Wednesday, March 18, 2015

Siapa pengkhianat negara?

***********
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')

************

TERMENUNG sejenak saya membaca paparan nasihat di dinding sekolah ketika ke sekolah anak saya bagi mengambil keputusan SPM-nya pada 3 Mac lalu. Ya, anak-anak di sekolah 'masih mentah' (green) jadi amat bagus diingatkan perkara kebaikan dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan.

Pesanan Imam Ghazali

Yang singkat itu adalah waktu,
Yang menipu itu adalah dunia,
Yang dekat itu adalah kematian,
Yang besar itu adalah hawa nafsu,
Yang berat itu adalah amanah,
Yang sulit itu adalah ikhlas,
Yang mudah itu adalah berbuat dosa,
Yang susah itu adalah sabar,
Yang sering lupa adalah syukur.

Mungkin anak-anak terfikir mudah untuk melaksanakan pesanan Imam Ghazali, yalah bukankah mereka belum lagi banyak dosa dan matlamat kebanyakannya terutama di sekolah berasrama penuh sudah jelas - 'score'-lah sebanyak-banyak A dalam peperiksaan awam, kalau dapat semua A+ lagi bagus, malah mutakhir ini dilaporkan murid mendapat semua A+ dalam SPM akan diberikan biasiswa istimewa oleh kerajaan tanpa mereka memohonnya.

Sekalipun 'matlamat suci' pendidikan bukan untuk menghasilkan 'pelajar dapat semua A' dalam peperiksaan tetapi itulah yang dikejar-kejar oleh hampir semua orang (termasuklah murid-murid, guru dan ibu bapa) sekarang ini. Bagi pelajar yang berjaya, tahniah diucapkan dan bagi yang kurang berjaya, 'SPM bukanlah segala-galanya'. Perjalanan hidup bagi anak-anak sebenarnya tersangat jauh lagi, aneka suka duka kehidupan akan ditempohi sehinggalah kematian menjemput kita.

Murid-murid 'adalah ibarat kain putih' - mereka suci, tetapi kenapa apabila memasuki dunia dewasa, mereka mendapati dunia ini penuh dengan penipuan dan sandiwara. Ya, Imam Ghazali telah mengingatkan bahawa yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu adalah amanah dan yang sulit itu adalah ikhlas dan dalam hal inilah ramai daripada kita sudah tersasar ketika meniti kehidupan.

Teringat saya dalam kuliah mingguan seorang ustaz, beliau menegaskan bahawa cinta kepada negara adalah fitrah (sifat semula jadi) semua manusia. "Lihatlah apabila berada dalam terasingan di luar negara apabila melihat bendera Jalur Gemilang, kita bersemangat dan tanpa disuruh akan berdiri untuk menyanyikan 'Negaraku' dan menghormatinya."

Malah penjenayah pun akan bangga dengan negara (mereka pun terpanggil untuk menghormati bendera negara kita jika terserempaknya di rantau asing), hakikatnya cinta kepada negara adalah lebih daripada menghormati 'lambang negara' tetapi bertindak secara ikhlas untuk tidak mengkhianati negara terutama dalam memenuhi kehendak 'organ antara pusat dan lutut' (kebanyakan orang mahu duit banyak dan pangkat besar bagi memenuhi nafsu perut/makan dan seksnya).

Rakyat terutama pemimpin dan pemerintah diamanahkan untuk menjaga negara ini, tetapi betulkah mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing? Kebanyakannya tamak sehinggakan tanah (hartanah) pun mereka (gadai) jualkan termasuk kepada warga dan negara asing. Di Johor pada persidangan DUN negeri itu diberitahu 2,078 hartanah dijual kepada warga China tahun lalu (2014) manakala kepada warga Jepun sebanyak 211 manakala Indonesia 455 buah. Kita percaya hartanah yang dijual kepada warga Singapura adalah amat tinggi kerana ia tidak dinyatakan.

Kerana pengkhianatan kepada negara juga, warga asing termasuk pelacur membanjiri negara ini. Kebanjiran pelacur asing ini yang kerap dilaporkan kegiatan mereka, begitu mencemaskan sehingga pihak agamawan pun membuat teguran keras. Mereka tidak ingin negara ini menjadi sarang maksiat sehingga mendatangkan kemurkaan Allah SWT yang pada bila-bila masa boleh menghukum rakyat dan negara ini dengan bencana paling dahsyat. Nauzubillah, minta dijauhkan perkara ini dan sebagai warga prihatin, mereka menyuarakan rasa hati yang kurang senang dengan perkembangan ini.

Kenapa tangkap pelacur, tak tangkap dalangnya? Dalang (orang besar) yang menerajui agensi berkaitan perlu dibawa ke muka pengadilan kerana mereka hidup dan menjadi kaya raya hasil daripada penderitaan orang asing termasuk dipaksa menjadi pelacur. Malangnya sesetengah orang besar ini tidak dapat diapa-apakan kerana mereka amat berkuasa, boleh jadi sebagai barisan kepimpinan negara yang pandai bermanis muka tetapi sebenarnya adalah penjarah terkutuk! Pemimpin juga melakukan pelbagai penipuan termasuklah dalam pilihan raya.

Mereka pandai berlakon, bersandiwa, menjerit ‘pencuri-pencuri’ ketika berlaku kecurian sedangkan mereka adalah pencuri (penjenayah) sebenarnya. Mereka penjenayah dan pengkhianat negara dengan menggelapkan duit negara bukan ribuan ringgit tetapi jutaan dan ratus jutaan (berbilion) seperti dalam kes 1MDB dan PKFZ.

Ingatlah semua orang adalah pengkhianat dan menjalani kehidupan sia-sia kecuali orang yang berpegang kepada firman Allah SWT melalui Surah Asr yang bermaksud - demi masa, sesungguhnya semua manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

No comments: