Wednesday, September 30, 2009

Sejarah Melayu sarat khazanah keilmuan

Penulis kerap menekankan agar generasi muda, terutama anak-anak di bangku sekolah, menguasai bahasa Inggeris. Apabila dapat menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa (bahasa Melayu dan Inggeris), tentulah 'saham' mereka tinggi. Jika dapat menguasai tiga atau lebih banyak bahasa lagi baik, tentulah peluang dan masa depan mereka terutama dalam kerjaya semakin terbuka.

Dalam kehidupan harian (biasa) pun seseorang itu akan mendapat banyak kelebihan jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Misalnya jika seseorang itu ke perpustakaan awam, mereka yang hanya dapat membaca dalam bahasa Melayu, bahan bacaan (termasuk akhbar) yang dapat baca adalah yang berbahasa Melayu saja, sedangkan yang menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dapat membaca kedua-duanya.

Biasanya akhbar berbahasa Inggeris jarang menjadi rebutan, jadi seseorang itu boleh membacanya dengan santai. Itulah contoh mudah kelebihan seseorang yang dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Tetapi perlu diingat bahawa sekalipun mampu menguasai banyak bahasa, seseorang itu sewajarlah mencintai bahasanya lebih daripada bahasa lain; kecualilah bahasa Arab kerana ia bahasa al-Quran; setiap Muslim diajar agar mencintainya sekalipun tidak faham.

Akhbar-akhbar berbahasa Inggeris di negara kita kerap menyiarkan pandangan individu dan kumpulan mengenai mengapa subjek Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa Inggeris. Antara hujah yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris adalah bahasa ulung sains dan teknologi manakala bahasa Melayu seperti diungkapkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak 'terlalu muda' dalam bidang ini.

Betulkah sains dan teknologi 'terlalu muda' di kalangan orang Melayu? Jika dlihat daripada perspektif Barat, memanglah demikian, tetapi mengapa tidak disorot daripada kaca mata dan nilai orang Melayu sendiri. Sesuatu yang dianggap maju oleh orang Barat, tidak semestinya dianggap maju oleh orang Melayu, dan demikian juga sebaliknya. Barat kaya dengan khazanahnya, demikian juga orang Melayu kaya dengan khazanahnya, jadi mengapa terus dicop bahasa Melayu 'terlalu muda' dalam sains dan teknologi.

Pada pendapat penulis, dunia Melayu sudah terlalu lama dijajah sehingga anak bangsanya sendiri tidak tahu atau sengaja tidak mahu mengambil tahu akan kehebatan bangsa termasuk bahasanya. Mereka mencela bahasa sendiri, enggan membantu memperkayanya sebaliknya bersandar kepada pemahaman bahawa Barat adalah paksi segala-galanya termasuk sains dan teknologi.

Bayangkan ramai yang menyokong penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik, menjadikan alasan entri istilah teknologi bahasa Melayu dalam enjin pencarian internet amat berkurangan berbanding bahasa Inggeris, tanpa mereka membuat sesuatu untuk membaikinya. Memang betul mungkin nisbahnya 1: 100, tetapi apakah kita boleh berbangga dengan 'kehebatan' bahasa Inggeris, sedangkan bahasa sendiri dicampak ke tepi?

Bagi membuktikan masyarakat dan bahasa Melayu tidak kurang hebatnya dari segi kemajuan teknologi, pencarian penulis akan perkataan dalam teks Sejarah Melayu yang diusahakan oleh WG Shellabear, menunjukkan wujud sejumlah istilah berkenaan. Sejarah Melayu bukan teks mengenai teknologi, jadi apabila ia turut memuatkan entri berkaitan, bermakna orang Melayu juga hebat sebagai pencipta.

Antara perkara yang dimuatkan dalam teks Sejarah Melayu adalah 'rentaka' iaitu sejenis meriam yang dapat diputar-putar. Apakah benda ini, apakah orang Melayu sudah mengkajinya? Kemudian disebabkan oleh kehebatan orang Melayu dalam ilmu layar (laut), dinyatakan banyak jenis kapal seperti lanca, kerakah, ghalis, ghali, fusta, baluk dan sebagainya. Apakah 'benda-benda' ini boleh dicari dalam enjin pencarian internet sehingga orang Melayu sendiri sanggup memperleceh bahasanya?

Kemudian ada istilah peralatan penting dalam ilmu pelayaran, peperangan dan kehidupan seperti batu tolak (teluk) bara, ali-ali, rangan, sikin, tirkash dan sebagainya. Adakah orang yang kerap mengkritik kekurangan bahasa Melayu tahu akan makna perkataan-perkataan ini? Jika tidak tahu, janganlah bercakap sombong, silalah rujuk Sejarah Melayu dan kitab-kitab lama lain.

Dalam bab politik, termasuk krisis Perlembagaan yang hebat diperkatakan menimpa negeri Perak, apakah orang Melayu yang beriya-iya bercakap macam bertih goreng itu sudah merujuk kepada kitab lama termasuk Sejarah Melayu?

Sejarah Melayu memuatkan kisah permulaan akan keturunan kebanyakan Raja-Raja Melayu yang ada hari ini. Dalam 'Alkisah Cetera Yang Kedua' Sejarah Melayu, ada dimuatkan 'perjanjian antara rakyat dan raja' yang antara lain mencatatkan:

"Maka sembah Demang Lebar Daun (kepada Sang Sapurba). "Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak."

Maka titah Sang Sapurba, "Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu, Tuanku?"

Maka titah Sang Sapurba, "Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah."

Maka titah Sang Sapurba. "Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu." Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.

Jikalau ada seorang raja memberi memberi aib seorang hamba Melayu, maka alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya."


IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Tuesday, September 29, 2009

‘Dating’ di Tanjung Kling, ‘heboh’ di Ayer Keroh

Kisah ini ditulis pada bulan Maulud (Rabiulawal) lalu. Pada tanggal 9 Mac (12 Rabiulawal) diadakan sambutan Maulidur Rasul sempena hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Di sesetengah masjid, pada setiap malam ada majlis berzanji yang akan sampai ke kemuncaknya pada malam 12 Rabiulawal.

Penulis bukan kaki TV. Tetapi pada malam Ahad (1 Mac), sambil berehat-rehat di ruang tamu, penulis sempat juga melihat-lihat rancangan televisyen yang anak-anak tonton. Mereka gemar menukar-nukar siaran; kejap TV3, kejap TV9 dan seterusnya.

Ketika ‘singgah’ di TV3, penulis dapati rancangannya adalah siaran langsung ‘Jomheboh’ dari MITC, Ayer Keroh, Melaka. Terlihatlah ribuan orang Melaka sambil berpayung (ketika itu hujan gerimis) menyaksikan artis-artis seperti Sarah Raisuddin dan Dina (kalau tidak silap penulis; maklumlah penulis bukan kenal sangat artis), bergelek di atas pentas.

Apabila TV memfokuskan penonton, penulis melihat ada anak-anak turut diseret mak bapak menyaksikan konsert itu. Terbayang di mata penulis bagaimana anak-anak ini hendak disediakan ke sekolah pada keesokan harinya (Isnin) sedangkan mereka balik daripada konsert selepas jam 11.00 malam atau 12 tengah malam.

Pada malam itu anak penulis yang berada di Tahun Satu yang sedang membuat kerja rumah, meragam. Dia tiba-tiba menangis dan merengek-rengek disebabkan sejumlah buku latihannya hilang. Bayangkanlah untuk menghadapi karenah si anak itu, penulis dan isteri hampir hilang sabar; bagaimana sesetengah ibu bapa lain boleh ‘berdondang sayang’ membawa anak-anak mereka menyaksikan konsert pada malam-malam buta itu.

Tidakkah mereka berfikir akan ‘homework’ si anak – sudah buat ke belum - esok boleh bangun awal dan tidak mengantukkah mereka di sekolah nanti? Mungkinkah ibu bapa ambil mudah; pada hari esoknya anak-anak tak payah ke sekolah manakala mereka ambil MC, ponteng daripada kerja.

Itulah orang Melayu, diasyikkan dengan hiburan, hiburan dan hiburan. Mereka terus leka, daripada si kecil yang diheret mak bapak kepada si tua bangka; semuanya mahu berhibur. Apabila ada ‘konsert free’ seperti Jomheboh, maka berpusu-pusulah mereka, hujan ribut pun mereka tidak peduli. Apa yang penting mereka dapat ‘melepaskan gian dan rindu’ kepada artis-artis yang digilai mereka.

Pada ketika berlangsung konsert Jomheboh di Ayer Keroh itu, TV9 juga membuat liputan secara langsung dari Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka. Berlawanan daripada acara nyanyian dan joget di MITC, dari Pantai Puteri ini disiarkan rancangan forum agama, Halaqah. Tajuknya ‘Dating’; jadi sungguh hebatlah orang Melaka, ‘berdating’ di Tanjung Kling tetapi ‘heboh’nya di Ayer Keroh.

Negeri Melaka tidaklah sebesar mana, jarak antara tapak Halaqah dan Jomheboh itu dekat saja; lebih kurang 20 kilometer atau setengah jam perjalanan dengan kereta. Pada malam itu saya ‘tekunkan’ mendengar bicara Halaqah yang dipengerusikan oleh Ustaz Shukri. Jadi dapatlah saya menangkap antara hujah-hujah yang disampaikan dua ahli panel itu dan Ustaz Shukri sendiri.

Sekalipun tajuk forum itu ‘Dating’ apa yang sebenar hendak disampaikan adalah larangan menghampiri zina atau dalam bahasa mudah tidak membuka ruang kepada perkara-perkara maksiat. Maka berbuih-buihlah mulut ahli panel, antara lain mengingatkan orang ramai terutama anak muda jangan ‘bermain mata’ (berdua-duan) kerana daripada panahan mata akan turun ke hati, seterusnya tercebur melakukan maksiat.

Seorang ahli panel mencadangkan sempena bulan mulia Rabiulawal ini (bulan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.), masyarakat membebaskan diri atau ‘berpuasa’ daripada ‘dating’ dan perkara-perkara yang boleh menjuruskan diri kepada maksiat.

Melihat ‘dua senario’ yang berbeza melalui siaran langsung televisyen itu (forum agama Halaqah di Tanjung Kling dan konsert Jomheboh di Ayer Keroh) di negeri kecil Hang Tuah, membuatkan seseorang itu berfikir ke arah mana sebenarnya pemerintah mahu membawa rakyat. Adakah rakyat Melaka disediakan mengikuti dua situasai (mendekati agama boleh, mendekati maksiat pun boleh) sejajar dengan slogan popular syampu ‘dua dalam satu’.

Cuba bayangkan apabila ketika seorang ahli panel Halaqah di Tanjung Kling berkata; jangan kamu menghampiri zina dengan berdua-duan dengan pasangan bukan muhrim, pada masa yang sama ada muda-mudi sedang berpeluk-pelukan kerana kesejukan di bawah sebuah payung, menonton konsert Jomheboh di Ayer Keroh.

Jaraknya kedua-dua majlis tidak jauh, dan apabila ditayangkan serentak di kaca televisyen, penulis terasa begitu sebal dan malu untuk mengaku ‘anak Melaka’. Apakah orang Melaka begitu; berkonsert boleh, berlaku alim pun boleh? Pada satu siaran, orang Melaka begitu khusyuk mengikuti ceramah agama, dan pada satu lagi siaran orang Melaka ditunjukkan begitu khusyuk mengikuti tarian dan nyanyian sehingga hujan pun tidak dipedulikan.

Orang Melaka terkenal dengan pantun mereka, jadi apabila ada majlis agama dan konsert berlangsung serentak, apakah orang Melaka mahu mengiyakan pantun ini.

Ke teluk sudah ke Siam sudah,
Ke Makkah saja saya belum;
Kupeluk sudah, kucium sudah,
Nikah saja yang saya belum.

Berdasarkan pantun ini, boleh kita tafsirkan sekalipun penulisnya berperangai tidak berapa elok (dia sudah memeluk dan mencium anak dara orang) tetapi masih ingat ajaran agamanya dengan berkata dia belum lagi ke Makkah dan juga dia belum bernikah.

Ringkasnya dia masih ada sedikit iman, kerana teringat dia masih belum bernikah tetapi telah berbuat perkara tidak baik kepada anak dara orang. Apakah orang Melaka mahu menjadi orang seperti ini; ke konsert Jomheboh di Ayer Keroh boleh, ke program agama Halaqah di Tanjung Kling pun boleh; maka jadilah orang Melaka serba boleh, maksiat boleh, berprogram agama pun boleh!

Monday, September 28, 2009

Hipokrit (munafik) dalam politik hancur generasi muda

Setiap tamadun, apatah lagi agama menyanjungi ketelusan. Agama membenci sikap hipokrit (bermuka-muka) dan dalam istilah agama Islam ia dipanggil munafik.

Berhubung persoalan munafik ini, saya tertarik dengan tulisan seorang pembaca dalam akhbar 'The Sun' tidak lama dulu. Penulis bimbang sifat munafik yang semakin berleluasa dalam masyarakat akan menjejaskan masa depan anak-anak.

Antara lain, Noel F D'Oliveiro menulis: "Hipokrasi (bersifat munafik) adalah kejahatan tahap tertinggi dalam masyarakat. Ia wujud dalam diri kita dan dalam semua peringkat masyarakat, dalam kelas atasan dan rendah. Kita semua biasa dengan sifat munafik ini - dalam politik, pengiklanan, media massa, perubatan dan paling menyedihkan dalam agama."

Kita lihat dulu amalan munafik dalam bidang politik. Kita lihat politik antarabangsa. Biasalah bagi kuasa besar dunia (Amerika Syarikat, Britain dan sebagainya) bercakap hebat mengenai amalan demokrasi dan hak asasi manusia.

Tetapi hakikatnya, mereka tidak pedulikan apa yang mereka hebohkan itu. Kuasa besar ini mahu negara lain mengikut telunjuk mereka. Yang melawan akan menerima padah seperti Iraq, Sudan, Libya atau Iran. Yang tidak melawan seperti Presiden Palestin (kini bekas), Mahmood Abas juga dipermain-mainkan.

Laungan demokrasi dan hak asasi adalah untuk memuaskan nafsu mereka saja. Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mereka wujudkan diperkudakan untuk kepentingan sendiri. PBB dijadikan topeng untuk mengesahkan sifat munafik mereka.

Barack Obama yang dunia harap-harap akan membawa perubahan (change) rupa-rupanya sama saja seperti presiden terdahulu. Amerika di bawahnya berterusan membedil apa didakwa kubu Taliban di sempadan Pakistan-Afghanistan malah beliau sudah mengerahkan 17,000 askar AS ke Afghanistan. Ratusan orang awam terbunuh, tetapi itu bukan sesuatu yang penting bagi mereka.

Politik negara kita juga menyaksikan perkara yang sama. Dari peringkat paling atas, cakap-cakap mengenai demokrasi dan hak asasi dihebohkan, tetapi setakat mana ia benar-benar dikotakan, tidaklah diketahui.

Kini selepas rampasan kuasa di Perak, cengkaman semakin keras dikenakan terhadap rakyat. Ceramah dihalang manakala akhbar alternatif dirampas. Sementara itu ada pemimpin mengugut rakyat dengan undang-undang rimba ISA. Ini adalah sebahagian bukti semakin terhakisnya amalan demokrasi di kalangan rakyat.

Di kalangan tokoh politik, sifat hipokrit boleh disaksikan menjelang satu-satu pilihan raya. Biasanya, sebelum sesuatu pilihan raya, sesebuah parti atau calon itu akan membuat pelbagai janji manis, tetapi selepas pilihan raya, kebanyakannya dilupakan. Ini satu ciri munafik - mungkir janji.

Kemudian kita saksikan gelagat sesetengah tokoh politik dan pemimpin kita yang 'cakap tak serupa bikin'. Ada Adun Perak yang bercakap berdegar-degar mengenai rasuah dalam Umno, tetapi dia kembali ke dalam parti itu. Kemudian ada pemimpin apabila harga minyak naik, menghebohkan 'ubah gaya hidup' tetapi dia dan anak isteri hidup bermewah-mewah. Bukankah ini hipokrit namanya.

Pembohongan ini akan mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak. Jika orang tua sudah mengajar mereka berbohong, hampir pasti sifat buruk itu akan diteladani. Kata orang jika guru kencing berdiri, pasti anak murid kencing berlari.

Kemudian kita lihat pula pembohongan yang dilakukan oleh sesetengah media kita. Kalau tersilap lapor, boleh dimaafkan tetapi jika sengaja menyiarkan laporan tidak benar semata-mata untuk memuaskan pihak tertentu, ia akan 'melahirkan pembohong' dalam masyarakat kita.

Contoh klasik pembohongan media ialah mengenai perhimpunan Bersih pada akhir 2007 dulu. Akhbar Melayu melaporkan hanya beberapa ribu orang saja hadir sedangkan akhbar alternatif dan agensi berita asing melaporkan puluhan ribu hadir. Gambar-gambar yang disiarkan oleh mereka membuktikan perkara itu.

Dalam bidang pengiklanan juga berlaku pelbagai pembohongan. Dikatakan sesuatu barangan mempunyai pelbagai keistimewaan sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Sekalipun dunia dikatakan sudah sampai ke kemuncak ketamadunan manusia, wanita terus diekspolitasi, termasuk dalam dunia pengiklanan. Kecantikan wanita terus diperdagang sedangkan seluruh dunia dicanang bahawa wanita kini menikmati kehidupan paling bermaruah.

Cuba kita renung dan fikirkan nasib wanita berdasarkan Academy Award bintang-bintang Hollywood baru-baru ini. Kebanyakan gambar artis wanita yang dipancarkan ke seluruh dunia sama ada melalui media cetak atau elektronik, menunjukkan buah dada masing-masing sedangkan pasangan mereka (lelaki) berpakaian serba lengkap.

Artis-artis ini dan kebanyakan pertubuhan wanita dunia menganggap cara hidup ini adalah yang terbaik, sebagai sesuatu yang bertamadun, hakikatnya ia satu langkah menzalimi wanita itu sendiri.

Ironinya, wanita Islam Afghanistan yang memakai burqa dituduh sebagai kolot dan pemerintah yang memaksa pemakaiannya dianggap zalim dan perlu diperangi. Itulah sebabnya Taliban dihancurkan setahun lalu dan hari ini cara hidup Barat dihidupkan kembali di Afghanistan.

Bukankah semua ini menunjukkan manusia amat hipokrit (munafik) dalam menjalani penghidupan?

IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Sunday, September 27, 2009

Pemujaan kubur berleluasa di Pulau Besar

Terpampang pada sebuah papan tanda: "Jabatan Agama Islam Melaka; Kempen Pencegahan Jenayah Syariah, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, Seksyen 69: Sesiapa yang memuja pantai, pokok, kayu, padang, kubur, hutan belukar, bukit atau apa-apa benda dengan apa-apa jua cara yang bercanggah dengan Hukum Syarak adalah merupakan suatu kesalahan. Denda RM2,000 atau 18 bulan penjara atau kedua-duanya sekali."

Tulisan itu diakhiri dengan perkataan: "Mencegah Jenayah Syariah Adalah Tanggungjawab Bersama." Ya, melalui artikel ini, saya menyahut seruan itu dengan mengambil kesempatan mendedahkan amalan syirik berleluasa di Pulau Besar, Melaka pada kunjungan saya ke destinasi percutian terkenal yang terletak di mukim Pernu pada cuti baru-baru ini.

Saya dan keluarga ke Pulau Besar dengan menaiki bot penumpang pertama jam 8.00 pagi hari Isnin, dari jeti Anjung Batu yang terletak 15 kilometer dari bandar raya Melaka. Sekalipun pagi masih awal, bot penuh. Kos perjalanan pergi balik RM14 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak. Bagi perjalanan balik, penumpang bebas memilih masa, bot terakhir berlepas dari Pulau Besar jam 7.00 malam.

Kira-kira 30 minit mengharungi Selat Melaka yang tenang, kami sampai di jeti Pulau Besar. Sudah lebih 20 tahun saya tidak ke pulau ini. Kali terakhir pada 1986. Ketika itu saya bertugas sebagai wartawan, mengiringi Exco Pertanian dan Perikanan, melepaskan tukun tiruan di perairan Pulau Besar.

Pada kunjungan kali ini, dari laut, saya melihat jeti baru, menganjung jauh ke laut. Kelihatan orang ramai berpusu-pusu di jeti, mahu menaiki bot yang akan dikosongkan. Mereka sudah bermalam di Pulau Besar dan tidak sabar-sabar kembali ke tanah besar. Apabila berada di atas jeti, terzahirlah kecantikan Pulau Besar.

Di jeti ada dua van uzur menunggu. Saya difahamkan kenderaan itu adalah bagi mengangkut tetamu beberapa hotel. Ini sesuatu yang baru bagi saya, kerana pada kunjungan terakhir saya dulu, tiada hotel di pulau ini.

Pantai Pulau Besar bersih dan cantik. Walaupun baru berjalan kurang setengah jam atau kira-kira 800 meter dari jeti, kami sudah menjumpai tempat 'strategik' untuk 'melabuhkan' diri dan barangan, sebelum terjun ke laut.

Dari arah laut, saya perhatian, kumpulan demi kumpulan pengunjung yang datang kemudiannya, berhimpun berhampiran beberapa kubur. Salah satu kubur itu ukurannya panjang, mungkin 20 kaki. Ada yang bertafakur, membaca sesuatu dan kemudian mengusap-usap batu nesan.

Selepas puas mandi, saya membersihkan diri di sebuah telaga berhampiran. Sukar menimba air, kerana selain kurang berpengalaman, air telaga jauh ke dalam. Terpaksalah saya berpuas hati dengan mandi ala kadar. Selepas itu kami meneruskan perjalanan, menyusuri jalan utama.

Semakin jauh, semakin banyaklah kami melihat khemah di tepi pantai. Mungkin ada ratusan khemah. Orang juga terlalu ramai, perjalanan agak sesak sehinggalah kami tiba di pekarangan sebuah tempat yang kemudiannya saya ketahui sebagai Madrasah Pulau Besar. Di kawasan inilah saya melihat papan tanda Jabatan Agama Islam Melaka itu, meminta orang ramai tidak memuja pantai dan kubur.

Tetapi apa yang saya lihat sungguh membingungkan. Di tepi pagar sebuah kubur paling dekat dengan laluan orang ramai, sebuah keluarga asyik menyalakan colok. Kelihatan sukar bagi mereka membakar colok itu dengan pemetik api kerana angin agak kuat.

Akhirnya seorang lelaki (mungkin si bapa) berjaya menyalakan beberapa batang colok, dengan segera membuat penyembahan ke arah kubur. Mulutnya kumat-kamit, tapak tangannya dirapatkan, dia sesekali membongkok ke arah kubur. Ketika lelaki itu asyik dengan pemujaannya, anggota keluarganya berhempas pulas menyalakan colok lain.

Saya tidak sanggup menyaksikan adegan itu. Terasa mahu menegur, tetapi tidak berupaya. Apa yang terdaya, rasa kesal dan membantah perlakuan dalam hati, itulah tanda selemah-lemah iman.

Orang ramai berpusu-pusu di kawasan itu. Mereka mendaki bukit untuk ke sebuah bangunan kubur; menempatkan dua kubur panjang. Ketika saya melalui dinding kubur itu, seorang lelaki merapati saya, memasukkan secubit gula pasir ke dalam telapak tangan saya, meminta saya merasanya.

Saya tidak hiraukannya tetapi menghalakan mata ke dalam kawasan berkepung itu. Saya lihat ada dua kubur amat panjang. Di hujungnya ada timbunan bunga dan botol berisi air. Orang ramai berasak-asak, menghulurkan tangan mereka, cuba menggapai botol-botol berkenaan manakala ada yang membalingkan bunga ke dalam bangunan kubur.

Sementara itu, beberapa orang duduk di luar dinding kubur, ada memegang Surah Yasin, membacanya. Ada yang sedang berdoa. Di tiang bangunan terdapat sebuah kotak, mengandungi timbunan naskhah Surah Yasin.

Di sisi bangunan kubur, terletak Madrasah Pulau Besar. Tidak ramai orang di situ, mereka lebih menumpukan perhatian di kuburan. Di bahagian belakang surau, ada sebuah kolam air besar. Ada beberapa orang sedang mandi, tidak saya ketahui tujuan mereka.

Kami meneruskan perjalanan. Makin jauh, orang semakin ramai. Kami temui sebuah surau lagi, penuh dengan manusia di dalamnya. Berhampiran, terdapat beberapa ekor kambing ditambat, dan di atas dataran berdekatan surau, terdapat pacakan puluhan colok, seolah-olah membentuk beberapa kubur, satu daripadanya amat panjang. Saya difahamkan inilah Kubur Tujuh Beradik, pernah dirobohkan pihak berkuasa agama tetapi kini menjadi tempat pemujaan.

Kami terus berjalan, menyusuri denai dan akhirnya tiba di sebuah bekas padang golf di atas bukit. Kami berehat di situ, tetapi bau bakaran colok mencucuk hidung. Kami tidak tahan lagi, dan di situlah kami buat keputusan pulang segera. Pada jam 12.30 tengah hari kami sudah menaiki bot untuk balik pada hal sebelum itu kami bercadang balik lewat petang!

IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Saturday, September 26, 2009

Umno panik bila ‘non-Muslim’ belajar Islam

Sudah lama ahli Majlis Tertinggi KeADILan yang juga ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan, memetik ayat suci al-Quran dalam ucapannya tetapi pemimin Umno tidak berkata apa-apa. Demikian juga apabila Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerap bercakap mahu meniru kebaikan Khalifah Umar Abdul Aziz; mereka membisu. Tetapi apabila Setiausaha DAP Perak yang juga ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, memetik ayat Quran, mereka melenting. Kenapa?

Seorang penganalisis berhujah, Nga melakukan demikian ketika suasana politik pilihan raya kecil Bukit Gantang sedang membahang. Umno-BN memang mencari isu untuk dieksploitasi. Kebetulan Nga tersilap dalam pembacaannya, maka apa lagi pemimpin Umno dan pengampunya melentinglah, mereka membuat laporan polis kononnya Nga menghina Islam dan mahu pihak berkuasa agama bertindak.

Seorang pendakwah, Dr Azhar Yaakob mendakwa, sejak merdeka Umno tidak berusaha mengajar rakan-rakan bukan Islamnya dalam komponen BN (ahli-ahli MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya) akan kandungan Islam dan isi al-Quran. Lagi pun mereka bukan mengamalkan semua hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran itu.

Umno adalah parti perkauman nasionalis yang memperjuangkan kepentingan Melayu, digabungkan dengan parti perkauman juga seperti MCA dan MIC yang masing-masing memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Matlamat gabungan parti-parti perkauman ini yang dulunya dikenali Perikatan dan selepas 1969 sebagai Barisan Nasional adalah untuk mengekalkan tampuk pemerintahan sejajar dengan slogan Umno – dulu, kini dan selamanya. Mereka mahu memerintah Malaysia selamanya, bolehkah begitu?

Kenapa pemimpin Umno tidak mahu mengajar atau sekurang-kurangnya memberitahu orang bukan Islam akan seluruh kandungan ajaran Islam sebaliknya bermain ‘sorang papan, tarik papan’ (mendedahkan yang mereka fikir menguntungkan dan menyembunyikan yang mereka fikir merugikan seperti pelaksanaan hukum hudud)? Mengapa ada pemimpin Umno memperkenalkan gagasan asing ‘Islam Hadhari’ sedangkan kandungan al-Quran tidak diberitahu atau didedahkan sepenuhnya?

Seorang pemikir dan penulis buku, Amin Nordin Abdul Rahman, berkata jika ‘non-Muslim’ diajar atau didedahkan kandungan ajaran Islam sepenuhnya, secara automatiknya ‘Umno akan bungkus’.

Katanya, apabila orang bukan Islam tahu akan ajaran Islam yang asas seperti tidak boleh berlaku zalim (mengurung orang tanpa bicara – ISA), tidak boleh melakukan rasuah, tidak boleh menindas orang berlainan bangsa dan agama tentunya mereka akan menolak Umno yang mengamalkan politik perkauman kerana Islam menyuruh berlaku adil dan membuat kebaikan kepada semua manusia. Sebagai contoh, antara kezaliman Umno, dalam beberapa Perhimpunan Agung Umno, ada pemimpin menghunus keris mengugut kaum lain sedangkan itu tidak dibenarkan sama sekali oleh Islam.

Kini orang bukan Islam sudah mulai belajar akan kandungan Islam termasuk daripada al-Quran. Itulah sebabnya pemimpin seperti Gobalakrisnan kerap mengucapkan ayat 54 Surah Ali Imran yang bermaksud: “Mereka (orang jahat) membuat perancangan jahat, Allah juga membuat perancangan dan Allah-lah sebaik-baik membuat perancangan.” Nga Kor Ming pula memetik Ayat 90 Surah An-Nahl yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan membuat kebajikan…”

Apabila pemimpin Umno mendengar orang bukan Islam memetik ayat-ayat Quran ini, mereka menjadi takut, panik dan menggigil ketakutan. Tentulah orang Islam sejati yang biasa membaca dan berusaha untuk mengikuti perintah Allah, bersikap biasa saja tetapi mereka yang menyeleweng, berlaku jahat, tidak berlaku adil dan menyembunyikan makna ayat-ayat ini akan ketakutan, bukan takut kepada Yang Maha Kuasa sebaliknya takut akan kehilangan kuasa tidak lama lagi.

Apabila ‘non- Muslim’ di kalangan orang Cina, dan kaum-kaum lain, berupaya memetik ayat-ayat Quran yang meminta manusia berbuat baik dan menjauhkan kejahatan, maka apa lagi hujah pemimpin Umno untuk menyatakan mereka betul. Mereka berasa ngeri, kebenaran tidak dapat disembuyikan, masa untuk mereka tersungkur semakin hampir. Misalnya, rasuah membelenggu mereka sedangkan perkara itu dlarang keras dalam Islam.

Selama berdekad-dekad pemimpin Umno dan ustaz-ustaz yang mendampingi mereka tidak memberitahu atau mendedahkan kepada ‘non-Muslim’ bahawa Islam bukan untuk orang Islam semata-mata tetapi ‘rahmatal lil alamiin’ (rahmat kepada sekalian alam, bukan saja kepada manusia tetapi seluruh alam). Apa yang kerap berlaku, orang bukan Islam yang mendekati Islam ditakut-takutan dengan kata-kata cemuhan seperti; “tidak takut kena potongkah?” atau “mahu kahwin Melayukah?” Mereka menganggap Islam itu eksklusif untuk orang Melayu sedangkan Islam adalah rahmat untuk semua.

Kini semakin ramai ‘non-Muslim’ cuba memahami Islam. Kecenderungan ini bukan berlaku dalam negara saja tetapi di seluruh dunia, terutama selepas Peristiwa 911 (serangan ke atas WTC pada tahun 2001). Al-Quran dan tafsirannya menjadi begitu laris; mengalahkan bahan bacaan lain dalam senarai jualan dan pesanan. Apabila ini berlaku, orang Cina, India dan bangsa lain di Malaysia juga tidak lagi dapat disekat-sekat untuk meneliti dan mengkaji kandungan al-Quran.

Di Malaysia, peristiwa penyingkiran Anwar Ibrahim pada 1998 telah mencetuskan reformasi rakyat, orang Cina dan India yang ‘non-Muslim’ sudah boleh duduk mendengar ceramah PAS. Mereka berminat mengetahui apa itu keadilan. Kemudian dengan penubuhan KeADILan, perhubungan sesama rakyat tidak lagi berasaskan perkauman seperti anjuran sebelum ini – Umno untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India.

PAS yang juga bukan parti perkauman tetapi berpaksikan Islam juga mendapat perhatian hebat ‘non-Muslim’. Dengan tertubuhnya Kelab Penyokong PAS, semakin ramai orang bukan Islam diberi kefahaman mengenai Islam. Islam itu menyeluruh untuk semua; bukan untuk orang Islam saja. Itulah sebabnya PAS menyerlahkan slogan terbarunya – PAS For All (PAS Untuk Semua).

Kini Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Melanau, Serani dan sebagainya, semuanya sudah bergerak ke suatu matlamat – mengakhiri kezaliman dan menegakkan keadilan.

Oleh itu salahkah orang seperti Nga Kor Ming memetik ayat al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan membuat kebajikan…” Hanya pesalah saja yang takut, macam seseorang yang dikaitkan dengan satu kes pembunuhan, sebut saja nama sebuah negara nun di utara glob, dia sudah menggeletar.

Friday, September 25, 2009

Bahaya 1-Malaysia jadi 2-Malaysia, 3-Malaysia…

Cuti panjang penulis manfaatkannya dengan menziarahi seorang saudara yang sakit di Terengganu. Di Terengganu penulis terlihat beberapa papan tanda gergasi (ada gambar Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said) yang mempromosikan gagasan 1 (Satu) Malaysia.

Bagi penulis 1-Malaysia membabitkan seluruh rakyat. Najib adalah Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia. Apa dipaparkan di Terengganu itu tidak menggambarkan Najib sebagai Perdana Menteri seluruh rakyat tetapi Perdana Menteri Barisan Nasional (BN).

Pada papan tanda itu ada logo besar dacing (BN). Ada tulisan 1-Malaysia, diikuti ‘Rakyat-BN-Kerajaan’. Ada slogan ‘Ke arah merakyatkan pembangunan’ dan ‘Rakyat didahulukan prestasi diutamakan’. Melihat papan tanda itu, mungkinkah rakyat dimaksudkan orang BN saja, yang lain bukan rakyat? Orang BN membentuk 1-Malaysia, orang bukan BN mahu diletakkan di mana?

Apabila 1-Malaysia difokuskan kepada orang BN saja, secara automatik gagasan hebat Perdana Menteri itu awal-awal lagi sudah menghadapi masalah. Apabila orang BN saja dimasukkan dalam 1Malaysia, ia tidak menjadi Satu Malaysia sebaliknya Dua Malaysia, satu penyokong BN; satu lagi yang tidak menyokongnya.

Ketika ini BN dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai kira-kira 50 peratus sokongan rakyat. Adakah ini bermakna Najib adalah PM kepada 50 peratus rakyat; baki 50 peratus itu berperdana-menterikan siapa?

Pemimpin BN Terengganu janganlah terlalu ghairah mencari sokongan sehingga terlupa bahawa penyokong pembangkang juga (sekalipun mereka tidak bersetuju), hakikatnya berperdana-menterikan Najib. Perasaan mereka perlu dijaga, jika tidak awal-awal lagi projek 1-Malaysia gagal, dikhuatiti akan muncul 2-Malaysia!

Jika konsep 1-Malaysia mahu dijayakan, banyak kebiasaan lama termasuk slogan kerajaan BN perlu dihentikan serta-merta. Keutamaannya banyak, tetapi penulis memilih media massa sebagai yang pertama perlu dibersihkan. Satu Malaysia, bermakna media massa perlu meletakkan prioriti rakyat di kedudukan teratas. Semua rancangan perlu memfokuskan kepada kepentingan rakyat, bukan membiarkan kehendak kelompok tertentu seperti penyokong Umno-BN membolot 80-100 peratus slotnya.

Rancangan berita dan ehwal semasa misalnya perlukan perubahan menyeluruh. Media massa tidak boleh lagi menyiarkan laporan berat sebelah kerana ini akan menghalang kelancaran kejayaan 1Malaysia. Laporannya mesti bersifat ‘daripada rakyat (atau wakil rakyat) untuk rakyat’.

Permulaan laporan stereotaip seperti ‘Presiden Umno………berkata...’ tidak diperlukan, tetapi ‘Perdana Menteri………berkata…’ wajar digunakan; ini bagi menunjukkan Perdana Menteri bercakap bagi kepentingan semua rakyat tidak kira dia orang Umno, MCA, MIC, PAS, DAP, KeADILan, Gerakan dan sebagainya. Ini kerana PM bukan PM Umno atau BN tetapi Perdana Menteri seluruh rakyat Malaysia.

Amalan diskriminasi sesetengah pemimpin politik, jabatan dan agensi kerajaan juga perlu dihentikan. Usahlah dikaitkan politik kepartian dalam urusan membabitkan kerajaan. Misalnya, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan peruntukan melalui JKKK tidak perlulah seseorang itu ditanya penyokong parti mana; sewajarnya dengan konsep 1-Malaysia semua yang layak dibantu. Demikian juga tidak perlulah jawatan dalam masjid dan organisasi di kampung dikuasai parti tertentu.

Kemudian dalam projek-projek kerajaan, tidak wajar ditulis ‘Sebuah Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional’. Apabila dilakukan sedemikian, secara automatik ia telah memecah-belahkan rakyat kerana ada projek BN dan projek puak bukan BN.

Rakyat tidak sewajarnya dikelabui mata kononnya BN mampu berbuat itu dan ini sebaliknya mereka dididik untuk terus berjasa kepada negara tidak kira kerajaan apa yang menguasai pemerintahan.

Sebagai contoh di Amerika Syarikat, kerajaan boleh bertukar ganti antara Demokrat dan Republikan tetapi kesetiaan rakyat adalah tetap kepada negara. Mungkin di Amerika (saya tidak pernah lagi ke sana), projek-projek kerajaan tidak ditulis ‘Sebuah Lagi Projek Kerajaan Demokrat’. Apa yang saya nampak, rakyatnya bangga dengan apa saja berkaitan negara seperti ‘The United States Army’ dan ‘The Government of United States’.

Konsep 1-Malaysia juga menuntut rakyat bangga dengan apa yang dapat mereka sumbangkan. Mungkin ada yang bertanya jika semua rakyat tidak kira apa parti politik dianggotai, dikehendaki membayar cukai jika mereka layak, mengapa pula wang yang mereka salurkan itu digunakan bagi membiayai ‘Sebuah Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional’.

Tentulah mereka panas hati sebab di Malaysia, bukan saja orang BN yang perlu bayar cukai, penentang BN pun kena bayar. Kalau slogan seperti ‘Sebuah Lagi Projek Barisan Nasional’ ini tidak dihentikan, alamat sukarlah untuk mewujudkan 1-Malaysia, sebaliknya mungkin ada 2-Malaysia.

Dalam bidang pendidikan pula, melalui Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) telah mewujudkan beberapa kumpulan rakyat; 1-Malaysia mungkin kumpulan yang menyokongnya, manakala 2-Malaysia yang menentangnya. Sehubungan itu Najib perlu selesaikan isu ini dengan segera supaya gagasan 1-Malaysianya dapat direalisasikan. Apa yang berlaku sekarang, kerajaan menangguh-nangguhkan keputusan mengenai PPSMI ini kerana ia dipercayai tiada jalan keluar terbaik; ditelan mati anak, diluah mati bapak.

Perdana Menteri (kerajaan) boleh diibaratkan seorang bapa. Jika seorang bapa bersikap adil kepada semua anak-anaknya sekalipun ada yang nakal, insya-Allah dia boleh mewujudkan 1-Keluarga, tetapi jika dia bersikap zalim; ada anak dikasihi, ada dianak tiri, dia bukan saja akan mewujudkan 2-Keluarga, malah situasi bercerai-berai. Demikianlah jika salah pendekatan, slogan 1-Malaysia yang diuar-uarkan itu dikhuatiri akan melahirkan 2-Malaysia, 3-Malaysia dan seterusnya!

Thursday, September 24, 2009

Media perlu cakap serupa bikin

Tanggal 3 Mei setiap tahun wartawan menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Kini di negara kita, wartawan memandang sepi hari ini, mengesahkan tiada apa perlu disambut, mungkinkah kerana tahap kebebasan akhbar semakin teruk menjunam dengan pertubuhan media sedunia, 'Freedom House' meletakkan Malaysia pada kedudukan 141 daripada 195 negara dalam indeks kebebasan media, setaraf Cameroon dan Liberia.

Badan pemantau antarabangsa, Reporters Without Borders (RWS) atau Wartawan Tanpa Sempadan yang beribu pejabat di Paris, Perancis, dalam laporan tahunannya pula meletakkan Malaysia di tempat ke-132 daripada 173 negara, yakni yang paling teruk dalam tempoh beberapa tahun terakhir.

Pada tahun 2007, Malaysia di kedudukan 124, pada 2006 (92) pada 2005 (113), pada 2004 (122), 2003 (104) dan 2002 (110 daripada 139 negara).

Selain menyokong usaha meleraikan kekangan terhadap media kerana wujudnya pelbagai sekatan seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; kita berpendapat media di Malaysia perlu meningkatkan tanggungjawab sosialnya. Ini semakin terasa sejak 2004 apabila parti pemerintah Umno-BN menang besar pada pilihanraya umum, menyebabkan tiada pihak termasuk media yang berani menjalankan peranan ‘check and balance’, kerja media banyak mengampu atau menjadi ‘yesman’ atau jurucakap pemerintah sahaja.

Bagaimanapun keadaan berubah mendadak selepas pilihanraya umum Mac 2008 yang menyaksikan empat negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, menyebabkan kerajaan Barisan Nasional sentiasa tergugat. Bagaimanapun media tidak banyak berubah, gagal berperanan sebagai pengimbang (check and balance) sebaliknya terus mendodoi kerajaan Pusat sekarang selain memperkecil-kecil dan mencari kesalahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Apa dimaksudkan dengan tanggungjawab sosial ini termasuklah memenuhi keperluan mendidik rakyat terutama generasi muda. Dunia media massa Malaysia hari ini terlalu mementingkan laba sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pembina masa depan generasi muda. Daripada media elektronik sehingga media cetak, semuanya berlumba-lumba mendapatkan pelanggan sebanyak mungkin seterusnya mengaut keuntungan berlipat ganda, tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat, khasnya generasi muda. Tetapi generasi muda hari ini adalah golongan pemikir, menyebabkan media tradisional seperti akhbar arus perdana, merosot jumlah edaran dan pembacanya dengan begitu teruk sekali.

Dalam banyak hal, media tidak selari dalam pengisiannya. Ambil contoh terbaru bagaimana akhbar-akhbar berbahasa Malaysia begitu ghairah melaporkan tindakan pegawai-pegawai jabatan agama Islam negeri seperti Pahang yang menyerbu premis perjudian (empat nombor ekor) dan menangkap beberapa orang Islam yang disyaki membeli tiket nombor ekor.

Sungguh menghairankan, media yang begitu bersungguh-sungguh menyiarkan berita petugas agama menangkap orang Islam berjudi, pada masa yang sama menyiarkan keputusan nombor nombor ekor dan iklan SMS berkenaan nombor ekor sehingga dua atau lebih muka surat, terutama di ruang sukan.

Bagaimana ini, pada suatu sudut, akhbar-akhbar ini menyertai gerakan membanteras orang Islam daripada berjudi, pada masa sudut lain pula ia menggalakkan orang ramai terbabit dalam perjudian kerana ia turut menyiarkan (bermakna menggalakkan) keputusan nombor ekor.

Selain nombor ekor, sesetengah akhbar arus perdana begitu ghairah menyiarkan iklan minuman keras. Iklan-iklan ini kadang-kadang mengambil satu muka penuh, ada daripadanya berwarna-warni. Kadang-kadang dalam akhbar yang sama, disiarkan panduan agama yang mengkisahkan keburukan minuman keras dan ada kala ada penasihat kesihatan atau polis menasihatkan orang awam ‘Don’t Drive When You Drink’ (Jangan Memandu Jika Anda Minum).

Demikianlah orang awam menjadi keliru dan celaru. Ada nasihat supaya mereka tidak minum dan kemudian ada iklan pula menggalakkan mereka minum. Pening rakyat memikirkan situasi yang bercelaru yang dicetuskan oleh akhbar mendakwa arus perdana ini.

Berlainan cakap tidak serupa bikin diamalkan akhbar arus perdana ini, kita berbangga dengan akhbar Harian Sinar dan alternatif seperti Harakah, Suara Keadilan dan Siasah yang tidak menyiarkan keputusan empat nombor ekor ini. Demikian juga iklan arak yang dijauhkan sama sekali oleh akhbar-akhbar ini. Ini suatu perkembangan menarik, tetapi dapat diperbaiki jika akhbar seperti Harakah dapat menyemak iklan-iklan berkaitan kebahagiaan lelaki yang disiarkan secara keterlaluan.

Jika media kita kerap memapar dan mengesyorkan cara hidup yang sihat, mereka sewajarnya membuktikannya berdasarkan bahan-bahan yang mereka siarkan. Jika mereka menguar-uarkan judi itu boleh merosakkan individu, keluarga, masyarakat dan negara, maka sejajar dengan itu mereka perlu berhenti daripada menggalakkan aktiviti itu seperti menyiarkan keputusan empat nombor ekor.

Demikian juga dengan minuman keras, jika dikatakan ia tidak sihat dan menyumbang kepada gejala dalam masyarakat, mengapa pula disiarkan iklan dalam akhbar; bukankah itu tanda menggalakkan orang ramai menjadi kaki botol atau kaki judi?

Apa yang dipaparkan ini menunjukkan media kita perlu direformasikan, agar apa dicakap serupa atau sejajar dengan apa dibikin. Bagaimana mahu mereformasi media, jawapannya tidak lain daripada menggantikan kerajaan sekarang dengan kerajaan Pakatan Rakyat Rakyat yang penyokongnya sudah kerap menggegarkan negara dengan REFORMASI!

Tuesday, September 22, 2009

Isu ragut dan keengganan mematuhi hukum Allah

Selama lima tahun saya kerap berulang alik antara bandar raya Melaka dan Batang Melaka kerana salah seorang anak saya belajar di sebuah sekolah berasrama penuh berhampiran pekan di sempadan Melaka-Negeri Sembilan itu.

Selepas anak saya menamatkan tingkatan lima, tiada keperluan saya ke sana tetapi baru-baru ini ketika melalui jalan raya yang menyusuri Empangan Jus yang jaraknya lebih kurang 10 kilometer dari Batang Melaka, saya terkejut besar menyaksikan sebuah kawasan hutan berhampiran tebing empangan itu sudah digondolkan.

Mungkinkah ada projek besar bakal dibangunkan berhampiran empangan yang baru disiapkan bagi menampung keperluan bekalan air penduduk Melaka? Kawasan alam semula jadi yang nyaman dan indah di situ akan musnah, semuanya gara-gara manusia ‘gila meragut’ sekarang ini. Keindahan hutan pun diragutnya. Siapakah peragut ini, atau mereka di bekalangnya?

Ketika ini kegiatan meragut beg tangan wanita dilaporkan semakin berleluasa. Dilaporkan beberapa wanita terbunuh akibat daripada kejahatan ‘jantan tak berguna’ yang meragut harta mereka. Fokus diberikan kepada kejadian meragut beg ini dan sesetengah pihak menghalakan kesalahan kepada mat rempit.

Tumpuan kepada isu meragut beg sahaja seperti dilakukan sesetengah pihak sekarang tidak akan menyelesaikan masalah. Masalahnya, jenayah ragut dan jenayah sepertinya ada banyak. Istilah ragut pula boleh digunakan dalam banyak keadaan.

Kalau berada dalam kapal terbang, kadang-kala kita bernasib baik, terutama ketika pesawat mula berlepas atau mahu mendarat, kerana dapat melihat permukaan bumi dengan jelas. Acap kali saya perhatikan bumi Malaysia paling teruk kawasannya ‘diragut’. Ada bukit bukau kelihatan gondol, tanahnya berwarna kemerah-merahan, tandanya ia sudah ‘diragut’. Bukit dan hutan banyak dimusnahkan.

Selain tanah yang ‘diragut’, air sungai kelihatan berwarna susu kotor, mengalir lesu membawa sisa dari kawasan projek pembangunan. Bumi Malaysia paling banyak dirosakkan sedangkan di negara lain, sukar dilihat permukaan buminya digondolkan. Di negara maju, sukar melihat kawasan ‘diragut’ sedemikian rupa seperti di Malaysia.

Itu baru ‘peragut’ alam semula jadi, bagaimana pula peragut berkaitan sesama manusia pula? Dalam kemelut politik di Perak, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, menyifatkan kerajaan haram BN bertindak meragut kerusi Speaker Dun Perak, V Sivakumar. Sebelum itu Umno-BN Perak yang diketuai Pengerusinya ketika itu (kini Perdana Menteri), Dato’ Seri Najib Tun Razak, didakwa telah ‘meragut’ kerajaan negeri Pakatan Rakyat sah yang diketuai Menter Besar, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaludin.

Istilah ‘meragut’ ini semakin jelas maknanya kerana Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah. Maka terbuktilah jawatan, pangkat dan kuasa Nizar dan kerajaan dipimpinnya diragut oleh gerombolan pemimpin Umno-BN. Jika kuasa yang sebegini tinggi (membabitkan sebuah kerajaan) dapat diragut oleh pihak tertentu, apa yang hendak dihairankan dengan kejadian yang diheboh-hebohkan sekarang ini: mat rempit meragut beg tangan wanita!

Meragut beg itu kecil saja berbanding banyak lagi kejadian ragut. Meragut keindahan dan keharmonian alam semula jadi itu besar kesnya, demikian juga meragut sesebuah kerajaan yang perbutan itu dinamakan merampas kuasa. Ada banyak lagi jenayah ragut, misalnya meragut kehormatan anak dara orang (rogol atau zina), ragut wang rakyat (rasuah), ragut nyawa orang (melakukan pembunuhan) dan ragut hak asasi rakyat (menjadikan mereka tahanan ISA).

Kenapa jenayah ragut semakin menjadi-jadi dewasa ini? Jawapannya mudah kata seorang ustaz dalam syarahannya di masjid kampung saya baru-baru ini. Katanya, negara dan masyarakat kini dilanda huru-hara kerana mereka yang mengaku Islam tidak mahu tunduk, malah keras kepala daripada mendaulatkan undang-undang Allah SWT.

Katanya, Allah SWT sebagai pencipta manusia dan alam ini, menyediakan peraturan untuk yang dicipta-Nya. Bagaimanapun manusia besar kepala, menolak undang-undang Allah, sekali gus menempah kebinasaan bukan saja di akhirat sana tetapi di dunia lagi. Masyarakat menjadi huru-hara, hukum rimba menjadi raja, yang mengamalkan hukum rimba menuduh pihak lain melakukannya; samalah seorang pencuri atau perompak menjeritkan orang lain sebagai penjenayahnya.

Hukum-hakam Allah SWT seperti hudud dan qisas ada kehidupan (nyawa) dan kebarakahan di dalamnya. Ambil contoh jenayah ragut (rompak atau curi) misalnya yang boleh membawa hukuman potong tangan. Apabila seorang saja peragut bersalah dikenakan hukuman potong tangan dan dihebahkan secara besar-besaran di seluruh negara, nescaya bakal peragut akan berfikir banyak kali sebelum meragut. Siapa mahu kudung yang akan menyebabkan dia malu sepanjang hayatnya?

Demikian juga dengan jenayah meragut kehormatan wanita (merogol atau berzina) yang boleh membuka hukuman sebat 100 kali (bagi yang belum berkahwin) dan rejam sampai mati (bagi yang sudah berkahwin), tentulah menakutkan mereka yang ada hati melakukannnya. Apabila seorang pesalah zina dikenakan hukuman rejam sampai mati di khalayak ramai, insya-Allah jenayah membabitkan ragut kehormatan ini dapat diatasi.

Untuk jenayah membunuh pula, tiada hukuman yang layak kecuali si pembunuh dihukum mati kecualilah dimaafkan oleh keluarga si mati yang memerlukan dia membayar diat.

Ustaz berkata hukum-hakam Islam adil untuk semua. Tidak timbul masalah orang besar, ternama, berketurunan mulia mendapat pengecualian (sekarang ini ada kes orang besar tidak dikenakan hukuman sekalipun terbabit dalam rasuah) kerana ada sebuah hadis amaran Rasulullah s.a.w. yang menyatakan bahawa jika anak baginda (Fatimah) mencuri, nescaya dia juga akan dipotong tangannya. Jika meragut (curi), hukumannya potong tangan, bagaimana pula hukuman meragut kuasa sesebuah kerajaan?

Monday, September 21, 2009

Kenapa media Indonesia marah-marah dengan Malaysia?

Pada Februari 2005, selepas lebih seminggu membuat liputan keadaan mangsa tsunami di Meulaboh dan Banda Aceh, saya ke rakan-rakan kembali ke Medan; bersiap untuk pulang ke tanah air. Ketika menunggu penerbangan, kami berkunjung ke beberapa pusat membeli-belah. Sungguh terasa hebat kerana kebanyakan jurujual berpendapat kami kaya raya belaka, ringkasnya orang Malaysia hidup penuh kemewahan.

Seorang jurujual bersungguh-sungguh meminta saya membeli alat senaman peribadi; katanya, harga barangan sebanyak dua juta rupiah itu tidak ada apa-apa bagi orang Malaysia yang kaya seperti saya. Memanglah dua juta rupiah itu hanya kira-kira RM600; tetapi saya bukan orang kaya yang boleh membuat pembelian sesuka hati.

Demikianlah saya membuat andaian, orang Indonesia menganggap orang Malaysia kaya; sama seperti orang Malaysia mengandaikan orang Brunei kaya raya belaka. Orang Malaysia juga mengadaikan orang Kuwait dan Arab Saudi hidup dalam timbunan wang.

Hakikatnya tidak begitu. Di mana saja ada orang kaya dan orang miskin. Ketika menunaikan haji pada 2005 dulu, di Makkah saya perhatikan ramai orang Indonesia menginap di hotel lima bintang seperti Hilton, beraya sakan membeli gelang dan rantai emas dan makan-makan di restoran mewah termasuk KFC.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis, tanggapan orang Malaysia kaya dan berstatus tinggilah yang penyebab orang Indonesia, khususnya koran (akhbar) di negara itu cemburu, sekali gus cepat melenting jika tercetus isu membabitkan kedua-dua negara.

Saya masih ingat bagaimana pada tahun-tahun 70-an dan 80-an (semasa saya remaja), dalam kebanyakan bidang orang Malaysia berkiblatkan Indonesia tetapi kini tidak lagi.

Ada perkara berkaitan Indonesia membabitkan diri penulis. Misalnya ketika itu penulis asyik dengan filem-filem Indonesia yang hangat di pasaran dengan aktor dan artisnya seperti Roy Marten, Lenny Marlina, Christine Hakim dan Yenny Rachman. Penyanyi seperti Emilia Contessa dan Brorey Marantika juga mendapat tempat.

Penulis-penulis Indonesia juga disanjungi. Penulis agama seperti Hamka disegani manakala karya Pramodeya Ananta Toer, Keluarga Gerilya dijadikan buku teks Kesusasteraan Melayu Tingkatan Enam.

Sirnanya kekaguman rakyat Malaysia kepada Indonesia dapat difahami berdasarkan apa yang diungkapkan oleh editorial sebuah akhbar Indonesia tidak lama dulu: “Malaysia semakin memperlihatkan keangkuhannya. Negara yang pernah ‘berguru’ kepada Indonesia itu, sekarang menginjak-injak kedaulatan bangsa ini.” (Akhbar ini merujuk kepada isu Ambalat, kepulauan di luar Sabah-Kalimantan yang menjadi perselisihan Malaysia-Indonesia).

Betulkah dulunya Malaysia murid, Indonesia guru seperti diungkapkan akhbar itu? Ataupun dalam bahasa yang lembut, dalam hubungan ‘abang-adik’ Indonesia-Malaysia; dulunya Malaysia adalah adik manakala Indonesia abang; tetapi apakah perubahan status sekarang ini menyebabkan media Indonesia cepat terasa dan melenting apabila timbul isu berkaitan kedua-dua negara?

Hakikatnya orang dan pemerintah Indonesia sudah acap kali berkecil hati dengan banyak perkembangan membabitkan rakyat mereka di Malaysia. Daripada isu pembantu rumah didera kepada pekerja yang tidak dibayar gaji, pendatang haram yang dihalau balik dan terkini kes model Manohara Odelia Pinot yang mendakwa didera suaminya seorang putera raja Kelantan, semuanya memperlihatkan seolah-olah orang Malaysia berlaku zalim kepada mereka.

Oleh itu apabila tercetusnya isu membabitkan kedua-dua negara, media massa Indonesia cepat melenting, menaikkan semangat rakyat sedangkan isu yang sengaja dijadikan panas di Indonesia itu ditangani dengan tenang di Malaysia.

Sebagai contoh isu pertindihan tuntutan ke atas Ambabat dijadikan permasalahan nasional oleh media Indonesia; rakyat diapi-apikan untuk bertindak ke atas Malaysia sehingga ada yang melancarkan kempen ‘ganyang’ Malaysia. Malah dalam perkembangan terbaru, Manohara dan ibunya dilaporkan turut serta dalam kempen Lasykar Merah ‘mengganyang’ Malaysia.

Dalam hal ini, sikap sederhana dan bersabar pemerintah Indonesia dipuji kerana walaupun isu Ambalat ini yang sudah bertahun-tahun diapi-apikan oleh media massa Indonesia, mereka masih bersedia mencari jalan damai dengan berunding dengan pemimpin tertinggi Malaysia termasuk panglima angkatan tentera selain ketua kerajaan kedua-dua negara.

Bayangkan bagaimana panasnya isu Ambalat ini tidak lama dulu apabila sesetengah akhbar Indonesia, membuat laporan dan editorial mencemaskan dengan tajuk seperti ‘DPR desak pemerintah tembak kapal Malaysia’, ‘Meninjau kesiapan persenjataan’, ‘Pesawat F-16 disiagakan untuk Ambalat’, ‘Empat F-16 RI ke perbatasan’, ‘Malaysia tembak nelayan kita’ dan ‘DPI setuju perang: RI kerahkan F-16’.

‘DPI setuju perang?’ – bunyinya sungguh menakutkan; tidak dapat dibayangkan jika terjadi perang Malaysia-Indonesia. Namun, satu perkembangan melegakan, walaupun media Indonesia mengapi-apikan keadaan, hubungan rakyat Malaysia-Indonesia sebenarnya amat erat, bertepatan dengan ungkapan abang-adik yang masyhur itu.

Persoalannya, siapa abang dan siapa adik? Dulu mungkin Malaysia adik, Indonesia abang atau seperti yang diungkapan oleh koran Indonesia yang disebut sebelum ini, ‘Malaysia berguru dengan Indonesia’ (ertinya Malaysia murid, Indonesia guru), tetapi bagaimana status hari ini?

Bagi penulis status atau kedudukan itu tidak penting; apa yang nyata Malaysia dan Indonesia saling perlu memerlukan. Kedua-duanya berkongsi banyak perkara; malah suatu ketika dulu kedua-dua wilayah Malaysia dan Indonesia berada dalam pemerintahan yang sama seperti ketika kemuncak kuasa Empayar Sriwijaya, Melaka, Johor-Riau dan Aceh yang berkuasa di kedua-dua belah Selat Melaka, sebelum dipecah dan perintah oleh penjajah Inggeris dan Belanda.

Saturday, September 19, 2009

Yuran sekolah, PIBG puluhan ringgit, bukannya ‘free’

Sebagai bapa beberapa anak yang berada di bangku sekolah, saya menyedari sesi persekolahan tahun ini mencatat sesuatu yang unik kerana yuran persekolahan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak perlu dibayar sebaik-baik sekolah dibuka tetapi ditangguhkan ke pertengahan tahun.

Idea unik ini dikemukakan Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, yang kini bukan lagi Menteri Pelajaran. Jadi janganlah diletakkan sebarang rungutan padanya.

Namun untuk rekod, bolehlah dikatakan ‘idea bagus’ yang memperlihatkan Kementerian Pelajaran begitu bermurah hati pada ketika menjelang pemilihan Umno, berjaya melonjakkan Hishammuddin setapak lagi dalam karier politiknya apabila terpilih Naib Presiden Umno, dan kini Menteri Dalam Negeri bagi mengukuhkan kedudukan sepupunya Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno dan juga Perdana Menteri.

Penangguhan yuran sudah membawa hasil lumayan kepada Hishammuddin, tetapi apa diperolehi ibu bapa? Mereka diserang satu lagi kejutan apabila terpaksa mengeluarkan puluhan ringgit malah bagi anak di sekolah berasrama penuh, ratusan ringgit bagi membayar pelbagai yuran termasuk PIBG.

Bagi kebanyakan sekolah, mesyuarat agung PIBG baru selesai dan daripada pertemuan itu diluluskan yuran yang perlu dibereskan murid. Aneka bayaran muncul; ia termasuklah yuran kertas peperiksaan, yuran motivasi, yuran tahunan PIBG, dan bagi sekolah berasrama penuh ada yuran makanan, yuran asrama, yuran dobi dan yuran tuisyen berjumlah ratusan ringgit dan boleh mencecah RM1,000 bagi tempoh setahun!

Kos persekolahan bukan murah; tidak benarlah dakwaan sesetengah pihak bahawa pendidikan di Malaysia percuma. Penulis tidak mengada-adakan cerita kerana sejumlah akhbar mencanangkan perkara ini tidak lama dulu (lebih tepat lagi sehari selepas pembentangan Belanjawan 2008 (penulis kurang selesa menggunakan Bajet) oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

Sebuah akhbar harian nasional melaporkan berita ini dengan tajuk besar muka depan ‘Bajet 2008: Yuran Sekolah Percuma’.

“KUALA LUMPUR: Bermula tahun depan, pendidikan di peringkat rendah dan menengah di negara ini adalah percuma.

Bajet 2008 yang dibentangkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat semalam, memansuhkan yuran tahunan sekolah rendah dan menengah serta memperluaskan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak.

Sejajar dengan salah satu strategi utama bajet bertemakan ‘Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran’ itu – memperkasa pembangunan modal insan – Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan biasiswa pelajar institusi pengajian tinggi tempatan antara 23 peratus hingga 84 peratus, manakala sehingga 97 peratus bagi yang melanjutkan pengajian di universiti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.”

Ibu bapa mana tidak suka apabila Perdana Menteri seperti dilaporkan akhbar ini mengumumkan pendidikan percuma. Pengumuman Perdana Menteri itu diperkukuhkan lagi oleh Menteri Pelajaran (Hishammuddin Husseinlah, siapa lagi) yang menyambut baik keputusan itu. Demikian juga oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN lain, menyebabkan rakyat terpekik keseronokan.

Tetapi apakah sebenarnya ‘pendidikan percuma’ itu? Ia adalah pemansuhan yuran tahunan sekolah bernilai RM4.50 bagi peringkat rendah dan RM9 bagi sekolah menengah. Demikianlah, berapa ramai ibu bapa terkedu dengan ‘sandiwara’ hebat ini; mahu tidak mahu terpaksalah mereka menyeluk poket masing-masing membayar ratusan ringgit bagi seorang anak (yuran perlu dibayar pada sekolah biasa dan sekolah agama) apabila sesi persekolahan bermula pada Januari 2008.

‘Pendidikan percuma’ adalah sandiwara 2007/2008; pada awal tahun ini 2009, satu lagi ‘sandiwara’ dipentaskan. Ibu bapa tidak perlu mengeluarkan banyak wang; ada sekolah menerima RM1.50 saja, kebanyakannya tidak sampai RM50; waduh begitu baiknya pihak berkenaan. Maka banyaklah pihak memuji-muji, Kementerian Pelajaran prihatinlah, kerajaan mesra rakyatlah.

Maka berkatalah Menteri Pelajaran, bayaran selanjutnya akan ditentukan pada mesyuarat agung PIBG sekolah masing-masing yang biasanya diadakan pada pertengahan tahun. Ada sekolah tidak sabar, duit dalam kantung mereka sudah habis, sebaik saja selesai pemilihan Umno tempoh hari mereka pun memanggil mesyuarat PIBG. Hasilnya yuran ditetapkan sebanyak puluhan ringgit membawa kepada ratusan ringgit bergantung kepada sekolah.

Secara kebetulan ketika ibu bapa pening-pening lalat untuk mengeluarkan ratusan ringgit sebagai yuran persekolahan pertengahan tahun ini; ada anak-anak remaja mereka terpilih melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka gabra sungguh kerana kos ke IPTA bukan murah, seorang anak mungkin memerlukan RM1,000-RM2,000; kalau ada dua anak (satu lulusan SPM, satu lulusan STPM), bagaimana mereka mahu ‘cekau’ ribuan ringgit itu?

Jika anak-anak mendapat tempat di IPT berdekatan, kuranglah sikit kos seperti pengangkutan; tetapi jika mendapat tawaran ke ‘hujung dunia’ bagaimana? Ada yang tinggal di ibu kota mendapat tawaran di Perlis, ada pula dari Sabah dan Sarawak perlu ke Semenanjung dan ada sebaliknya; tidakkah kos pengangkutan saja membabitkan perbelanjaan ratusan malah ribuan ringgit?

Demikianlah betapa ‘sedap’nya bagi sesetengah pihak menyatakan pendidikan percuma, hakikatnya mereka yang ramai anak tahu keperitan yang terpaksa ditanggung. Namun banyak ibu bapa rela berkorban, mereka bergolok gadai, menjual tanah sekangkang kera atau berhutang sana sini bagi melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Oleh itu, tidakkah terasa ‘bagi mereka di atas sana’, memperuntukkan sebahagian kecil kekayaaan negara bagi menyediakan pendidikan yang benar-benar percuma, jauh daripada permainan politik busuk dan hanyir serta berkepentingan sendiri?

Friday, September 18, 2009

Di sebalik kematian, ada yang kaut untung besar

Hampir setiap hari penulis melalui bahagian depan sebuah kedai keranda ketika menuju ke sebuah restoran, tetapi tidak ambil peduli kegiatan di situ kecuali melihat-lihat peti keranda daripada kayu jenis baik dan mahal.

Suatu hari penulis memberanikan diri, bertanyakan harga peti keranda yang pada fikiran penulis dijual. “Tidak, kami tidak menjualnya,” kata salah seorang pekerja di situ, mengejutkan penulis.

“Kami sebenarnya menawarkan pakej pengkebumian,” katanya, matanya mengawasi penulis penuh curiga kerana masakan seorang ‘pak aji’ mahu membeli keranda yang jelas bukan untuk orang Islam. Walau bagaimanapun, dia mempersilakan penulis duduk, sambil dia dan kawannya meneruskan sejenis permainan seolah-olah ‘scrabble’.

“Boleh awak beritahu saya kos satu pakej pengkebumian?” tanya penulis. Lelaki itu teragak-agak untuk menjawab, tetapi kemudian memandang seorang kawannya dan lama kemudian berkata: “Tengok juga, awak mahu yang macam mana; dalam negeri ke atau luar negeri. Kemudian urusan macam mana; bakar atau apa, yang mati itu agama apa?”

Penulis membuat cerita kononnya mahu bertanyakan harga itu bagi pihak seorang rakan bukan Islam. Akhirnya dia berkata; “Yang murahnya antara RM2,000 hingga RM5,000. Pakej yang ada kelas ada berharga RM10,000; RM20,000; RM30,000 dan RM50,000!”

Sekalipun kakitangan dalam kedai itu kurang mesra, penulis terus bertanya, dalam sehari mereka boleh dapat berapa pelanggan. Mereka tidak menjawab; penulis menukar soalan kepada beberapa kematian mereka kendalikan dalam sebulan. Seorang lelaki menjawab: “Lebih kurang 80 kematian.”

Kalau ada 80 kematian, katakan semuanya ambil pakej RM5,000; wang diperolehi sudah RM400,000 sebulan. Jumlah wang ini begitu besar, untung ‘lebat’ nampaknya bisnes mengendalikan urusan orang mati, demikian fikir penulis.

Demikianlah, apabila berlaku sesuatu kematian bukan semua orang sedih; ada mendapat manfaatnya; mereka termasuklah golongan mendakwa profesional yang menjadikan kematian seseorang untuk mengaut untung.

Penulis sengaja merujuk kepada kedai pengurusan mayat itu bagi membandingkannya dengan pihak yang menjadikan kematian Raja Pop, Michael Jackson sebagai satu bisnes yang meraih keuntungan lumayan.

Sejak kematiannya pada 25 Jun lalu, Michael Jackson menjadi bahan carian tertinggi di internet. Tempoh waktu panjang daripada kematiannya sehingga dia dikebumikan, memberi peluang keemasan kepada golongan kapitalis dan oportunis mengaut untung besar-besaran.

Penulis berpandangan jika Jackson dikebumikan dengan segera, akan hilanglah atau hanya ada peluang kecil untuk pihak-pihak ini mengaut keuntungan. Tetapi dengan menangguhkan pengkebumian sehingga hampir dua minggu, pelbagai jenis perniagaan yang berkaitan Jackson dapat dijayakan.

Peminat akan sentiasa tertanya-tanya jadi selain barangan kenangan mengenai raja pop itu, akhbar dan majalah yang memuatkan berita mengenai Jackson juga laris; demikian juga dengan paparan dalam internet termasuk laman web.

Daripada buku biografi yang disifatkan sebagai ‘collector’s item’ hinggalah pertunjukan terbesar (yang dihajatkan Michael sebagai ‘the greatest show on earth’) membabitkan artis ternama dan 11,000 peminat; semuanya berselindung di sebalik kesedihan kematian bintang pop itu bagi mengaut keuntungan.

Keranda bagi pengkebumian Jackson dilaporkan bersalut emas berharga AS$25,000 (RM87,500). Pendeknya daripada penjual kemeja-T dan bunga kepada syarikat hiburan bernilai berbilion dolar, semuanya mencari peluang daripada kematian Jackson untuk menambah kekayaan.

Tempoh antara kematian Jackson dan tarikh pengkebumian dimanfaat sepenuhnya golongan oportunis termasuk syarikat yang menganjurkan lawatan ke kediaman di mana bintang itu mati dan juga tempat beliau disemadikan.

Penganjur konsert atas nama memperingati dan menghargai Michael Jackson boleh mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit; kesedihan peminat dieksploitasi sepenuhnya oleh mereka yang bijak bersandiwara di pentas hiburan dunia.

Demikianlah dunia hari ini dipenuhi oleh orang-orang bijak yang berupaya menukarkan kelemahan, kesedihan dan kehendak orang lain kepada kilauan emas permata dalam genggaman mereka.

Berbicara mengenai kebijaksanan golongan kapitalis ini, penulis teringat akan iklan di televisyen dan akhbar yang sudah menyebut mengenai persediaan menyambut hari raya. Sekalipun sekarang ini baru bulan Rejab (sebulan lebih lagi sebelum berpuasa), jurukempen barangan sudah memikirkan strategi untuk memenangi hati pembeli sempena sambutan Aidilfitri.

Kini sudah dikempenkan kereta dan perabot hari raya dan tidak lama lagi akan muncullah iklan barangan lain seperti langsir, pakaian, kuih muih dan kelengkapan rumah.

Ramadan adalah bulan untuk meningkatkan ibadat tetapi golongan oportunis sudah mula memulakan langkah masing-masing. Iklan untuk berniaga di bazar Ramadan sudah lama dikeluarkan, kemungkinan besar permohonan untuk mendapatkan lot gerai tidak lagi dilayan.

Demikianlah manusia dilalaikan dengan dunia termasuklah kemegahan dan kekayaan masing-masing sehinggalah mereka masuk ke dalam kubur. Bukan saja Michael Jackson masuk ke dalam kubur, kita juga akan menyusulnya. Kematian Jackson pada usia ‘muda’ (50 tahun) sewajarnya menyedarkan diri kita; bilakah agaknya giliranku ke sana.

Jackson memilih untuk hebat di dunia, oleh itu peminatnya, oportunis dan kapitalis menghadiahkan beliau dengan ‘kehebatan dunia’ juga; tetapi bagaimana diri kita? Apakah kita hendak menghiasi saki baki hidup kita yang singkat itu dengan mengejar nama, kemegahahan dan kemashyuran dunia?

Ingatlah Surah ‘At-Takaatsur’ di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu (ayat 1) sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (ayat 2)

Thursday, September 17, 2009

Perkhabaran dari langit

Mi udang Kuala Sepetang (Port Weld) yang masyhur sejak dipublisitikan oleh sebuah stesen televisyen dan kemudian menjadi sajian istimewa sempena pilihan raya kecil Bukit Gantang, seolah-olah melambai-lambai saya ke sana bagi merasainya.

Sehubungan itu, saya dan keluarga yang mengujungi saudara di Perak baru-baru ini, tidak melepaskan peluang menjejak kaki di bandar berhampiran Taiping itu bagi merasai sendiri nikmat mi udangnya.

Sepanjang jalan dari Taiping ke Kuala Sepetang, kami ketemui sejumlah gerai dan restoran mi udang. Ada gerai mi udang Mak…dan Kak..sehinggakan restoran Cina pun ada menawarkan mi udang.

Sesetengah pengusaha kedai makan ini memasang iklan di tepi jalan dalam jarak beberapa puluh meter antara satu lain sepanjang dua atau tiga kilometer dari premis mereka. Demikianlah betapa hebat penangan mi Kuala Sepetang gara-gara hebahan TV.

Di tepi jalan berhampiran sebuah gerai saya perhatikan ada barisan panjang kereta dan dua buah bas persiaran. Berdasarkan jumlah kenderaan, saya mencongak ada ratusan orang singgah, menikmati mi udang. Tidaklah saya berhenti di situ kerana pada fikiran saya, kalau saya menyertai ‘kesesakan’ itu, bimbang juga kena ‘potong kepala’!

Akhirnya kami singgah di sebuah gerai, melabuhkan punggung dan memesan empat mangkuk mi udang biasa dan sebuah mangkuk mi udang spesial. Semangkuk mi udang biasa berharga RM7 manakala yang spesial RM11. Bagi saya tiada apa yang spesial pada mi berharga RM11 itu, cuma udangnya bersaiz besar sedikit.

Ketika dan selepas makan, kami membicarakan akan mi itu. Bagi kami, mi udang Kuala Sepetang macam mi di tempat lain, kelebihan hanya terletak pada udangnya. Dalam semangkuk adalah lebih kurang enam atau tujuh ekor udang bersaiz sederhana.

Seorang daripada kami berlawak: “Kalau nak makan mi dengan udang banyak, di Tesco udangnya baru RM14 sekilo, taruhlah seberapa banyak udang dalam mi yang dimasak sendiri, barulah puas makan.”

Sebenarnya memakan tujuh ekor udang sederhana besar itu membuatkan kepala saya lain macam rasanya. Saya sudah pening, tetapi buat-buat ‘steady’. Saya tahu tidak sewajarnya saya memakan udang sebanyak itu, tetapi bukankah tujuan kami ke Kuala Sepetang untuk merasai kenikmatan mi udangnya, jadi saya pun ‘bantai’ saja!

Sepuluh tahun lalu tiada had untuk saya makan udang, ketam dan makanan laut lain. Dua puluh tahun lalu, saya lagi hebat. Sekilogram kerang rebus boleh saya habiskan seorang, ketam tiga empat ekor tiada masalah. Makan udang berbelas-belas ekor pun tiada hal; demikian juga makan sate (termasuk kerang), berpuluh-puluh cucuk pun masih okay.

Tetapi hari ini, tujuh ekor udang pun sudah membuat saya pening-pening lalat. Selain makanan laut, saya juga tidak lagi berupaya menikmati buah-buahan dengan banyak seperti 10 atau 20 tahun lalu. Ketika itu saya boleh menikmati sebiji dua buah durian; sebeg plastik rambutan dan manggis, tetapi kini tiga ulas durian dan beberapa butir rambutan sudah dikira ‘bahaya’. Mengapa begitu?

Saya tidak berhajat menjawabnya dari segi kesihatan tetapi mengupas apa yang tok-tok guru ajarkan di kelas pengajian di masjid-masjid yang saya ikuti sejak 10 tahun lalu. Kata sesetengah guru, perubahan yang berlaku kepada diri kita adalah perkhabaran dari langit, daripada Allah SWT yang mengingatkan kita akan kematian.

Seorang tok guru berkata dalam kebanyakan kes, kematian tidak berlaku secara mengejut seperti dakwaan sesetengah orang. Allah SWT telah menghantar utusannya, tetapi kebanyakan manusia tidak menyedarinya. Salah satu daripadanya adalah penyakit, apabila umur meningkat 40 tahun ke atas, pelbagai penyakit seperti kencing manis, gout, darah tinggi dan sakit jantung mula menyerang.

Apabila sudah terkena kencing manis, bermakna tidak boleh lagi sesuka hati makan durian, rambutan, manggis dan sebagainya. Demikian juga orang berpenyakit darah tinggi, terpaksalah berpantang daripada makan itu dan ini. Ertinya Allah SWT telah menarik balik sebahagian nikmat, bermaksud kita semakin hampir menuju kematian.

Kemudian cerminlah diri sendiri. Rambut mulai putih, ada yang sudah botak; misai dan janggut juga sudah lebih banyak putih daripada hitam. Ini semua adalah utusan daripada Allah SWT, awak sebenarnya semakin hampir dengan kubur, tetapi mengapa tidak sedar-sedar diri?

Kemudian badan pula terasa lenguh-lenguh; sana sini sendi sakit; kemampuan dan kekuatan pun tidak seperti dulu. Berjalan sikit sudah letih; apatah lagi berlari atau mendaki tangga, tercunggap-cunggap dan mengah, bagai mahu putus nafas.

Orang perempuan pun perlu cermin diri. Lihatlah wajah yang dulunya cantik puas-puas. Kini sudah berkedut sana sini. Kulit pun tidak anjal lagi. Telitilah mahkota (rambut), apakah sudah putih sehehai dua atau lebih banyak putih daripada hitam. Dalam keadaan lebih banyak putih daripada hitam, masakan hati masih keras tidak mahu menutupnya?

Kemudian telitilah keadaan tubuh, masih segar dan tegang atau kendur sana sini. Bagaimana pula kesihatan diri? Masih cergas berlari ke sana sini mengejar anak-anak nakal seperti dulu, atau anak-anak sudah tua bangka yang menghadiahkan cucu pada kepada kita. Mampukah kita mengejar cucu seperti mengejar anak dulu?

Insaflah diri bahawa perkhabaran dari langit sudah banyak, memperlihatkan bahawa kita akan kembali kepada-Nya. Namun tidak ramai menyedarinya kerana semakin meningkat usia, semakin ‘murah’ pula rezeki. Dulu semasa muda kita goyah dari segi kewangan dan kedudukan tetapi semakin tua semakin banyak wang manakala pangkat dan kedudukan semakin hebat.

Semasa muda dulu kadang-kadang hendak makan durian sebiji pun tidak mampu membelinya tetapi apabila sudah tua selori pun boleh kita beli; malangnya kita hanya boleh makan seulas dua saja atau lebih malang lagi tidak boleh ‘kena’ durian langsung. Sudah tua ini hanya boleh rasa saja, sesetengah orang rasa pun tidak boleh sedangkan duit ada berkepul-kepul dalam bank!

Wednesday, September 16, 2009

Suatu petang di Royal Selangor Club

Penulis mula mengenali kehidupan di Kuala Lumpur pada 1985. Ketika itu penulis menjalani latihan praktikal kewartawanan di sebuah syarikat akhbar di ibu kota. Tempat tinggal penulis adalah bangunan lama yang menempatkan ibu pejabat GPMS di Jalan Mahameru.

Banyaklah tempat di Kuala Lumpur penulis jelajahi dan terokai. Antaranya Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka). Tetapi penulis tidak pernah berpeluang memasuki Royal Selangor Club (Kelab Diraja Selangor) yang terletak di belakang Dataran Merdeka.

Tetapi alangkah ajaibnya, bersyukur kepada Ilahi pada petang bersejarah Sabtu, 1 Ogos lalu, sempena demonstrasi anti-ISA, penulis berpeluang memasuki bangunan elitis itu.

Ketika trak FRU melepaskan tembakan gas pemedih mata berhampiran Dataran Merdeka, sejumlah orang mencari perlindungan di bangunan Royal Selangor Club. Penulis pun berlari ke sana kerana yakin polis tidak akan melepaskan tembakan ke arah bangunan yang menjadi persinggahan orang kaya dan ternama itu.

Sangkaan penulis salah kerana tempias tembakan turut dirasakan di pekarangan bangunan itu. Beberapa orang merempuh masuk bangunan. Penulis cuba masuk tetapi dihalang oleh seorang penjaga pintu yang dengan sombong berkata: “This club is for members only/Kelab ini untuk ahli saja.”

Terpaksalah penulis berpuas hati dengan menenangkan diri yang sesak nafas di berada rumah kelab. Tembakan dilepaskan bertalu-talu, penulis lihat ramai orang berlari memasuki kelab itu dari pintu lain.

Penulis pun berlari menyertai mereka; dan alangkah bertuahnya kerana pada petang itu; penulis berpeluang duduk dan merehatkan diri di salah sebuah kerusi empuk (rotan) di sebuah restoran mewah di situ.

Selepas menenangkan diri, aku pun memandang sekeliling, ke arah Dataran Merdeka, lambang kemerdekaan negara. Nun di seberang jalan kelihatan bangunan Sultan Abdul Samad. Kelihatan menara jamnya yang gagah. Di bahagian atas di tengah-tengan bangunan itu tertulis perkataan MERDEKA. Di kedua-dua sisinya ada tulisan besar, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN.

Aku tersenyum puas, memang betul rakyat didahulukan; sebab itulah aku sedang duduk berehat di kerusi empuk di Royal Selangor Club. Aku tidak pernah bermimpi bersantai-santai di sini, maklumlah kelab ini ada perkataan ‘Royal’. Dengar namanya pun aku sudah gerun; apatah lagi memasuki bangunan hebat ini kerana aku bukan keturunan raja, bukan orang kaya dan ternama.

Apabila ‘rakyat koman’ seperti aku duduk di kerusi empuk di Royal Selangor itu, aku pun bermimpi. Aku adalah Tuan Brown, salah seorang wakil kerajaan British yang diamanahkan Queen untuk mentadbir Tanah Melayu (ahh, forget this dammed Tanah Melayu, let’s call it Malaya). Ahh, selepas Jepun buat pasal di Malaya, malah di serata dunia, orang Melayu sudah pandai berdemonstasi, untuk merdeka konon.

Ahh, apa-apa bising-bising itu, aku menjerit memanggil Mat Ampu. Dia datang, merapatkan kedua-dua belah tangan, seolah-olah menyembah aku. Aku bangga lantas berkata, “Apa bising-bising tu Mat? Apa dia orang mahu?”

“Depa berdemo tuan, depa mahu tunjuk kepada British bahawa rakyat bersatu, mereka mahu merdeka,” kata Mat Ampu.

Tanpa Mat Ampu memberitahu, aku sudah tahu. Mereka yang bising-bising itu adalah rakyat yang terdiri daripada orang kampung, orang miskin, orang tertindas, buruh estet dan lombong.

Aku tahu mereka susah, tetapi apa aku peduli apa? Bukankah aku wakil Queen, penguasa di sini bagi mengekalkan jika boleh sampai bila-bila akan kepentingan Queen. Aku tahu aku zalim, tetapi takkan aku nak beritahu satu dunia bahawa aku zalim.

Aku pun meminta Mat Ampu memanggil Mat Mati-Mati menghadap. Lambat betul Mat-Mat Melayu ini bertindak sehingga aku nak minum wiski kegemaranku pun terbantut. Mat Mati-Mati yang sudah aku naikkan ke pangkat ketua polis, terburu-baru datang lalu bertanya: “Ada apa tuan?”

Apalah bodohnya Mat Mati-Mati ini. Dia pulak tanya aku, sepatutnya dia persembahkan kepada aku apa yang terjadi. Aku pun berkata: “apa itu demo-demo itu? Susah sangatkah mahu suraikan?”

Mat Mati-Mati menjawab: “Apa tuan mahu saya buat?” Ai! Dia tanya aku apa mahu buat? Bukankah dia cif keselamatan, jadi dia patut lebih tahu daripada aku.

“Semburlah depa itu dengan gas pemedih mata. Air kimia pun boleh pakai. Opps, tapi jangan guna C4 itu bahaya. Akan jejas reputasi aku nanti,” perintahku kepada Mat Mati-Mati.

“Kalau depa melawan?” tanya lagi Mat Mati-Mati. Apa punya Matlah dia ini. Tanya soalan sebegitu sedangkan paku dan pangkatnya bersusun di lengan dan dada baju.

“Tangkap sajalah,” kataku melaung kepada Mat tolol itu. “ISA-kan saja mereka. “ISA-kan mereka, ISA-kan mereka…” aku berdendang.

“Hoi, aku IZRAIL-lah, bukan ISA, tiba-tiba terdengar suatu suara bagai halintar. Siapa? “IZRAIL, pencabut nyawa, aku mahu cabut nyawa engkau Tuan Brown yang zalim, penindas rakyat!”

Tuan Brown menjerit ketakutan. Dia adalah aku. Tersedarlah aku hanya berangan atau bermimpi di kerusi empuk Royal Selangor Club. Aku memandang sekeliling. Ada tetamu sedang meneguk air kuning, ada yang meratah paha ayam; tetapi kelab itu juga dipenuhi orang kebanyakan seperti aku, pendemo yang melarikan diri bagaikan anjing, menumpang teduh di kelab untuk orang kaya itu.

Aku perhatikan muka-muka pendemo itu. Ehh, ada dua orang budak, agak-agak aku umur mereka tidak sampai tujuh tahun. Mata dan muka mereka merah, hidung berair; sesekali mereka mengesat hidung. Takkan mereka ini pendemo, nak mansuhkan ISA.

Aku memandang sesekeling. Ada ramai budak-budak lain. Ada wanita, ada orang tua. Mereka semua telah diberi hadiah istimewa oleh pemimpin mereka sendiri. Hadiah itu terlalu istimewa dan aku percaya mereka tidak akan lupa sepanjang hayat masing-masing.

Hadiah itu bertepatanlah dengan slogan besar yang aku lihat di puncak bangunan Sultan Abdul Samad – RAKYAT DIDAHULUKAN. Mereka didahulukan untuk merasai sendiri hadiah paling istimewa pada petang Sabtu, 1 Ogos iaitu pada bulan kemerdekaan negara!

IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Tuesday, September 15, 2009

Sesiapa menyemai lalang, lalanglah akan dituainya

Laporan berita dan pandangan ini dipetik daripada dua harian berbahasa Malaysia. Perhatikan bagaimana rakyat dikhianati dan dimangsakan (dizalimi) sekalipun pihak yang berada di puncak kuasa mengakui kesilapan mereka atau kuncu mereka. Rakyat insaf dan sedar mereka dikhianati tetapi pemimpin tidak sedar, lantas mereka meneruskan kezaliman.

1. PERTH: Kira-kira tiga juta pelajar sudah ‘terkorban’ dan gagal memperolehi sijil, sekali gus tercicir daripada sistem persekolahan kerana kegagalan menguasai bahasa Inggeris sejak dasar PPSMI dilaksanakan pada 2003, kata Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, jika dasar itu tidak dimansuhkan, jumlah keciciran itu semakin membesar dan boleh mencecah sehingga enam juta untuk tempoh enam tahun akan datang. – Berita Minggu, 9 Ogos 2009

2. Sesat ini ada erti yang luas. Kalau memerintah berdasarkan sekular pun merupakan salah satu cabangnya, dalam Umno, memerintah bukan berdasarkan al-Quran, tolak hukum hudud, hiburan melampau, rasuah, tidak adil, seleweng wang dan luluskan secara terbuka penjualan arak merupakan salah satu kesesatannya kerana bertentangan dengan al-Quran. Keamanan hari ini memang secara asalnya diusahakan pejuang-pejuang dulu tetapi sebenarnya dikurniakan Allah SWT. Saya takut keamanan yang kita kecapi ini akan musnah disebabkan bala Allah atas kepimpinan kebangsaan. – interaktif@ Sinar, Rabu 15 Julai 2009.

Sudah diakui tiga juta pelajar sudah ‘terkorban’ tetapi mengapa pemansuhkan PPSMI dilanjutkan sehingga 2012 dan baru-baru ini menteri terbabit berkata pendekatan ‘soft landing’ akan dilakukan; bermaksud PPSMI tidak akan tamat sehingga 2015 atau 2016.

Persoalannya mengapa sudah tahu ramai ‘terkorban’ tetapi masih mahu mengorbankan ramai lagi pelajar? Demikianlah betapa ramai rakyat perlu dikorbankan untuk menjayakan cita-cita pemimpin dan kuncu-kuncunya.

Demikianlah adat permainan dunia, yang kuat menindas yang lemah, yang lemah menindas yang lebih lemah dan yang lebih lemah menindas yang terlalu lemah. Adalah lumrah orang berkuasa menindas orang tidak berkuasa dan orang kaya menindas orang miskin.

Dalam rumahtangga, ada ibu bapa yang mendera si anak, sehingga ada kes menyebabkan kematian si anak. Anak yang tidak mengerti apa-apa, dicucuh dengan puntung rokok, disimbah air panas dan aneka penderaan lain. Ada pula suami mendera isteri dan yang lebih takjub, ada isteri mendera suami.

Di peringkat antarabangsa pula, negara kaya menindas negara miskin. Tidak menghairankan jika ada negara berkuasa 'membuli' negara lemah. Dan bukanlah sesuatu yang luar biasa jika negara berkuasa dan kaya berpadu tenaga untuk terus berkuasa.

Ketika ini negara kaya dunia berpadu tenaga dalam Kumpulan Lapan (G-8) manakala negara miskin gagal bersatu kerana kebanyakannya 'gemar mengampu' negara berkuasa dan kaya kerana berpendapat itulah satu-satu jalan kesinambungannya (survival).

Demikianlah manusia dan tamadunnya berpaksi kepada hukum rimba. Jika pemimpin dunia termasuk dari negara kita, mengutuk apa yang berlaku di Penjara Abu Gharib tidak lama dulu, sewajarlah mereka menoleh ke belakang, melihat apa pula yang telah mereka lakukan terhadap orang lemah yang berada dalam tangan (kekuasaan) mereka.

Jika pemimpin negara mencemuh kezaliman di Iraq, mereka mesti bersedia pula untuk mengutuk diri kerana melakukan kezaliman di negara sendiri. Pembantaian terhadap peserta perhimpunan membantah akta zalim ISA di ibu negara pada 1 Ogos lalu, menunjukkan betapa rakyat dizalimi sewenang-wenangnya. Jika kezaliman berlaku, takutlah bala (seperti selesema babi) yang akan dan sudah diturunkan Allah seperti dinyatakan oleh pembaca dalam SMS-nya itu.

Pendedahan mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk anak isteri mereka adalah bukti penderaan yang dilakukan ke atas insan-insan lemah. Demikian juga contoh klasik kes Anwar Ibrahim yang semakin cuba dilupakan akhir-akhir ini. Sebaliknya Anwar dituduh sebagai pengkhianat orang Melayu dan negara pula.

Tetapi sesuatu yang pasti mengenai kehidupan ini ialah ia ibarat roda. Ada kalanya satu bahagian roda itu berada di atas dan pada ketika yang lain pula, ia berada di bawah.

Seorang manusia itu tidak sentiasa akan kuat dan berkuasa. Yang muda akan tua, yang berkuasa akan lemah - semuanya menuju kemusnahan. Yang kuat dan berkuasa tadi akan menerima pembalasan masing-masing. Orang yang mendera anaknya ketika si anak masih kecil, akan didera pula pada masa tuanya. Mungkin yang mendera itu si anaknya sendiri.

Pemimpin yang melakukan kezaliman lambat-laun akan menerima pembalasannya. Ramai pemimpin ternama dan berkuasa dunia mati dalam keadaan penuh penghinaan. Pada zaman purba, nama-nama seperti Firaun, Hamman dan Qarun dicatatkan dalam al-Quran.

Pada zaman moden ini, ramai pemimpin gah, mengakhiri kehidupan penuh penghinaan. Antaranya diktator Ferdinand Marcos, Idi Amin dan Shah Reza Pahlavi.

Tetapi insan dizalimi mati penuh penghormatan. Nama mereka terus subur, seolah-olah masih hidup di kalangan insan. Antara yang mencatat sejarah sedemikian ialah Syed Qutb, Hassan al-Banna, Hamka dan Maududdi.

Ada peribahasa berbunyi, apa yang ditanam itulah yang akan dituai. Jika kezaliman yang ditanam, kezalimanlah yang akan diterimanya, jika kasih sayang ditanam, kasih sayanglah yang akan dituai. Semua orang akan mati, pemimpin atau rakyat, jadi takutlah pembalasan di sana nanti!

Monday, September 14, 2009

Cium bau syurga pun tidak dapat…

Suatu malam sedang saya melepak-lepak di depan peti televisyen, saya terdengar seorang penyampai berita antara lain membaca; “Bahang panas akibat kebakaran kapal tangki didaftarkan di Liberia, MT Formosa Product dan MT Ostende Max di luar pantai Port Dickson, dapat dirasakan dalam jarak dua kilometer.”

Kebakaran itu di tengah-tengah laut, tetapi pasukan penyelamat ketika api marak, gagal mendekati lokasi kerana kepanasannya sudah terasa dari jauh. Mendengar laporan penyampai berita itu mengingatkan saya akan ungkapan tuan-tuan guru ketika saya mengikuti pengajian di masjid dan di tempat lain.

Bagi menggambarkan balasan neraka dan syurga mereka menyatakan ungkapan seperti; “neraka itu dipanaskan sejak ribuan tahun menunggu mangsanya,” dan “bau syurga dapat dihidu walaupun 500 tahun lagi jarak perjalanan ke sana.”

Saya berfikir-fikir, jika api kebakaran kapal tangki (di dunia) dapat dirasakan dalam jarak dua kilometer, tentunya api neraka itu dapat dirasakan pada jarak terlalu jauh. Demikian juga balasan syurga itu, ia juga dapat dirasakan pada jarak terlalu jauh sehingga ada mengungkapkan 500 tahun perjalanan ke sana.

Apa sebenar dimaksudkan ilmuan berkenaan adalah tempoh masa orang berdosa yang terhalang daripada memasuki syurga. Sebagai contoh, perempuan yang mendedah aurat tidak mencium bau syurga. Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Perempuan yang memakai baju tetapi telanjang, dan dia memandang lelaki lain, dan membuatkan lelaki-lelaki lain terpandang kepadanya, maka perempuan ini tidak akan mencium bau syurga. Sedangkan syurga sudah pun boleh dibau dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Demikianlah, berdasarkan hadis ini dinyatakan syurga itu dapat dibau dari jarak 500 tahun perjalanan. Jika di dunia ini, dengan menaiki kapal terbang seseorang yang mahu menunaikan haji atau umrah, memerlukan lapan jam untuk sampai di Tanah Suci dari KLIA, bayangkan jaraknya jika penerbangan dilakukan selama 500 tahun!

Jarak perjalanan 500 tahun yang dinyatakan itu adalah 500 tahun akhirat bukan dunia, jadi tentulah masanya tersangat lama. Dulu memang susah hendak saya bayangkan perkara ini; tetapi kini (berdasarkan peristiwa kapal terbakar) ia membantu menambah kefahaman saya.

Jika kebakaran besar di dunia sudah dapat dirasakan dari jarak jauh lagi, tentulah syurga dan neraka yang amat hebat itu dapat dirasakan dari jarak yang tersangat jauh dan dalam kes syurga dikatakan mereka yang berdosa, tidak dapat mencium baunya sedangkan bau syurga boleh dihidu dalam jarak 500 tahun perjalanan.

Berlainan daripada hukuman kepada wanita mendedahkan aurat, bagi wanita soleh yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya dikatakan akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya.

Tempoh 500 tahun itu tentulah tersangat panjang; tetapi itulah balasan bakal diterima wanita seperti itu. Berbahagialah dia, tetapi tersangatlah malang bagi sejumlah manusia yang bukan saja tidak masuk syurga malah bau syurga pun tidak dapat dirasainya.

Dalam buku ‘14 Amalan Manusia Tak Dapat Bau Syurga’ oleh 'Abdullah Al-Qari Salleh (Dinie Publisher), dinyatakan mereka itu terdiri daripada anak mendurhakai ibu bapa, mengaku bapa kepada bukan bapa, memutuskan hubungan keluarga, minta cerai pada suami tanpa sebab, wanita keluar secara bersolek, orang tua yang berzina, lelaki memakai labuh bermegah, belajar agama untuk dunia, peminum arak, orang yang mati tersemat sombong, orang yang membangkit mmalan, membunuh kafir mu'aahid-dzimmi, pemimpin tidak menasihati rakyat dan pemimpin atau kumpulan zalim.

Kini Ramadan kembali mengetuk hati umat Islam di seluruh dunia. Kebanyakan daripada kita giat beribadat untuk mendekatkan diri kepada-Nya seterusnya mendapatkan syurga-Nya tetapi ramai juga yang menempah tiket tidak mampu mencium bau syurga.

Berhubung perkara ini, penulis tertarik dengan luahan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa umat Islam terlalu mengkaitkan Ramadan dengan puasa, solat tarawih, witir dan ibadat khusus lain tetapi gagal melihat kepentingannya dari segi penurunan al-Quran.

Seorang penceramah agama yang saya ikuti di kaca televisyen pula berkata adalah tidak tepat menamakan Ramadan sebagai bulan puasa kerana bimbang umat Islam akan melihatnya sebagai ibadat puasa saja sedangkan Ramadan adalah bulan penurunan al-Quran yang dalamnya merangkumi segala perintah dan larangan Allah SWT.

Apabila Ramadan dikaitkan dengan puasa saja, itulah menyebabkan timbul pelbagai masalah dalam masyarakat. Timbullah di kalangan umat, orang yang berpuasa tetapi tidak bersembahyang. Kemudian ada orang yang berpuasa tetapi tidak menutup aurat secara sempurna. Kemudian ada orang berpuasa tetapi tidak ‘mempuasakan’ anggota tubuhnya daripada melakukan maksiat. Mereka hanya tidak makan dan minum, sedangkan pelbagai maksiat diteruskan. Ada yang siangnya berpuasa tetapi malamnya pergi disko atau tikam ekor.

Demikianlah betapa ramai manusia yang kononnya cuba mendekatkan diri dengan Allah SWT dengan berpuasa tetapi hakikatnya mereka menjarakkan diri daripada mencium bau syurga Allah SWT apatah lagi memasukinya dengan melakukan perkara bertentangan secara serentak. Mereka berpuasa tetapi tidak sembahyang; ada yang puasa tetapi mengamalkan rasuah dan menzalimi orang lain. Ada yang berumrah saban Ramadan, tetapi aurat tidak ditutup sepenuhnya.

Ramai membaca dan memahami al-Quran tetapi mengambil hukum-hakamnya secara separuh-separuh. Misalnya ada pihak mengambil suruhan berpuasa untuk diamalkan tetapi menolak hukum hudud termasuk berdalih kononnya ia tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat majmuk sedangkan kedua-dua perintah ini terkandung dalam surah sama iaitu al-Baqarah. Demikianlah begitu banyak manusia menempah untuk tidak mencium bau syurga apatah lagi memasukinya.

Sunday, September 13, 2009

Pengalaman indah perjalanan Manchester-London

“Good morning Sir, may I help you,” kata petugas kaunter Manchester Central Coach Station di Chorton Street, Greater Manchester, kepada penulis dan isteri ketika tergesa-gesa mencari bas ekspres ke London tidak lama dulu.

Kami terlambat sampai di stesen bas kerana berlaku kesesakan jalan raya. Ketika itu jam menunjukkan pukul 10.56 pagi sedangkan bas National Express ke London itu dijadualkan bertolak jam 11.00 pagi. “It’s on your far right. Have a nice journey,” katanya sambil menghala telunjuknya ke arah bas dimaksudkan.

“Penulis membalas, “Thank you Sir,” terikut-ikut dengan gaya sopan orang Inggeris. Menghampiri tangga bas, kami dialu-alukan menaikinya oleh dua petugas – pemandu dan penjaga tempat barang. Kedua-dua beruniform kemas – berkot dan bertali leher. Penjaga tempat barang menyambut beg kami untuk dimasukkan ke dalam bahagian bagasi bas.

Demikianlah antara perkara positif perlakuan manusia di negara bekas penjajah tanah air kita. Berdasarkan pengalaman, betullah apa yang saya baca bahawa orang Inggeris begitu sopan dan bangga dengan sifat keinggerisan mereka. Ada perkara positif dan negatif, jadi pada pandangan penulis, tidak salah mencontohi yang baik agar cepat mematangkan diri, masyarakat dan juga negara kita.

Perjalanan bas Manchester-London sejauh kira-kira 250 kilometer itu mengambil masa 5 jam 30 minit. Terlalu lambat berbanding perjalanan balik penulis dari London ke Manchester dengan kereta api ekspres, masa yang diambil kurang tiga jam. Antara sebab kelambatan itu, bas berkenaan mengambil penumpang di stesen-stesen kecil dan berhenti di beberapa bandar.

Begitupun, seperti dikatakan penulis, orang British begitu bangga dengan cara hidup mereka yang membuatkan diri kita menumpang rasa selesanya. Misalnya sebelum berlepas, diucapkan kata-kata alu-aluan dan pengumuman seperti waktu dijadualkan tiba. Pada setiap perhentian, diumumkan nama tempat itu, malah pada ketika bas berhenti di pusat rawat dan rehat untuk penggantian pemandu, hal itu juga dimaklumkan kepada penumpang. Pendeknya tidaklah penumpang dibiarkan tertanya-tanya apa yang berlaku sepanjang perjalanan.

Pemanduan bas dilakukan secara berhemah. Pemandu seolah-olah diawasi (ada CCTV?), mematuhi segala peraturan jalan raya. Di dinding bas, di sisi setiap penumpang sebelah tepi, ada ditulis nombor telefon yang membolehkan orang ramai membuat aduan mengenai perjalanan mereka. Antara perkara ditulis – Feedback about (a) Driver (b) Comfort dan (c) Other, please call 07786200496.

Keadaan dalam bas juga direka dan disediakan untuk keselesaan semua penumpang. Misalnya, tempat duduk bas, bahagian sandarnya tidak boleh ditolak sedemikian jauh sehingga menyusahkan penumpang di belakang. Selepas ditolak sedikit ke belakang, kerusi itu secara automatik akan beransur-ansur kembali ke kedudukan asal (menegak).

Penumpang juga dikehendaki memakai tali pinggang keselamatan. Bagaimanapun, disebabkan perjalanan itu terlalu lama, ramai tidak mengendahkannya. Sama seperti di Malaysia, ramai yang makan minum dalam bas, malah ada yang berbual dan ketawa dengan kuat tanpa mempedulikan orang lain. Dua wanita kulit hitam di depan penulis, berbual kuat diselangi hilaian berdekah-dekah daripada awal perjalanan sehingga hampir sampai ke kota London!

Berdasarkan perjalanan ini, gambaran yang diberikan kepada penulis orang Barat termasuk British gemar membaca dalam kenderaan awam, nampaknya tidak benar. Sama ada orang kulit putih dan hitam, semuanya hampir sama – kebanyakannya tidur atau mengelamun sepanjang perjalanan. Hanya seorang dua yang membaca akhbar pada permulaan perjalanan, selepas itu tidur.

Ketika berkunjung ke pusat bandar raya Manchester sebelum bertolak ke London, penulis menyaksikan sebahagian besar orang ramai tidak mempedulikan pemberian akhbar percuma seperti Manchester Evening News yang disuakan petugas. Mungkinkah sesetengah orang putih sudah menjadi terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk membaca?

Pemandangan di luar cermin bas amat indah. Sungguh cantik pemandangan kawasan luar bandar England ketika penghujung musim bunga ini. Kelihatan ladang yang kehijauan saujana mata memandang. Di tengah-tengah kehijauan, terdapat tompok-tompok putih (biri-biri) menikmati hidangan (rumput). Kadang-kadang kelihatan kumpulan lembu – jenis bertompok putih dan hitam (Frisian?) menjadikan pemandangan seolah-olah lukisan yang dipamerkan di dinding sesetengah rumah.

Di sesetengah kawasan ladang, tanaman seakan-akan rumput berwarna kekuningan kelihatan saujana mata memandang. Saya tidak tahu apakah tanaman berkenaan, mungkin sejenis tumbuh-tumbuhan bagi menghasilkan minyak sayur-sayuran, atau mungkinkah tanaman gandum.

Di dalam bas, seorang ‘gentleman Inggeris’ yang duduk berhampiran, menarik perhatian penulis. Dia membawa sejumlah akhbar dan buku. Mula-mula dia membaca tetapi kemudian leka dengan ‘handset’ canggihnya. Mula-mula dia duduk berseorangan, tetapi pada salah sebuah perhentian, tempat duduk di sebelahnya diduduki seorang kanak-kanak kulit hitam yang anggota keluarganya duduk di bahagian lain.

Budak perempuan kulit hitam itu kurang sihat agaknya, hingus mengalir di hidungnya. Lelaki Inggeris itu nampaknya tidak jijik, sebaliknya menghulurkan kertas tisu. Dia bercakap sopan. Tidak lama kemudian, seorang lelaki kulit hitam (mungkin abang) kepada budak perempuan mengambil alih tempat itu. Apabila duduk di situ, lelaki Inggeris itu meminjamkan dia akhbar. Lelaki Inggeris itu juga mengucapkan ‘Excuse me’ dan ‘Thank you’ ketika meminta laluan untuk keluar daripada tempat duduknya. Demikian betapa ‘sopan’ dan ‘hebat’nya sifat ‘gentleman’ lelaki Inggeris ini.

Bas yang kami naiki memasuki pinggir kota London jam 4.00 petang. Dari dalam bas, saya perhatian betapa sibuknya manusia di salah sebuah kota raya terbesar dunia. Mereka bergerak pantas di kaki lima bangunan. Kebanyakan bangunan jenis dua ke empat tingkat, jarang kelihatan bangunan tinggi apa lagi mencakar langit di kota metropolitan ini.

Saya tidak tahu nama-nama tempat itu. Mungkinkah kawasan yang dimasuki itu Marylebone? Saya hanya mampu melihat dan melihat dan hanya akan turun di Stesen Bas Victoria di tengah-tengah kota London. Seperti janji orang Inggeris agaknya, bas itu benar-benar tiba di stesen kira-kira jam 4.30 petang! Tepat betul janji mereka,

Sekalipun menghampiri musim panas, tiupan angin menyebabkan saya terasa kedinginan ketika menuruni tangga bas. Selepas mengambil beg di bahagian bagasi bas, saya dan isteri pun mengorak langkah, mencari pengalaman di kota London, antara kota termasyhur sepanjang sejarah manusia.

Inilah kali pertama kami ke London dan kini kami sendirian dengan kota besar dengan hampir 10 juta insan ini, terdepang di hadapan kami untuk diterokai. “Welcome to England, have a nice stay, Sir,” saya teringat kata-kata petugas imigresen di lapangan terbang Manchester tempoh hari. Kini mungkinkah ‘mereka’ akan mengucapkan ‘Welcome to London’ kepada kami?

Saturday, September 12, 2009

Bahasa Melayu pernah diguna dari Port Said ke Darwin

Di Singapura bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan malah lagu kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’ adalah dalam bahasa Melayu.

Perkara ini menunjukkan bahawa status bahasa Melayu bersifat global lebih-lebih di rantau sebelah Timur. Selain Singapura yang telah menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Indonesia melalui Sumpah Pemudanya juga telah menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi menyatukan seluruh negara kepulauan itu sekalipun bahasa Jawa lebih dominan.

Kini bahasa Melayu melalui cabaran paling hebat di bumi yang dulunya bergelar Tanah Melayu kerana statusnya sebagai bahasa ilmu mulai dihakis oleh pemerintah Malaysia yang tidak yakin penggunaannya dalam bidang penting – Sains dan Matematik. Apabila bahasa ini tidak digunakan dalam ilmu Sains dan Matematik, dikhuatiri ia akan semakin lemah kerana bahasa yang dinamik, sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman. Pinjaman perkataan dan istilah serta penyesuaiannya adalah perkara biasa bagi kemajuan dan perkembangan sesuatu bahasa.

Bantahan cendekiawan, persatuan dan orang awam berhubung program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), difahami kerana selain bimbangkan masa depan generasi muda, mereka melihat tindakan kerajaan itu meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dan rasmi negara selain melanggar Perlembagaan negara.

Selain itu, mereka bimbang penggunaan bahasa Inggeris bagi menggantikan bahasa Melayu dalam bidang penting seperti Sains dan Matematik akan menghantar bahasa Melayu ke kuburan dari segi peranannya sebagai bahasa ilmu. Ini kerana jika tidak golongan pelajar dan cendekiawan yang mengguna dan mempopularkan ratusan ribu perkataan dan istilah yang dibina sejak sekian lama, siapa dapat diharapkan memikul tugas itu?

Selain penghakisannya sebagai bahasa ilmu, amat menyedihkan masih banyak pihak mengabaikan penggunaan bahasa Melayu seolah-olah ia bertaraf rendah dan tidak layak diangkat martabatnya ke peringkat antarbangsa. Satu kajian menunjukkan bahasa Melayu berada di tangga kesembilan dari segi ramai penggunanya di dunia. Jumlah penutur bahasa Melayu dianggarkan 158 juta orang.

Kedudukan bahasa Melayu tinggi kerana di seluruh dunia terdapat hampir 6,000 bahasa, sebahagian besar daripadanya melalui proses untuk pupus.

Sepuluh bahasa yang paling ramai penggunanya ialah Mandarin dengan lebih sebilion orang, diikuti Inggeris 466 juta penutur; Hindi (393 juta); Sepanyol (372 juta); Russia (293 juta); Arab (218 juta); Bengali (199 juta); Portugis (187 juta); Melayu (158 juta) dan Jepun (136 juta).

Berdasarkan ini, jelas sekali bahasa Melayu mempunyai jumlah pengguna yang ramai dan berkedudukan tinggi dalam senario antarabangsa. Ini diakui bukan saja oleh sarjana Melayu di dunia Melayu tetapi juga rakyat dan sarjana asing dari kota besar dunia seperti London, Moscow, Seoul, Leiden, Sydney dan Beijing.

Mengenai kepentingan bahasa Melayu di peringkat global, seorang pembaca ‘Far Eastern Economic Review’ Jack De Beijer, dalam suratnya kepada pengarang tidak lama dulu, mengungkapkan: “Ketika saya menaiki kapal wap ke Asia Tenggara buat pertama kali selepas Perang Dunia II, saya perhatikan di semua pelabuhan yang kami singgah, dari Port Said (Mesir) ke Darwin (Australia), kakitangan kapal berkomunikasi dengan pekerja limbungan dalam bahasa Melayu.

“Ia bahasa mudah dipelajari. Bahasa ini tiada nahu, seseorang itu hanya perlu mempelajari perkataannya. Lima puluh peratus daripada perkataan bahasa Melayu berasal daripada bahasa Belanda, Sepanyol, Arab dan Portugis. Perkataan ini diletakkan berderet-deret dalam satu-satu ayat.

“Kemudian pada 1950-an profesor bahasa, tanpa keraguan, disebabkan oleh semangat nasionalisme, mula mempersoalkan penggunaan ‘bahasa Melayu pasar (bazar)’ seperti mana ia dikenali sekarang.

“Mereka merangka nahu yang rumit dan berasingan bagi bahasa Indonesia dan Malaysia. Hanya segelintir orang asing kini berminat belajar bahasa ini. Seseorang perlu mengetahui kata dasar sesuatu perkataan itu bagi membolehkan mereka merujuknya dalam kamus.

“Sekalipun saya mampu meneliti kontrak perniagaan yang penting dalam kedua-dua bahasa (bahasa Inggeris dan Melayu), saya perlu pembantu tahap tinggi bagi memeriksa ejaan saya.

“Malang sekali perubahan dari segi bahasa ini menyumbangkan kepada hakikat bahawa bahasa Inggeris kini mengambil tempat bahasa Melayu dari Port Said ke Darwin.”

Demikianlah berakhirnya satu episod penggunaan bahasa Melayu di sepanjang laluan dari Mesir ke Australia menurut kaca mata penulis Jack De Beijir yang boleh dilihat dari sudut positif dan negatifnya. Memang benar bahasa Melayu bazar mudah dipelajari seperti yang dituturkan oleh rakyat negara kita sekarang ini; antara Ali dan Ah Seng dan Mutu di pasar dan perhentian bas, tetapi mahukah kita penggunaan bahasa itu setakat itu saja?

Jika Jack De Beijir hanya boleh mengenang nostalgia penggunaan bahasa Melayu bazar oleh pekerja pelabuhan dari Port Said ke Darwin, rakyat Malaysia terutama generasi berusia 40-an, 30-an dan 20-an sekarang ini bolehlah merakamkan semula nostalgia mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu kerana ia sudah menjadi sebahagian sejarah. Ringkasnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sedang menuju ke kuburan tanpa nesan gara-gara kerakusan segelintir golongan yang berkuasa!