Monday, January 17, 2011

Ramai tak hantar anak ke sekolah agama rakyat

Posted on 21st JAN 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Barangsiapa sembahyang isyak berjemaah, seolah-olah dia telah sembahyang seperdua malam dan barangsiapa sembahyang subuh berjemaah, seolah-olah dia telah sembahyang malam itu seluruhnya." (Riwayat Sahih Muslim)
***

KETIKA sesi pendaftaran seorang anak ke sekolah agama rakyat (sekolah petang) baru-baru ini, saya berkesempatan berbual-bual dengan guru kelasnya. Ustazah itu memberitahu saya satu hal memeranjatkan – lebih kurang 50 peratus saja anak-anak di sekolah kebangsaan (sebelah pagi) belajar di sekolah agama.

Akibat kekurangan murid, bagi satu-satu darjah (tahun) hanya dibuka dua kelas dengan jumlah pelajar kurang 50 orang. Ini adalah separuh daripada kira-kira 100 murid bagi satu-satu darjah di sekolah kebangsaan.

Saya yang mendengar hal itu terlopong mulut, selama ini mati-matian saya ingatkan adalah wajib bagi murid sekolah kebangsaan, menghadiri sekolah agama rakyat. Rupa-rupanya tidak, yang wajib hanya menghantar anak ke sekolah rendah, bagi sekolah agama rakyat tiada undang-undang mewajibkannya.

Ustazah berkenaan memberitahu saya ada pelbagai alasan ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah agama. Kena bayar yuranlah, lebih banyak belanjalah kerana anak dihantar ke sekolah dua kali dalam sehari dan ada yang memberitahu tak ada orang hendak menguruskan anak-anaklah. Demikianlah betapa banyak alasan diberi.

Berkenaan hal tidak wajib menghantar anak-anak ke sekolah agama ini barulah saya tahu pada hari berkenaan tetapi hal budak-budak tidak pergi sekolah agama dengan ibu bapa masing-masing tidak ambil peduli sudah lama saya tahu dan saksikan. Malah ada ibu bapa yang seakan-akan mengalakkan anak-anak mereka tidak ke sekolah agama.

Dulu, saya perhatikan seorang budak Tahun Enam tidak pergi ke sekolah. Semasa budak-budak lain pergi sekolah, dia bermain-main dengan rakan sebaya. Bapanya yang ditanya mengapa si anak tidak ke sekolah agama, berkata; “dia penatlah kerana sedang bersiap sedia menghadapi UPSR!” Aaiii, takkan nak ambil periksa awam sehingga tak boleh pergi sekolah agama!

Ustazah itu memberitahu saya, anak-anak yang tidak dihantar ke sekolah agama akan menghadapi banyak masalah. Mereka akan lemah pengetahuan agama, lemah Jawi dan terlepas peluang amalan praktikal seperti sembahyang berjemaah. Memang betul di sekolah kebangsaan ada subjek pengetahuan Islam termasuk bab solat tetapi itu tidak memadai.

“Saya cukup hairanlah, daripada membiarkan anak-anak bermain tak tentu hala pada waktu petang, lebih baiklah mereka dihantar ke sekolah agama. Dalam keadaan masyarakat sekarang ini tunggang langgang, masih ramai ibu bapa tidak pedulikan pendidikan agama anak-anak mereka,” keluhnya.

Selain gagal menguasai ilmu agama, anak-anak yang tidak mengikuti sekolah agama rakyat juga akan bermasalah apabila mahu menyambung pelajaran pada peringkat sekolah menengah.

Ini kerana sesetengah sekolah berasrama penuh seperti sekolah integrasi mengambil kira pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam sekolah agama selain mendapat 5A dalam UPSR. Sekolah seperti ini mewajibkan pelajar mengambil subjek Bahasa Arab dan Pengajian Islam Tinggi.

Selain soal pelajaran anak-anak, ibu bapa perlu peka kehidupan sosial mereka. Kini gejala dalam masyarakat begitu teruk, apakah ibu bapa tidak sedar-sedar lagi akan kepentingan ilmu agama kepada anak-anak

Adakah mahu sedar selepas anak masuk ke Sekolah Harapan? Itu pun dikira baik lagi kerana masih ada peluang untuk bertaubat tetapi janganlah selepas mulut dipenuhi tanah dalam kubur baru menyesal kerana itu tidak berguna sama sekali!

3 comments:

IeRA said...

salam...

Kalau di tempat saya, pendaftaran ke sekolah agama bagi darjah satu hingga darjah 3 mmg penuh, sehinggakan terpaksa buat rayuan ttp bila dah masuk darjah 4 hingga 6, pelajar dah semakin berkurangan....dengan alasan anak2 mereka takut anak2 mereka tidak dapat beri perhatian untuk UPSR.
Dan satu lagi masalah yang saya hadapi ialah Sekolah Kebangsaan membuat aktiviti petang iaitu hari Koko dan Hari sukan setiap minggu dan pelajar dikehendaki hadir...oleh itu saya betul2 dilema, sebab sebelah petang anak saya akan kesekolah agama.

Anuar bin Safian said...

Sekolah rendah pun ada ibu bapa yg tak hantar contoh mereka hantar anak ke sekolah pondok atau swasta atau parenting education..terpulang kpd ibubapa masing2 kerana mereka ada sahaja cara masing2 utk memberikan pendidikan islam

Unknown said...

Betul tu..ini bukan masalah besar untuk dirisaukan...