Wednesday, August 9, 2017

Tren Pantai Timur kekal 'dulu, kini, selamanya'?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

BARU-BARU ini saya menaiki kereta api KTM dari Wakaf Bharu, Kelantan ke Segamat, Johor. Ini kali pertama saya menaiki tren Pantai Timur. 
Waduh, perjalanan ini mengembalikan ingatan (nostalgia) pengalaman menaiki tren dari Kuala Kangsar ke Tampin dan sebaliknya setiap kali cuti sekolah ketika saya bersekolah di Perak pada 1970-an dulu.
Perkhidmatan dan keadaan tren Pantai Timur sekarang ini 'sebijik' macam kereta api yang saya naiki dulu. Lokomotif, koc, tandas malah pintu pun 'mirip' yang dulu. 
Sebagai contoh apabila bergerak dari sebuah koc ke koc lain, akan terjumpa bahagian bersambung 'terjungkit' menyebabkan penumpang boleh melihat landasan di bawah manakala ada pintu yang selaknya gagal berfungsi menyebabkan pintu terbuka sepanjang perjalanan.
Apabila pintu terbuka, saya melihat ada 'mamat' berani duduk di muka pintu sedangkan kereta api sedang bergerak laju. Ditakdirkan 'mamat-mamat' ini jatuh 'dalam kegelapan malam', siapa tahu?
Demikianlah, bagi saya tren KTM Pantai Timur sekarang ini 'menyamai' perkhidmatan keretai api Pantai Barat 40-50 tahun lalu. Di laluan Pantai Barat, trennya sudah 'berevolusi' memasuki zaman baru dengan tren elektrik dan laluan berkembarnya. 
Persoalannya, adakah perkhidmatan tren Pantai Timur mahu 'dikekalkan dulu, kini dan selamanya'? Baru-baru ini Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli pada satu sidang parlimen bertanyakan hal ini dengan meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk menaik taraf landasan kereta api ke Pantai Timur menjadi rel berkembar.
Jawapan bertulis daripada kementerian menjelaskan kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melaksanakan projek rel berkembar dan elektrifikasi, melainkan kerajaan melaksanakan projek membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur landasan dan jambatan kereta api di Pantai Timur yang berkos kira-kira RM 868.5 juta dan dijangka siap pada 2019.
Sekalipun Dr Hatta berhujah bahawa 'pemodenan' KTM Pantai Timur adalah perlu kerana antara lain dengan terbentuknya laluan yang memberi akses pada kereta api barangan (freight), maka pergerakan rakyat dan aktiviti ekonomi menjadi lebih cepat dan efisien lebih-lebih lagi kawasan yang dilalui adalah wilayah pedalaman yang mempunyai hasil bumi yang banyak dan dengan kewujudan sistem perhubungan yang baik dan efisien dapat meningkatkan pengeluaran dan pemasaran hasil bumi yang memberi impak positif pada sektor pertanian, perlombongan, pengilangan dan pembuatan; nampaknya KTM tiada cadangan demikian lebih-lebih lagi pemerintah 'begitu ghairah' dengan projek 'East Coast Rail Line' (ECRL).
Jadi akan 'kekallah' perkhidmatan tren KTM Pantai Timur 'macam dulu-dulu'. Tetapi persoalannya, sampai bila?
Berbicara mengenai kereta api ini, teringat saya akan komentar saya dalam ruangan Sejenak Bersama ini (Suara Keadilan, 13 Disember 2016) yang mengesyorkan bidang 'railway engineering' (kejuruteraan kereta api) diberi perhatian di institusi pengajian tinggi; terkini Universiti Malaysia Pahang (UMP) dilaporkan akan memulakan proses dan melaksanakan kursus teknologi kereta api yang merupakan program jangka pendek bagi melahirkan pekerja mahir dalam bidang tersebut.
Dikenali Program Latihan Kemahiran Industri ECRL, ia bagi menyedia dan meningkatkan kemahiran graduan tempatan untuk diambil bekerja oleh kontraktor ECRL serta industri kereta api berteknologi tinggi. 
UMP akan memulakan proses ini dan pengambilan pertama seramai 300 penuntut akan dibuat pada September ini untuk kursus teknologi kereta api bagi tempoh enam bulan.
Pada November tahun lalu, Malaysia dan China dilaporkan bersetuju menandatangani rangka kerja pembiayaan, kejuruteraan dan perolehan untuk kontrak pembinaan ECRL yang dianggarkan bernilai RM55 bilion.
Pembinaan ECRL akan menyediakan landasan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Gombak, Selangor; Gombak ke Kuantan, Pahang seterusnya hingga ke Tumpat, Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022.

No comments: