Saturday, October 12, 2013
Anak sungai lagikan berubah...
******************Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*******************
Renungan
********************
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Surah Al-Baqarah, ayat 222)
***********************
KINI kemuncak musim haji. Bagi jemaah di Tanah Suci, mereka menunggu detik bertolak dan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah, seterusnya melengkapkan manasik haji seperti mabit di Mudzalifah, melontar di jamrah dan bermalam di Mina.
************************
Bagi mereka yang tidak menunaikan haji; tempoh 10 hari pertama Zulhijah amat berharga untuk diisi amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti sentiasa solat berjemaah, memperbanyakkan amalan sunat seperti berpuasa (terutama pada hari wukuf), qiyamullail, bersedekah, membaca Quran dan berzikir.
***********************
Ketika meraikan pemergian jemaah haji di sebuah masjid berhampiran kampung saya baru-baru ini, saya amat tertarik dengan peringatan seorang ustaz dalam tazkirah ringkasnya akan bahana besar menanti orang enggan atau melambat-lambatkan menunaikan Rukun Islam kelima itu jika mereka sudah memenuhi syaratnya termasuk dari segi kewangan.
*************************
Beliau lantas membacakan sebuah hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia masih tidak menunaikan haji (dengan ketiadaan uzur syarie sehingga dia meninggal dunia) maka tiada halangan baginya mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani." (Riwayat Imam At-Tirmizi dan Al-Baihaqi)
***********************
Sang ustaz berkata antara sebab sesetengah orang terlalu berat untuk menyahut seruan haji kerana terlalu cinta kepada kelazatan dan asyik mahsyuk dunia seperti anak isteri, harta benda termasuk sawah ladang, pendapatan, jawatan dan pangkat lantas enggan meninggalkannya.
************************
Beliau mengingatkan pemergian ke Tanah Suci bermakna berpisah dengan kesenangan dunia itu buat sementara saja; cukup masa insya-Allah seseorang itu akan kembali ke tanah air, jadi tiada apa perlu dibimbangkan.
***************************
Namun, katanya, jika ada perasaan terlalu sayang untuk meninggalkan semua kesenangan itu, ingatlah suatu hari nanti segala-galanya "akan direntap" daripada kita. Mahu atau tidak mahu kita terpaksa "mengucapkan selamat jalan" kepada segala apa yang kita miliki apabila nyawa kita dicabut dan jasad kita diusung ke tanah perkuburan.
**************************
Kata sang ustaz: "Apabila kita berada dalam kubur, jawatan dan kedudukan yang kita sandang sudah berada di tangan orang lain atau menjadi rebutan; demikian juga harta benda termasuk sawah ladang sudah difaraidkan dan lebih malang lagi isteri (atau suami) kita sudah berada dalam pelukan orang lain.
****************************
"Isteri (atau suami) kita akan gunakan sebahagian wang dan harta tinggalan kita untuk meneruskan hidup bersama pasangan masing-masing. Misalnya mereka akan beli kereta baru dengan 'duit kita'...apabila mereka lalu di jalan raya depan kubur kita, pedal minyak ditekan kuat-kuat...Brommmmm, brommmmm, bunyi kereta...kita dalam kubur 'terkulat-kulatlah'. Apa nak buat, dah nasib badan!"
*************************
"Oleh itu," kata ustaz, "janganlah sayang kepada apa kita miliki di dunia ini secara berlebih-lebihan. "Apabila sampai masa dan cukup kemampuan buatlah apa yang Allah SWT perintahkan seperti tunaikan haji, bayar zakat dan berkorban di jalan-Nya termasuklah berwakaf. Ini semua sebagai modal kita di alam kubur dan akhirat nanti."
***************************
Berceloteh mengenai suami atau isteri berkahwin lain selepas pasangan mereka meninggal dunia, teringat saya akan satu pasangan suami isteri yang saya kenali ketika saya menunaikan haji pada tahun 2002 dulu.
*************************
Wah, di Tanah Suci sungguh intim mereka. Kerap benar saya melihat mereka berpegangan tangan; di Mina lagilah mereka rapat sebab di sini banyak ujiannya. Bolehlah diklasifikasikan pasangan sejoli ini bagai "tidak hendak berpisah" layaknya. Pendeknya, kaulah intan, kaulah permata - kaulah yang pertama dan terakhir untukku...!
****************************
Ditakdirkan si suami meninggal dunia tidak lama selepas kembali. Biasanya orang perempuan 'tidak kuasa' untuk 'berjodoh lagi' (yang cepat benar mahu berkahwin selepas pasangan meninggal adalah orang lelaki malah ada yang isterinya belum mati pun dia sudah menambah cawangan) tetapi si perempuan ini cepat benar dapat ganti suami baru...yalah anak sungai lagikan berubah ini pula hati manusia...
****************************
Nasib baiklah perubahan hati berlaku dalam 'kes cerai mati' kalau dalam 'kes cerai hidup' tidakkah terbeban bekas pasangan dari segi mental? Namun itulah dinamakan 'roda kehidupan'. Jika itu berlaku, ingatlah 'asal kapas menjadi benang, dari benang dibuat kain, barang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain'!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment