Tuesday, January 28, 2020

Tanah Suci 3: Belajar hidup berkongsi, berjemaah...

DENGAN nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr

ISLAM mengajar kita hidup berkongsi, ya hidup berjemaah. "Share' kata orang sekarang. Misalnya, seseorang yang berharta (kaya), apabila cukup syarat-syaratnya dia perlu berzakat. Hartanya perlu di'share' dengan orang miskin dan asnaf lain.

Baru-baru ini saya dan tiga lagi ahli keluarga ke Tanah Suci mengerjakan umrah. Kosnya mampu ditanggung (agak murah) sebab hampir semua kemudahan dan perkhidmatan disediakan secara berkongsi. 

Naik kapal terbang sudah pasti berkongsi, naik bas berkongsi, bilik berkongsi sampai lima orang, tandas pun berkongsi, makan berkongsi (beramai-ramai). Kalau kita pergi sendiri (seorang-seorang) hampir pasti kosnya tidak mampu kita tanggung.

Ya, sesetengah 'orang kita' mampu pergi umrah berkali-kali hatta 'travel' ke USA pun kerana hampir semua kegiatan dilakukan secara berkongsi. Kalau pergi sendiri, entahlah, mungkin tak terbayar kosnya.

Dalam menjalani kehidupan, terutama pada zaman sukar sekarang, kita perlu 'ke depan' dalam amalan berkongsi kerana insya-Allah ia dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban yang kita pikul.

SebagaiI bekas wartawan, hati saya tersentuh mendengar lebih 500 petugas Media Prima diberhentikan tahun 2020 ini. Pada Oktober 2019, lebih 800 kakitangan Utusan Melayu hilangan pekerjaan selepas akhbar terbitannya menghentikan operasi.

Bukan sahaja petugas dalam industri media massa menghadapi kesukaran hidup, ramai rakyat menghadapi keadaan sama. Sehubungan itu jalan keluar perlu diusahakan. Di samping mengusahakan kehidupan baharu, di sini disyorkan orang awam menukar gaya hidup bagi mengurangkan sedikit sebanyak tekanan dari segi kewangan.

Bagi menghadapi 'zaman sesak' sekarang ini, ada bijak pandai mencadangkan kepada kita dua pilihan bagi menghadapinya; pertama bertindak segera bagi kesinambungan pendapatan kita seperti mendapatkan pekerjaan walaupun dengan gaji yang kurang daripada dulu atau melakukan lebih daripada satu pekerjaan, manakala satu lagi jalan mengurangkan kos kehidupan. 

Pada detik cemas seperti sekarang kita perlu berjimat cermat. Antara kaedahnya adalah menyemarakkan amalan berkongsi dalam menjalani kehidupan. Ya, terapkan amalan berkongsi bermula daripada di rumah kita sehingga dalam kehidupan bermasyarakat.

Kongsi, kongsi dan kongsilah semaksimum mungkin. Jika kita sebuah keluarga lakukan aktiviti bersama sebagai contoh beli bahan mentah, kongsi (bersama) masak dan 'kongsi' makan...tak payahlah kerap makan di luar kerana ia membabitkan kos besar! Jika kita bersama rakan-rakan dalam sebuah rumah, kita juga boleh kongsi masak dan makan.

Banyak lagi aktiviti kita boleh kongsi. Kongsi tonton TV, kongsi beli bahan bacaan, kongsi barangan keperluan kegunaan bersama dan kalau sesuai, boleh kongsi kenderaan untuk ke pejabat.

Di luar, banyak kegiatan yang kita boleh berkongsi seperti membaca akhbar dan buku di perpustakaan, berkongsi kemudahan di masjid dan 'berkongsi' kenderaan awam seperti bas dan tren. 

Pada tahun baharu ini bersedialah menjalani kehidupan dengan kaedah berkongsi dengan orang lain. Perkongsian akan mengurangkan kos kehidupan kita...apabila kita bersedia berkongsi, maka harga barangan dan perkhidmatan dapat dikurangkan!

Sekarang ini orang kahwin pun kongsi majlis. Ada keluarga kahwinkan dua anak atau tiga anak secara serentak. Ertinya adik beradik kongsi majlis. Yalah, kalau buat tiga majlis, berapa banyak wang dan masa akan habis?

Selain itu, ada 'besan' (mak bapak pengantin lelaki dan perempuan) bergabung tenaga mengadakan satu majlis saja. Tentu ada sebab keluarga pengantin berkongsi majlis atau mengahwinkan beberapa anak serentak. Antaranya untuk mengurang kos...ya kongsi, kongsi dan kongsilah untuk kehidupan yang lebik baik.

Berkahwinlah (bernikah) wahai anak muda, itu sunnah Nabi; jika perlu berkongsi majlis atau berkahwin beramai-ramai teruskanlah; semoga dengan hidup bekeluarga Allah SWT akan menambah kebarakahan kita semua pada zaman yang serba sukar dan mencabar sekarang ini.

Selepas berkahwin, boleh berkongsi 'travel' untuk berbulan madu termasuklah jika mahu ke Makkah buat umrah...harganya lebih murah berbanding pergi sendiri-sendiri. Kemudian pasangan suami isteri baharu kongsilah bilik (sudah pasti, heh...heh...).

Demikianlah bertapa amalan berkongsi dalam kehidupan amat menguntungkan. Ya Islam mengalakkan amalan berjemaah (berkongsi) dalam kehidupan - sembahyang berjemaah, makan berjemaah dan sebagainya. Jadi kongsi, kongsi dan kongsilah dalam kehidupan! Jangan kedekut untuk berkongsi hatta ke Makkah pun..Hantarkan artikel anda ke Lanh14@gmail.com

Berkongsilah cerita anda...


Friday, January 24, 2020

Tanah Suci 2: Rela berpanas daripada memasuki masjid...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Ayat 1-3 Surah Al-Asr

ALHAMDULILLAH sebagai insan yang pernah menunaikan haji dan umrah (bukan pada musim haji), penulis berpeluang menyaksikan sedikit sebanyak perbezaan senario kedua-duanya.

Keadaan jemaah pada musim haji adalah terlalu sesak; di dalam masjid sama ada di Masjid Nabawi di Madinah atau Masjidilharam di Makkah sentiasa penuh dengan jemaah tetapi tatkala menunaikan umrah (di luar musim haji dan Ramadan), ada banyak 'lompang' (suasana kosong) dalam masjid.

Namun apa yang menimbulkan tanda tanya di hati penulis mengapa ramai juga jemaah yang suka beriibadat di luar masjid termasuk di dataran bawah payung  'pintar' di Masjid Nabawi dan tepi kedai-kedai berhampiran Masjidilharam.

Penulis saksikan daripada awal lagi (lama sebelum masuk waktu solat waktu), mereka berhimpun dalam saf di dataran luar masjid malah ada yang siap sedia menunggu di dataran berhampiran tandas. Penulis tidak berani membuat sebarang tanggapan terhadap golongan ini. penulis serahkan kepada agamawan untuk menghuraikannya.

Cuma di bawah ini penulis sertakan tulisan seorang pembaca mengenai perkara ini.

KISAH 2

MENJELANG maghrib, ketika memasuki kota Makkah dari Madinah, entah kenapa dada saya berdebar-debar. Bagi menenangkan hati, saya bertalbiah sehingga sampai ke hotel Al-Rashid.

Ingatan saya kembali ketika berkursus di mana ustaz menerangkan bahawa sembahyang di Masjid Nabawi adalah 1,000 kali lebih afdal daripada masjid lain manakala di Masjid Al-Haram ia adalah 100,000 kali ganda.

Oleh demikian alangkah ruginya jika jemaah yang datang dari seluruh dunia tidak merebut peluang keemasan seumur hidup itu? Ramai juga yang suka duduk di luar kawasan masjid, berbual-bual dan terus membeli-belah sekalipun solat waktu sudah hampir.

Pelbagai ujian, rintangan dan dugaan Allah saya tempohi. Saya memohon kepada Allah janganlah saya mudah jatuh semangat dalam menyempurnakan rukun dan wajib haji.

Suasana ketika hendak masuk waktu solat di persekitaran masjid amat menakjubkan kerana semua umat Islam menuju ke satu arah sehingga menyebabkan kesesakan amat teruk.

Menitis air mata melihat lautan manusia - kecil, besar, tua, muda dan cacat - berpakaian serba putih. Sayu mata memandang dan dapat dirasakan betapa kerdilnya diri kita di sisi Allah.

Ketika itu tenaga amat diperlukan. Dinasihatkan kepada orang muda yang mampu, jangan berdolak-dalih untuk mengerjakan haji. Ada yang takut hendak menunaikan haji semasa muda kerana bimbang akan membuat maksiat selepas itu.

Semasa berulang-alik ke Masjid Al-Haram, suatu hari saya terpandang seorang jemaah berusia dalam lingkungan 55 tahun beriktikaf di atas jalan raya.

Tempatnya di jalan ke arah Maktab Tabung Haji, berdepan Istana Raja sambil menunggu waktu Asar dan membaca surah Yasin.

Terlintas di fikiran saya, daripada berpanas, dan menghadapi pelbagai situasi kurang elok seperti jemaah berkahak, menghembus hingus manakala persekitaran berdebu dan bernajis tahi burung, lebih baik duduk di dalam bilik hotel saja.

Dari bilik hotel yang berhawa dingin, nampak juga pintu Al-Malik Abdul Aziz. Hari berulang hari, saya amati orang yang sama berada di situ sehingga timbul rasa cemburu di hati dan ingin tahu apakah istimewanya tempat itu.

Pada keesokan harinya saya bergegas awal ke masjid jam 3.00 petang untuk solat Asar bagi memastikan ruang dalam masjid masih ada.

Saya terpandang orang yang sama baru saja menghamparkan sejadah di atas jalan raya. Saya mendekati beliau dan mendapati jemaah itu rupanya dari Malaysia berdasarkan kad nama di bajunya.

Ketika itu tidak semena-mena saya beristifar berulang kali serta menggeleng-geleng kepala kerana berfikir alangkah ruginya jika pak cik itu datang awal-awal tetapi tidak mahu masuk ke dalam Masjid Al-Haram.

Apakah dia tidak mahu melihat Kaabah, bertawaf dan berjemaah di dalam saf. Kenapa...?kenapa...? kenapa...? Tidakkah pak cik itu tahu dengan melihat saja Kaabah, dia sudah mendapat pahala, apatah lagi jika dia tawaf atau solat dalam Masjid Al-Haram.

Adakah pak cik ini tidak mahu berfikir!!! Adakah dia beranggapan lebih baik duduk di tepi jalan ini sama orang lain yang berjanggut, berjambang dan berjubah daripada kalangan bangsa lain? Adakah dia fikir jika duduk di tepi jalan itu, selepas sembahyang senang keluar, tak payah berebut-rebut hendak balik.

Tergerak juga hati saya hendak menegur sikap pak cik itu tetapi terasa berat mulut, kelu, terkunci tidak upaya untuk berkata-kata.

Hanya mata memandang pada hal sayalah orangnya yang akan menegur, tidak kira tua atau muda ke arah kebaikan dalam hal-hal yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Pengalaman tersebut adalah sebagai peringatan kepada bakal jemaah haji supaya rajin-rajinlah berkursus dan menambah ilmu sebagai bekalan ke Tanah Suci.

Ini kerana ketika di sana, tidaklah kita teraba-raba termasuk mengikut-ikut orang lain. Lain orang lain mazhabnya dan tidak wajar kita mengikut mereka secara membabi-buta.

Jemaah terlalu sibuk dengan urusan masing-masing bagi menyempurnakan ibadat haji sedangkan kita akan terkontang-kanting sendirian jika tiada ilmu. - HAJI AAL

Friday, January 17, 2020

Tanah Suci 1: Kucing saya mati semuanya,,,

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa. sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Ayat 1-3 Surah Al-Asr

ALHAMDULILLAH, baru-baru ini saya ke Tanah Suci, mengerjakan umrah. Saya ke sana bersama isteri dan dua anak perempuan remaja. Syukur kami dapat menunaikan ibadat dengan selesa dan selamat kembali ke tanah air.

Pada bahagian pertama siri ini, izinkan saya menukiil kisah kucing yang diketahui menjadi binatang kesayangan Rasulullah s.a.w. Ada dikisahkan Nabi Muhammad s.a.w. memotong bahagian jubahnya yang 'ditiduri' seekor kucing kerana tidak mahu mengganggunya. Malah ada seorang sahabat baginda digelar Abu Hurairah yang bermaksud Bapa Kucing.

Di kawasan rumah saya, saya ada 'membela' kucing-kucing terbiar. Kucing-kucing itu datang dan pergi, saya hanya menyediakan makanan dan minuman untuk mereka. Jumlah kucing itu berubah-ubah...suatu pagi saya mengira ada 15 ekor semuanya.

Seminggu sebelum berangkat ke Tanah Suci, berlaku 'fenomena' luar biasa terhadap kucing-kucing itu. Suatu malam saya terjumpa bangkai seekor kucing hitam besar di pangkal pokok mangga. Untuk 'segera selesai masalah', saya menggambil cangkul, menggali lubang dan mengambus bangkai itu di situ juga.

Tengah hari esoknya terkejut besar saya mendapati bangkai kucing jitam itu terdampar di tanah dengan kuburnya ada kesan dibongkar. Ini 'satu misteri' tetapi saya buat tak peduli dengan mengandaikan kubur itu digali oleh biawak yang tak sempat 'melarikan mayat'. Sekali lagi saya kuburkan bangkai kucing itu dan menganggap masalah sudah selesai.

Rupa-rupanya kisah kematian kucing hitam itu tidak berakhir di situ. Seekor demi seekor kucing di kediaman kami mati. Ada kalanya saya menanam dua 'mayat' (bangkai) pada satu hari. Akhirnya, pada hari saya berangkap ke Tanah Suci, di kediaman kami tiada seekor kucing pun untuk 'mengucapkan selamat jalan' kepada kami!

Saya gagal membaca isyarat Allah SWT daripada peristiwa ini.  Masih terbetik di hati saya kucing-kucing ini mati disebabkan penularan penyakit - mungkin sama seperti yang berlaku kepada ternakan ayam jika terjadi serangan penyakit sampar atau orang kampung saya kata 'penyakit berak kapur'. Saya pernah menyaksikan keadaan ini di mana hampir semua ayam mati.

Ketika kucing banyak di kediaman saya, saya membeli berpaket-paket palet makanan kucing sebagai simpanan. Kini apabila kucing sudah tiada, apa saya hendak buat dengan makanan itu? Seorang anak lelaki yang baru balik dari Makkah, mencadangkan: "Bapak bubuh palet itu dalam botol minuman kosong, masukkan dalam beg dan di Makkah dan Madinah nanti bapak bagilah kucing-kucing di sana makan!"

Saya tak buat seperti yang disyorkan anak saya itu dan apabila berada di pekarangan Masjid Nabawi memang betul ada sejumlah kucing yang montel-montel serta jinak menunggu 'disantuni' dan diberi makan oleh kita...jadi sangat menyesallah saya.

*****
Pada ruangan ini saya memohon tuan puan pembaca yang ingin menceritakan pengalaman di Tanah Suci sebagai tatapan dan iktibar pembaca Harakah agar menulis dan 'meng-e-melkan;nya' kepada saya: di alamat Lanh14@gmail.com. Insya-Allah, kisah berkenaan akan disiarkan di ruangan ini.

*********
Mengenai kisah kucing, ada dua pembaca menukilkan cerita mereka.
 
1. Di Masjidilharam saya terlihat beberapa ekor kucing dekat telaga Zamzam (sekarang ini sudah ditutup). Saya cuba membelai kucing-kucing berkenaan kerana memang sukakan haiwan itu.

Malangnya apabila dipanggil, ia hanya mengiau dari jauh. Semuanya sihat-sihat belaka dan sungguh comel sekali seperti kucing Friskies.

Suatu ketika selepas sembahyang Maghrib, seekor kucing yang sedang berkeliaran tiba-tiba membuang air kecil di atas beg tangan seorang jemaah dari Malaysia yang diletakkan di hadapan beliau.

Kami terdiam melihat peristiwa tersebut dan berasa tidak senang hati. Apa agaknya hikmah di sebalik peristiwa itu hanya Allah yang tahu.

2. Ada seorang wanita Muslimah Melayu berasal dari Perak yang menunaikan haji beberapa tahun lalu. Wanita ini kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.

Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur.Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja. Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.

Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.

Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius.

Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap. Maka terkenallah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati
dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.

Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.

Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah.

Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan.

Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.

Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah.

Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.

Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda. Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya.

Friday, January 10, 2020

Rumah tangga 25: Henti suburi tahun baharu dengan maksiat

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr

BERSYUKUR ke hadrat Illahi dalam beberapa hari ini kita akan memasuki tahun baharu 2020. Memasuki tahun baharu Masihi selalunya dikaitkan dengan majlis keramaian yang acaranya dipenuhi pesta-pestaan termasuklah konsert, pergaulan bebas lelaki perempuan dan mengambil minuman keras. 

Majlis ini tidak terbatas kepada orang bukan Islam tetapi juga orang Islam di negara kita yang acap kali didakwa sebagai negara Islam paling dinamik di dunia. Baru-baru ini ada pihak mahu menganjurkan pertandingan ratu bikini malah tidak lama dulu diadakan Tattoo Malaysia Expo yang ada unsur-unsur kelucahan.

Adalah menjadi kebiasaan kepada rakyat, malah disuburkan oleh pemimpin untuk berhimpun beramai-ramai pada malam tahun baharu di lokasi strategik seperti Dataran Merdeka, Bukit Bintang dan lapangan terbuka di negeri-negeri, menunggu detik 12.00 tengah malam bagi menandakan permulaan tahun baharu.

Sambil menunggu, biasanya orang ramai dihidangkan dengan persembahan artis. Di majlis seperti inilah dikhuatiri berlaku pergaulan bebas 
lelaki perempuan dan daripadanya membawa kepada pelbagai kemungkaran seperti menogok minuman keras, melakukan mukadimah zina seterusnya berzina, meragut, mencuri malah sampai membunuh sekalipun.

Di negara kita, adalah begitu mudah mendapatkan minuman keras. Ia dijual secara terbuka termasuk di kedai mesra 24 jam. Sekali pun ditandai dengan perkataan kecil bahawa arak adalah haram kepada orang Islam dan penjualannya ditegah ke atas individu yang berusia kurang 18 tahun, penjualannya begitu berleluasa, anak-anak muda begitu bangga menogok air syaitan itu. 

Buktinya, selepas tamatnya perhimpunan ramai itu, akan ditemui bekas tin minuman keras, malahan di tepi-tepi pantai penemuan bekas tin minuman keras adalah biasa, menunjukkan betapa hebatnya anak-anak muda berpesta sakan.

Bagi kita perkembangan ini ada kaitan dengan gelagat sesetengah pemimpin yang cenderung kepada kegiatan merugikan yang membuka ruang-ruang maksiat. Contohnya pada malam tahun baru, pemimpin turut menyertai rakyat melakukan ‘countdown’ (mengira terbalik...3,2,1) dan balik hingga awal pagi. Pepatah Melayu ada menyebut, bapa borek anak rintik, bagaimana acuan begitulah kuihnya dan apa yang disemai itulah yang dituai. Jika pemimpin sebagai penyemai, menanam benih lalang, maka akan suburlah anak lalang di negara kita ini.

Sebagai negara Islam contoh yang baru-baru menganjurkan KL Summit (Sidang Kemuncak Negara Islam), kita terasa malu apabila maksiat berlaku secara nyata. Lihatlah, kedai-kedai judi tumbuh bagaikan cendawan, manakala premis menjual arak dibuat secara terbuka manakala iklannya berleluasa pula.

Satu lagi perkara memualkan adalah eksploitasi wanita secara terang-terangan yang mendapat dukungan pihak berkuasa. Ambil contoh penggunaan gadis-gadis litar yang berpakaian seperti tidak cukup kain di pesta perlumbaan. 

Tidak cukup dengan syarikat minyak antarabangsa yang mempamerkan gadis seksi, Petronas yang menjadi kebanggaan kita pun tidak kurang hebatnya. Kita mahu bertanya pemimpin termasuk peneraju Petronas ada apa kaitan antara lumba kereta dengan gadis seksi? Apakah kehadiran gadis seksi akan membolehkan kereta atau motosikal dipecut lebih laju?

Kita nyatakan perkara ini kerana kita cinta dan sayangkan negara ini termasuk masyarakatnya. Kita tidak mahu Allah SWT turunkan bala kepada kita angkara maksiat yang semakin berleluasa termasuk yang disuburkan oleh sang penguasa. Sesungguhnya kemusnahan bumi Aceh akibat tsunami dan gempa di Padang, sewajarnya menginsafkan kita bahawa Allah SWT boleh pada bila-bila masa saja menghukum kita.

Sekarang pun, bagi orang yang ada fikiran, mereka sudah merasakan bahana akibat daripada keterlanjuran kita menyuburkan maksiat. Tidak sedarkah kita bahawa kehidupan kita kini tidak seaman dulu walaupun pemimpin kerap menguar-uarkan negara kita paling aman dan makmur di dunia. 

Pembunuhan, perampokan, kejadian ragut, rogol dan aneka maksiat semakin berleluasa, seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Sementara itu kehidupan rakyat semakin tertekan sekali pun diuar-uarkan negara ini antara yang paling kaya di dunia!

Wednesday, January 8, 2020

Rumah tangga 24: Tahun baharu penuh cabaran

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr

TAHUN 2019 akan melabuhkan tirainya, kini jendela 2020 hampir terbuka. Sesuai dengan tahun baharu, tentulah ramai yang bersemangat baharu. Kebanyakan daripada kita berharap melalui tahun baharu dari sudut positif.

Satu perkara yang kerap dikaitkan dengan tahun baharu ialah permulaan sesi persekolahan. Berhubung perkara inilah banyak ibu bapa yang 'pening-pening lalat' bagi memenuhi keperluan anak-anak.

Perbelanjaan untuk menyekolahan anak-anak pada zaman ini bukannya murah. Sekarang tidak lagi sesuai untuk berkata: "Cikgu saya serahkan anak saya ini pada cikgu, pandai-pandailah cikgu buat apa-apa yang baik baginya."

Sekarang 'penyerahan' dilakukan dengan wang ringgit. Sekalipun pihak berkuasa kerap menguar-uarkan yuran persekolahan sudah dimansuhkan dan pendidikan adalah percuma termasuk anak-anak diberi sarapan percuma, hakikatnya banyak wang perlu dikeluarkan.

Bagi yang pertama kali menghantar anak ke sekolah, jangan terperanjat jika melihat pada 'book list' kanak-kanak itu dinyatakan jumlah wang bagi pembelian buku tulis, latihan dan pelbagai yuran yang boleh mencecah RM100 bagi sekolah pagi (SK) dan lagi RM100 bagi sekolah petang (agama rakyat)

Seseorang anak yang bersekolah rendah bukan saja menghadiri sesi pagi tetapi juga sesi petang (sekolah agama). Yuran untuk sekolah agama lain pula daripada sekolah pagi. Demikian juga pakaiannya, begnya dan juga bukunya.

Bagi yang mempunyai anak di sekolah berasrama lagi membebankan. Yuran makanan, asrama, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh mencecah RM1,000 seorang. Jika ada tiga anak di sekolah berasrama, laratkah kita sediakan RM3,000? Itu belum termasuk pakaian dan peralatan lain seperti beg dan kasut.

Demikianlah betapa beratnya bebanan ibu bapa hari ini. Jika untuk seorang anak di sekolah rendah, terpaksa dibelanjakan RM300 (bayaran di sekolah dan pembelian pakaian), hitunglah wang yang perlu disediakan untuk menyekolahkan lima orang anak, atau pun lapan orang anak. Jumlahnya tentulah membabitkan ribuan.

Ditambah dengan kemungkinan tambang bas sekolah yang akan dinaikkan, tentulah ibu bapa semakin pening. Dengan belanja harian (duit poket) anak-anak yang juga perlu dinaikkan sejajar dengan peningkatan usia mereka, tentulah ibu bapa semakin terpinar-pinar biji mata mereka.

Selepas termenung memikirkan belanja anak-anak, ibu bapa boleh merenung pula perbelanjaan yang membabitkan diri mereka pula. Jika yang terpaksa menggunakan lebuh raya, kadar tol lebuh raya mungkin dinaikkan. Demikian juga tambang bas. Inilah yang saban tahun berlaku apabila tahun berubah.

Bagi yang menaiki pengangkutan awam lain, dengar khabar tambangnya juga akan dinaikkan selaras dengan kenaikan harga minyak. Demikian juga dengan tambang bas dan teksi. Sekarang ini susah benar rakyat di kawasan luar bandar mendapatkan perkhidmatan bas berhenti-henti kerana banyak syarikat sudah gulung tikar kerana kos operasi yang tinggi sedangkan bantuan yang dipohon kepada kerajaan tidak diperolehi. 

Tidak cukup dengan perkhabaran itu, tarif kemudahan awam juga dikatakan akan dinaikkan. Jika 'semua' naik, tentulah sewa rumah, sewa kedai, sewa pejabat dan 'segala' macam sewa juga akan naik.

Demikianlah betapa rakyat begitu tertekan dewasa ini. Nampaknya tahun baharu tidak menjanjikan kebahagiaan buat mereka...

Saturday, January 4, 2020

Rumah tangga 23: Kubur kau kubur kau, kubur aku kubur aku...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: 'Tuhanku telah memuliakanku'. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia berkata: 'Tuhanku menghinaku'." - Maksud Ayat 15-16 Surah Al-Fajr
***

KETIKA ke masjid di kampung saya untuk solat zuhur, saya ternampak sebuah keranda yang ditutupi kain di tepi dinding. Ya, ada orang kampung meninggal tetapi saya tidak tahu siapa.
Selepas solat zuhur, dilangsungkan solat jenazah; keranda pun dipikul orang ke kuburan. Sekalipun si mati tidak saya kenali, saya berusaha mengangkat keranda, sama-sama menyembahyangkannya dan kemudian ke kuburan.

Daripada apa yang saya dengar pada kelas pengajian, orang yang menyembahyang mayat mendapat ganjaran satu qirat dan jika dia turut hadir di pengkebumiannya, dia akan mendapat ganjaran dua qirat. Teringat kelebihan ini, saya pun bersama-sama ke kubur walaupun saya tidak tahu siapa si mati.

Apakah ganjaran qirat itu? Daripada Thauban r.a, bekas hamba Rasulullah s.a.w, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ‘Sesiapa yang mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengkebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan bukit Uhud’.” (Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim : 1575)

Di kuburan, saya hanya jadi penyaksi kerana sanak saudara si mati begitu ramai. Saya lihat mereka perlahan-lahan menurunkan mayat, disambut tiga lelaki yang sudah ada dalam kubur. Mayat diletakkan dalam liang lahad. Apabila semuanya sudah beres, tanah pun dimasukkan perlahan-lahan, kemudian mereka mencangkul tanah dengan cepat bagi menimbus kuburan itu.

Ketika itu saya dapat saksikan, ada beberapa orang yang sedang bekerja itu bergurau dan ketawa-ketawa. Hairan, mereka masih boleh gelak-gelak ketika mengkebumikan saudara sendiri.

Apakah maksud semua ini? Ertinya orang yang hidup masih dengan ‘drama di pentas kehidupan’ masing-masing, orang yang mati, awak tanggunglah sendiri baik buruk apa yang kamu lakukan semasa hidup di atas muka bumi.

Itulah agaknya, kata-kata seperti ‘kenapa menyibuk hal aku, bukankah kubur kau, kubur kau; kubur aku, kubur aku!” Sekalipun ungkapan ini begitu negatif sekali, setiap orang wajar ingat bahawa dia perlu menyediakan bekalan semaksimum mungkin sebelum dia memasuki kuburnya kerana orang lain apa peduli kerana ‘ketika mengkebumikan kita pun mereka masih boleh ketawa-ketawa’.

Sebenarnya ketika hidup tidak ramai orang memikirkan rumah mereka dalam tanah itu. Hanya sedikit orang teringat akan rumah yang satu itu, apatah lagi membuat persediaan untuk memasukinya. Ramai tidak bersedia, tetapi mahu tak mahu, suatu hari kita tetap akan memasukinya.

Sufyan Ats-Tsauri berkata: “Barang siapa yang banyak mengingat kubur maka dia akan mendapatkan kubur itu sebagai salah satu taman daripada taman-taman syurga. Dan barangsiapa yang lalai kepada kubur maka dia akan mendapatkan kubur itu sebagai salah satu jurang daripada jurang-jurang neraka”.

Sayidina Ali karromallahu wajhahu di dalam khutbahnya mengatakan: “Wahai hamba Allah ingatlah mati, ingatlah mati kerana kamu tidak dapat menghindar daripadanya. Apabila kamu diam, maka ia akan datang menghampirimu; dan apabila kamu lari, ia akan mengejarmu. Ia terikat pada ubun-ubunmu. Carilah keselamatan, carilah keselamatan. Di belakangmu ada kubur yang selalu mengejar kamu. Ingatlah bahawa kubur itu merupakan salah satu taman daripada taman-taman syurga, dan boleh pula merupakan salah satu jurang daripada jurang-jurang neraka. Ingatlah bahawa sesungguhnya kubur itu setiap hari berbicara tiga kali dengan perkataan; “aku adalah rumah gelap, aku adalah rumah dukacita, dan aku adalah rumah ulat.”.

Jika rumah abadi dalam tanah itu tidak ramai yang peduli, hampir semua orang bermati-matian dan bergolok gadai akan hal rumah sementara mereka di dunia ini. Mereka berlumba-lumba membina kediaman paling hebat dan segak. Manusia yang sering lalai lupa rumah di dunia ini adalah sementara saja, mereka menyangka kehidupan di dunia adalah abadi untuk mereka nikmati sampai bila-bila.

Disebakan hal ini sebahagian besar daripada manusia bermati-matian mengumpul wang ringgit, kemudian berbelanja habis-habisan untuk membina rumah kediaman bagai mahligai dengan bahan binaan yang mahal termasuklah batu marmar yang diimport. Hiasan dalaman juga begitu hebat, kebanyakan perabotnya juga didatangkan dari luar negara.

Dari segi ukuran akhirat, rumah adalah pelaburan paling merugikan kerana tidak banyak kebaktian dapat dibuat dengannya, apatah lagi apabila seseorang itu bertindak memasang pagar dan tembok tinggi di sekeliling kediamannya menyebabkan orang fakir, miskin serta yang memerlukan bantuan tidak dapat ditolong.

Daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda bermaksud: “Setiap harta yang dinafkahkan itu kesemuanya dikira fisabilillah kecuali harta yang dibelanjakan untuk membina rumah, tiada kebajikan padanya.”  

Wednesday, January 1, 2020

Rumah tangga 22: Berkahwin biarlah ikut sunnah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

PADA musim cuti sekolah sekarang ini penulis menerima banyak undangan majlis perkahwinan. Ya, ramai kawan-kawan seangkatan (seusia) penulis mengahwinkan anak-anak. Tidak kedengaran pula rakan-rakan itu sendiri yang berkahwin. Kalau ada pun, ya apa salahnya. Namun kalau 'berani buat' beranilah tanggung akibatnya!

Pada kesempatan ini, diucapkan selamat berbahagia kepada pasangan pengantin baharu. Di sini apa yang ingin diceloteh penulis ialah daripada 1,001 perkara yang diperkatakan mengenai kisah cinta dan mahligai bahagia didirikan, ada perkara terlepas pandang yang menyimpang daripada kehendak Islam.

Ada pihak mengejar laba dan 'syurga dunia' daripada majlis perkahwinan. Kalau majlis orang ternama (terutama artis) daripada orang bisnis yang sibuk dengan aneka persediaan seperti tempat, pakaian dan dekrorasi membawa kepada bakal pengantin, keluarga pengantin, peminat malah kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya yang berbangsa Melayu, semuanya mabuk dengan elemen kemasyuran, nama, cinta dan seumpamanya.

Semuanya dipandang indah manakala elemen agama tersisih di tepi. Banyak perkara boleh diperkatakan di sini tetapi eloklah dilontar antara persoalan itu, moga-moga dapat dijawab oleh pihak berautoriti dalam agama dan adat.

Mengenai perkahwinan artis, misalnya, apakah pandangan pembaca dari segi hukum mengenai pengumuman perkahwinan dibuat bakal sejoli yang duduk rapat dan mesra sekali sedangkan mereka belum lagi bertunang atau menikah?

Khidmat enam perunding pakaian juga sudah diperkata. Mereka terdiri daripada Muslim dan 'non-Muslim'. Dalam perkahwinan biasa dan di kampung pun, ada mak bapak pengantin perempuan mengambil khidmat tukang andam lelaki (kadang-kadang mak nyah!). Mereka masuk bilik pengantin, sarungkan pakaian, solekkan pengantin dan apa lagi dibuat tidaklah diketahui.

Alangkah rugi si pengantin lelaki kerana kecantikan isterinya sudah dilihat lelaki lain. Bukan saja lelaki lain itu dapat lihat, dia dibayar lumayan pula! Pembaziran, entahlah?

Kepada pihak yang kerap bertegang leher menegakkan budaya Melayu yang kononnya lebih rela mati anak daripada adat itu, apa pandangan tuan puan mengenai pengumuman perkahwinan di atas pentas yang dibuat oleh bakal pengantin sendiri?

Penulis menimbulkan persoalan mengenai betapa orang Melayu semakin tersasar daripada kehendak Islam ini berdasarkan aduan seorang saudara baru (Muslimat) yang mendakwa sebahagian orang Melayu tidak mengamalkan ajaran agama sebaliknya memandang rendah dan menghina kefahaman saudara baru mengenai Islam.

Katanya, orang Melayu yang didampinginya mendakwa 'Islam mereka adalah yang terbaik' sedangkan selepas beliau mengikuti pelbagai kelas pengajian Islam, beliau mendapati sebahagian orang Melayu adalah Islam baka saja, mereka tidak pun menunaikan tuntutan agama.

Misalnya, katanya, ada perempuan Melayu berkata, bertudung itu tidak wajib. Mereka ini bukan orang tidak pandai, malah ada daripadanya lepasan universiti. Mereka mendakwa, dalam Quran pun tiada perintah untuk orang perempuan bertudung.

Sekarang sudah menjadi trend sesetengah wanita mengaku Islam - kejap bertudung, kejap hampir berbogel. Macam iklan biskut pula. Kejap ada, kejap tak ada. Nikah di masjid bertudung litup tetapi pada majlis resepsi, buka bahu dan dada! Apa nak jadi agaknya orang Melayu/Islam ini?

Wanita itu berkata sebagai saudara baru, dia menjadi 'confuse' (keliru). Kawan-kawan perempuannya berkata, "awak perlu ikut kami kerana kami lebih Islam daripada kamu! Kami lebih tahu pasal Islam berbanding kamu. Kami lebih dulu Islam daripada kamu."

Begitu juga dalam amalan kehidupan lain, katanya. Sebahagian orang Melayu tidak beramal dengan kehidupan Islam. Sebagai contoh, dakwanya, bekas suaminya (wanita ini memeluk Islam ketika mahu berkahwin) sendiri bertindak menceraikan sesuka hatinya dan tidak mengikut ajaran Islam dalam soal seperti nafkah.

"Saya tahu Islam amat tekankan tanggungjawab suami atau bekas suami. Sepanjang perkahwinan, dia pun tidak mengajar saya pasal Islam. Selepas bercerai saya ingat mahu lepaskan Islam, tetapi mujurlah saya berpeluang untuk pergi belajar, misalnya ke Perkim. Dulu saya terumbang-ambing tetapi kini saya cuba cari cahaya kebenaran (nur) itu."  

Katanya, orang Melayu tidak boleh dijadikan contoh sebagai pengamal Islam terbaik. Dalam kes penceraian saya, pegawai di pejabat agama pun mengenakan tekanan ke atas saya. Sebagai saudara baru, saya terasa tersisih, orang Melayu tidak dapat menolong saya manakala orang Cina termasuk saudara-mara sudah lama menjauhkan diri, katanya yang membahasakan diri sebagai Nur.

Nur dalam pencarian 'nur' sentiasa memerlukan contoh teladan semasa selain kisah-kisah lampau yang membabitkan srikandi Islam seperti Fatimah Az-Zahra, Aisyah Abu Bakar dan Asma Abu Bakar.