Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)
Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)
SEKARANG ini heboh isteri seorang negarawan mendakwa suaminya sebagai penyebab dia tidak bertudung. Berhubung perkara ini teringat saya syarahan seorang ustaz pada bulan Rabiulawal ketika ini betapa perlunya setiap orang mendapat syafaat Rasulullah s.a.w. yang mulia pada hari kiamat.
Katanya, pada hari itu, keadaan gegak gempita dan kelam kabut, setiap orang membawa hal masing-masing. Suami melarikan diri daripada isteri, sang isteri melarikan diri daripada suami, anak melarikan diri daripada ibu bapa - semua orang 'nafsu nafsi', berusaha menyelamatkan diri masing-masing. Saudara-mara, sahabat handai, semuanya tidak dipeduli lagi.
Hatta pada ketika itu Nabi-Nabi pun dalam ketakutan. Manusia mencari-cari sang penyelamat, insan mulia itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Namun adalah amat malang dan memilukan, pada saat-saat genting itu, Nabi Muhammad s.a.w. berkata kepada sesetengah manusia sebanyak tiga kali yang bermaksud: "Aku tak kenal kau..." disebabkan cara hidup kita di dunia termasuklah sombong (tak mahu) berselawat kepada baginda s.a.w.
Kata sang ustaz penanggungnan orang lelaki tersangat dahsyat. Di dunia empat 'kategori' wanita perlu dibereskan tanggungjawabnya jika tidak dia akan dihumbankan ke neraka, nauzubilah. Mereka ialah ibunya, isteri, anak perempuan dan saudara perempuan yang belum atau tidak berkahwin.
Tanggungjawab kepada isteri amat berat. Kata ulama isteri terlahir daripada keluarga yang berbeza dengan suami. Jika isteri tidak mendapat didikan secara Islami, maka suamilah yang bertugas dan berkewajipan mendidik, mengarah dan membimbingnya sesuai dengan ajaran Islam.
Suami memiliki tanggungjawab penuh atas segala perbuatan isterinya. Jika isteri dibiarkan tidak ibadah, tidak mahu menjaga lisan, dibiarkan memutus silaturahim dengan keluarga, tidak mampu mendidik anak-anaknya, maka suami pulalah yang bertanggungjawab atas dosa-dosa isterinya.
Maka kata ulama, bimbinglah isteri ke jalan yang Allah redai, nasihatilah dia ketika dia salah, ajaklah ia berbuat baik, didiklah dia menjadi ibu yang bertanggungjawab kepada anak-anak dan rumahnya, ajari dan tanamkan nilai-nilai agama pada dirinya. Jangan sampai berasa bosan dan lelah kerana ini adalah tugas dan kewajipan sang suami.
Kata sang ustaz, di akhirat nanti mereka yang ada hubungan akan mendakwa-dakwi sesama sendiri, Suami dakwa isteri, isteri dakwa suami, anak-anak dakwa ibu bapa dan sebagainya.
Mengenai perkara ini, perkembangan terbaru politik tanah air kita, isteri seorang negawaran di dunia lagi sudah mendakwa suaminya tidak membenarkan dia bertudung. Siang-siang dia sudah letakkan kesalahan di pundak suami.
Di akhirat, dakwa-dakwi akan berlangsung di depan Allah SWT. Macam mana kita mahu jawab dan sorak muka kita. Itulah ingatan untuk kita semua, kalau kita mahu selamat dunia dan akhirat ikut dan amal ajaran Islam keseluruhannya termasuk hal membabitkan suami isteri.
Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman, bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (QS. At-Tahrim: 6)
Ulama berkata, jika tidak ingin terseret oleh api neraka kerana perbuatan wanita-wanitamu maka, jadilah laki-laki yang berilmu dan beragama. Sehingga kau akan tahu betapa beratnya memikul segala dosa yang dilakukan wanita-wanita yang berada dalam tanggungjawabmu. Ibu, isteri, anak perempuan dan saudara perempuanmu adalah tanggungjawabmu yang kelak Allah akan minta pertanggungjawabanmu terhadap mereka selama hidup di dunia.
Seorang tok guru berkata didiklah isterimu dengan ilmu dan cara hidup agama sebaik selepas menikah, kerana ketika itu dia amat menyayangimu lantas dia akan ikut apa saja tetapi kalau kamu baru mahu melenturnya selepas 10, 20, 30 tahun berkahwin, dia sudah keras lantas kamu memerlukan kesabaran dan pengorbanan tersangat besar.
Biasanya, ketika baru berkahwin, kita 'rock', isteri pun 'rock' (kedua-duanya kurang kefahaman agama) selepas 20, 30 tahun baru ada yang insaf seperti isteri mahu pakai tudung tetapi suami masih tak insaf-insaf, dia naik darah jika melihat isteri cuba menutup aurat sepenuhnya.
Kesimpulannya, kata tok guru, "wahai anak-anak muda 'mailah' (marilah) belajar ilmu agama sebelum berkahwin." Kalau si lelaki ada ilmu tentunya dia akan pastikan isterinya menutup aurat sepenuhnya manakala kalau perempuan berilmu tentu dia tahu tak boleh taat perintah suami jika disuruh bermaksiat seperti mendedahkan aurat!