Sunday, August 13, 2017

U Masjid (32): Masjid 'dua darjat' di Terengganu...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

‘BERKAPCAI' di sepanjang jalan raya Persekutuan di Terengganu; dari Kemaman sehingga Setiu baru-baru ini  bukan saja membolehkan saya singgah di sejumlah masjid yang cukup indah dan mengkagumkan seperti Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) tetapi juga di masjid dan surau dikendalikan ahli PAS yang keadaannya cukup sederhana seperti Surau Izzul Islam di Kelulut.

 

Benar jika kita menyelusuri jalan-jalan utama di Terengganu maka begitu mudah kita ketemui masjid-masjid tersergam indah hatta di kampung-kampung sekalipun tetapi kita ‘berinisiatif’ dengan ‘meredah’ lorong demi lorong, insya-Allah kita akan ketemui rumah Allah yang walaupun kelihatan ‘daif’ tetapi insya-Allah boleh mencetuskan cahaya keinsafan bagi tujuan membersih hati.

 

Sebagai contoh, di Kelulut, dari jauh saya sudah nampak Masjid Kelulut yang begitu gah. Hebat, masjidnya yang begitu besar, tersergam indah tetapi entahlah, ‘kapcai  saya tidak menuju ke situ’ sebaliknya meredah lorong perkampungan dan akhirnya ditakdirkan berhenti untuk solat dhuha di Surau Izzul Islam, Kelulut.

 

Ya, apa yang saya dapati di Surau Izzul Islam yang berdekatan dengan sebuah Pasti ini? Sebenarnya, tiada ada sesiapa pun berada di sini tetapi mengamati keadaan surau dan persekitarannya ‘membuahkan’ satu perasaan di hati yang sukar diceritakan.

 

Terdengar suara guru-guru mengajar di Pasti, diikuti suara beramai-ramai anak murid. Sebagai seseorang yang pernah diamanahkan sebagai pengerusi persatuan ibu bapa dan guru sebuah Pasti, terbayang di mata saya akan kesukaran mentadbir sebuah pusat pengajian seperti ini terutama dari segi kewangan dan tindakan keras sang penguasa; jadi pengorbanan dan air mata adalah cerita biasa di kalangan guru, pembantu, pentadbir dan muridnya. Tentunya komitmen tinggi dan istiqamah sahaja yang dapat mengerakkan Pasti-Pasti di seluruh tanah air yang ‘skrip’ ceritanya hampir sama.

 

Di negeri saya dulu, Pasti-Pasti diarahkan tutup; ada yang diancam untuk dirobohkan kononnya kerana bangunannya tiada CF malah ada yang sudah dirobohkan kerana tanah tapak Pasti mahu dibuat projek pembangunan awam seperti pembinaan jalan raya. Dengan adanya akta pengambilan tanah, tiada jalan untuk pentadbir Pasti bertahan, mereka terpaksa memberi laluan selepas dijanjikan sedikit pampasan.

 

Selepas solat, saya ‘bacalah apa yang patut’ di papan kenyataan. Alangkah sayu di hati apabila saya terpandang sebuah notis yang menghebahkan akan nama 28 orang yang ‘menokok’ RM10 setiap bulan bagi membolehkan bayaran elektrik dibereskan. Malah ‘seorang arwah’ bernama Roslida disenaraikan membayar RM10 sebulan…pasti arwah tidak melakukannya tetapi pembayaran dibuat oleh warisnya yang berhajat agar allahyarham sejahtera di alam sana.

 

Di Kampung Tepoh, beberapa kilometer di utara Kuala Terengganu, saya singgah di Masjid Kampung Petaling. Subhanallah, masjid yang sederhana ini masih dalam pembinaan – kampit-kampit simen bersusun di bahagian depan dengan debu simen di lantai. Berdasarkan keadaan dilihat, terfikir di benak saya, masjid ini masih memerlukan dana bagi menyiapkan pembinaannya.

 

Demikianlah, terlihat ‘kontras’ (mungkin boleh diungkapkan sebagai dua darjat) antara masjid yang dibina pemerintah dengan yang tidak mendapat peruntukan pihak berkenaan. Umum mengetahui masjid-masjid di Terengganu adalah gah dan hebat tetapi insaflah kerana di sini juga kedapatan masjid dan surau yang serba sederhana; dibina dan dimakmurkan dengan pengorbanan dan air mata!

No comments: