Wednesday, December 19, 2012
'Taqarrub': Melaka di mana segalanya bermula...
***********************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
**********************
Renungan
************************
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya." (Ibrahim:34)
************************
SEKARANG ini kerap benar kita dengar di lokasi perhimpunan atau ceramah anjuran Pakatan Rakyat atau parti-parti yang bergabung di bawahnya (PAS, KeADILan dan DAP), di sebelahnya atau di kawasan berdekatan pula diadakan karnival atau majlis penerangan anjuran Umno-BN. Jika tidak mengadakan majlis pun, diadakan kegiatan berkumpulan seperti pemuda penunggang motosikal berhimpun, membuat kacau atau mengganggu orang ramai daripada menghadiri majlis anjuran Pakatan.
************************
Di Gombak Utara pada 4 Disember lalu berlaku kekecohan seumpama itu yang menyebabkan beberapa orang cedera. Taktik mengganggu 'majlis orang' dengan menganjurkan majlis di lokasi sebelah yang semakin berleluasa di seluruh negara sekarang ini, pada pengamatan penulis bermula di Melaka hampir 10 tahun lalu. Ketika itu ceramah pemimpin PAS disahut dengan tindakan membuat bising termasuk melakonkan adegan kokokan ayam oleh pemimpin Umno yang berhimpun di lokasi sebelah. Sehubungan itu, diucapkan 'tahniah' kepada pemimpin Umno Melaka yang mencetuskan idea ini yang amat bertepatan dengan slogan masyhur negeri ini, 'Melaka di mana segalanya bermula...'
*************************
Namun sesuai dengan slogan itu, insya-Allah di Melaka segalanya akan bermula dengan berakhirnya rejim Umno-BN yang semakin bankrap idea dalam menghadapi kebangkitan rakyat. Dilaporkan Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Melaka pada 8 Disember lalu berjaya menarik 10,000 hadirin sedangkan pimpinan Umno Melaka yang diketuai Ketua Menteri Mohd Ali Rustam mengarahkan diadakan sebuah karnival di sebelah lokasi perhimpunan di Bukit Palah dengan membariskan penceramah seperti Umi Hafilda Ali dan 'ulama' Fathul Bari Mat Jahya.
************************
Tindakan Umno Melaka menganjurkan program di sebelah ceramah PAS juga dikenali sesetengah pihak sebagai program 'taqarrub'. Ia berasal daripada program ‘taqarrub Ramadan’ sebelumnya dikenali sebagai Sivik Ramadan. Mungkin nama Sivik tidak sesuai (bunyinya macam mata pelajaran Sivik di sekolah), ia ditukar kepada 'taqarrub'. Penulis bertanyakan seorang ustaz mengenai erti perkataan 'taqarrub' itu. Katanya, 'taqarrub' itu bermaksud mendekat atau menghampirkan. Jadi program 'taqarrub Ramadan' atau 'taqarrub di masjid' adalah program bagi menghampirkan umat Islam kepada ibadat dan juga rumah Allah.
**********************
Berdasarkan pengalaman penulis, sesebuah masjid akan mengadakan 'taqarrub Ramadan' sekali saja dalam bulan puasa. Biasanya ia diadakan selepas solat tarawih lapan rakaat dan witir. Pada kesempatan ini, penceramah undangan (tentunya yang diluluskan jabatan agama negeri) akan memberi panduan, menyuntik semangat keagamaan dan sebagainya. Pada majlis ini juga, Pengerusi JKKK dan pemimpin kampung turut mengambil kesempatan menyampaikan amanat mereka. Dalam program 'taqarrub' ini beberapa penceramah akan bertugas dari sebuah masjid ke masjid lain sehinggalah berakhir bulan Ramadan.
***************************
Apa yang menghairankan penulis, 'taqarrub Ramadan' boleh diadakan sedangkan suatu ketika dulu puak yang sama melenting apabila ada pihak yang mengadakan tazkirah ketika rehat pada waktu solat tarawih. Banyak alasan diberikan mereka seperti mengganggu konsentrasi jemaah dalam menunaikan solatlah, tazkirah berbau politiklah dan kononnya mengambil masa yang lama.
************************
Usaha mendekatkan (taqarrub) ummah kepada masjid dan ibadat bulan Ramadan adalah usaha terpuji tetapi 'program taqarrub politik' yang dilakukan pemimpin Umno jelas tidak menepati ciri-ciri kemuliaan dalam Islam. Majlis taqarrub yang kembali bergema sekarang ini adalah kaedah sama dilakukan pihak sama sejak beberapa tahun lalu bagi mengganggu dan menggagalkan ceramah pihak pesaing.
************************
Apa yang berlaku, apabila ada majlis termasuk cemarah anjuran parti pesaing, Umno secara spontan akan mengadakan majlis mereka di sebelah kawasan. Pemimpin mereka kemudian bercakap merapu-rapu termasuk menjawab apa yang dilontarkan oleh penceramah pada majlis sebelah.
************************
Selain itu, pihak berkenaan juga membuat bising; suatu ketika di Melaka mereka bertindak memasang skrin besar perlawanan bola sepak yang tujuan mereka tidak lain daripada mengganggu majlis di sebelah yang turut dihadiri pemimpin utama PAS. Malah ceramah Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah diganggu oleh Ketua Menteri Melaka Ali Rustam yang membuat bising termasuk berkokok di sebelah. Inilah program taqarrub (dekat atau hampir) yang mereka giatkan; pembaca fikirlah sendiri sama ada mereka ini golongan profesional atau melakukan tindakan macam budak-budak.
**********************
Penulis pernah menghadiri majlis di mana ceramah pemimpin PAS diganggu oleh pemimpin Umno yang mengadakan majlis di premis sebelah. Berikutan adalah catatan penulis mengenai majlis tersebut:
**********************
Hanya pagar memisahkan bangunan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) itu dengan sebuah rumah penduduk kampung yang dijadikan markas sementara Umno untuk berceramah.
********************
Malam itu sekali lagi penceramah Umno mengekori penceramah PAS dalam program 'taqarrub' (hampir)nya. Di mana ada ceramah PAS, di situ ada ceramah Umno. Ia dilangsungkan pada tarikh dan masa yang sama. Cuma tempatnya adalah sebelah-menyebelah.
***********************
Di tepi pagar Pasti itu, ada sebatang pohon kelapa tumbang. Di situlah penulis 'bertenggek' mendengar ceramah kedua-dua pihak. PAS diwakili dua penceramah luar manakala Umno diwakili sekurang-kurangnya lima orang - daripada pemimpin negeri, majlis agama negeri, jabatan hal ehwal khas, ustaz dan ahli politik tempatan.
**********************
Sungguh terperanjat dan tersentuh hati saya mendengar penceramah-penceramah ini menyampaikan hujah mereka.
********************
Tuduhan seperti penyeleweng akidah, anak cucu Dajal, pembohong, siang dia tidur malam dia keluar berceramah untuk membohongi rakyat, bangsat, dia peluk kafir, ini kafir sebenar, dialah kafir, penyangak, penyamun wang..., kau ulama dalam semak, tuhan kau ialah...'mencemari' malam itu. Ada lagi kata-kata yang lebih teruk yang tidak tergamak untuk penulis nyatakan.
*********************
Bagi saya inilah program taqarrub yang melingkupkan bangsa. Mana tidaknya, mereka tidak menghormati para undangan dari luar yang datang dari jauh untuk berceramah dan bertazkirah malah bersolat hajat. Sewajarnya, segala permasalahan boleh dibincangkan dengan baik, usahlah membuat provokasi macam budak-budak tidak cukup akal. Malulah apabila majlis seperti ini disaksikan oleh orang luar, apatah lagi oleh kanak-kanak. Tentunya anak-anak terfikir, apa kena orang tua malahan pemimpin lagi berkelakuan macam itu, menjerit sana, melalak sini, mengejek itu dan ini.
************************
Ya, di Melaka segalanya bermula...bermulanya 'program taqarrub Umno' yang kini merebak ke seluruh negara, dan percayalah di Melaka juga akan bermula jatuhnya Umno-BN sekalipun pemimpinnya yakin ia masih kubu kuat mereka, dulu kini dan selamanya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment