekolahan sudah dimansuhkan hakikatnya banyak wang perlu dikeluarkan. Untuk membereskan yuran seorang anak saja sudah menelan belanja puluhan atau ratusan ringgit. Bayaran itu termasuklah pelbagai yuran seperti yuran komputer, yuran padang, yuran MSSM, yuran PIBG, yuran perpustakaan dan yuran kertas perperiksaan. 

Bagi yang pertama kali menghantar anak ke sekolah, jangan terperanjat jika melihat pada 'book list' (biasanya diserahkan kepada murid sebelum cuti sekolah) kanak-kanak itu dinyatakan yuran PIBG adalah sebanyak RM50 atau RM100 manakala yuran komputer adalah RM20 atau RM50. 

Seseorang anak yang bersekolah rendah bukan saja menghadiri sesi pagi tetapi juga sesi petang (sekolah agama). Yuran untuk sekolah agama lain pula daripada sekolah pagi. Demikian juga pakaiannya, begnya dan juga bukunya. 

Demikianlah betapa beratnya bebanan ibu bapa hari ini. Jika untuk seorang anak, terpaksa dibelanjakan RM300 (jika ke asrama penuh mungkin lebih RM1,000), hitunglah wang yang perlu disediakan untuk menyekolahkan lima orang anak, atau pun lapan orang anak. Jumlahnya tentulah tersangat memeningkan ibu bapa. 

Selain itu bagaimana dengan tambang bas sekolah, duit belanja harian dan sebagainya...ya ibu bapa semakin pening nampaknya. Selepas termenung memikirkan belanja anak-anak, ibu bapa boleh merenung pula perbelanjaan yang membabitkan diri mereka pula. Harga barangan keperluan sentiasa naik, demikian juga kadar tol lebuh raya dan tambang pengangkutan awam.

Tidak cukup dengan itu, tarif kemudahan awam ada kemungkinan dinaikkan. Jika 'semua' naik, tentulah sewa rumah, sewa kedai, sewa pejabat dan 'segala' macam sewa juga akan naik. Demikianlah betapa rakyat begitu tertekan dewasa ini. Malangnya mereka tidak bersuara. Mereka adalah golongan majoriti, kata orang putih 'the silent majority'. 

'The silent majority' inilah yang perlu disuntik semangat mereka untuk bangun menyuarakan ketidakpuasaan hati mereka terhadap pembahagian kekayaan negara yang tidak adil. 

Jika negara (seperti Petronas) dikatakan mencatat keuntungan berbilion-bilion ringgit, kenapa tidak salurkan wang itu untuk membayar 'yuran komputer' setiap murid di seluruh tanah air. 

Kenapa wang keuntungan berbilion-bilion ringgit firma berkepentingan kerajaan tidak boleh disalurkan untuk membayar yuran perpustakaan untuk semua murid. 

Demikian juga kenapa kerajaan tidak boleh membayar yuran sukan dan yuran padang anak-anak sedangkan kerap dihebohkan negara mahu melahirkan atlet berwibawa? 

Pada tahun baru, diharap-harapkan rakyat tidak lagi digula-gulakan dengan cerita keuntungan besar (berbilion-bilion ringgit) syarikat milik kerajaan melalui media massa tetapi hakikatnya kebanyakannya terpaksa mengikat perut untuk menunaikan tanggungjawab asas seperti menyekolahkan anak-anak terutama pada awal tahun. 

Ya, tahun baru akan menyaksikan ibu bapa menghadapi ujian ibu segala perbelanjaan! Ceritanya sama saban tahun kerana pemerintah negara adalah daripada parti sama; apa kata pada PRU-14 nanti kita buat perubahan!

No comments: