Friday, July 7, 2017

Perangi kejahatan sepanjang masa...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
*********
BUKU TERBUKA UNTUK JUALAN
4. Tajuk: Di Dalam Lembah Kehidupan
Penulis: Prof Dr Hamka 
Penerbit: Pustaka Dini
Muka surat: 207 (Harga asal dibeli RM17)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
***********
3. Tajuk: Keadilan Ilahi
Penulis: Prof Dr Hamka 
Penerbit: Pustaka Dini
Muka surat: 123 (Harga asal dibeli RM13)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
****************
2. Tajuk: Rahsia Madinah (Jejak Rasul 2)-----------(XXXXXXXXX  MAAF, SUDAH DIJUAL)
Penulis: Khalil Ibrahim Mulla Khothir 
Penerbit: Al-Hidayah Publishers
Muka surat: 218 (Harga tertulis di buku RM14)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
********
1. Tajuk: Rahsia Mekah (Jejak Rasul 1)-------------(XXXXXXXXXXXX MAAF, SUDAH DIJUAL)
Penulis: 'Atiq bin Ghaits Al-Biladi
Penerbit: Al-Hidayah Publishers
Muka surat: 300 (Harga tertulis di buku RM15)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
***************




RAMADAN sudah berlalu dan kini kita berada pada bulan Syawal. Selepas itu datanglah Zulkaedah dan Zulhijah di mana sebahagian umat akan menunaikan haji. Universiti atau madrasah Ramadan diikuti seluruh ummah tetapi 'universiti haji' dihadiri segelintir insan bertuah bergelar tetamu Allah.

Tujuan utama universiti Ramadan adalah bagi melahirkan insan bertakwa. Namun ramai orang termasuk pemimpin boleh menjadi baik pada Ramadan tetapi selepas itu kembali 'berkawan' dengan iblis syaitan dan 'bertuhankan' nafsu. Pelbagai kejahatan seperti penyelewengan kuasa termasuk penipuan berhubung pilihan raya, rasuah, pemerasan dan ketidak-adilan perundangan dan sosial yang menyebabkan ketidak-tenteraman masyarakat dan negara.

Berdasarkan senario ini, adalah penting diperingatkan bahawa perang melawan kejahatan perlu dilakukan sepanjang masa - tidak kira pada bulan Ramadan atau bukan.  Kejahatan pemerintah adalah termasuk melakukan kezaliman ke atas rakyat. Bagi rakyat kebanyakan, keadilan sosial seperti sistem pencukaian yang adil perlu diadoptasi oleh pemerintah, kerajaan-kerajaan Islam lampau telah menunjukkan contoh terbaik; adalah sesuatu yang tidak adil jika rakyat miskin dan papa diperlukan membayar cukai - kerana ini sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh pemerintah Islam yang amanah.

Pemerintah yang diamanahkan kuasa oleh rakyat tidak wajar menggunakan instrumen kerajaan untuk bertindak ganas ke atas rakyat. Menggunakan pasukan keselamatan untuk membelasah rakyat termasuk dengan memancutkan gas pemedih mata ke atas mereka yang menuntut sedikit hak seperti gaji minimum, mempertahankan kedudukan bahasa kebangsaan, atau membantah kenaikan harga barangan asasi seperti petrol dan gula, adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.

Demikian juga berkelakuan ganas dengan memonopoli media massa bagi membunuh karektor penentang dengan menyebar fitnah adalah bayangan manusia berhati kering yang tidak ada sifat-sifat kemanusiaan. Mereka membenarkan sifat kebinatangan malah kesyaitanan hidup subur dalam jiwa mereka, lantas bertindak ganas termasuk memenjarakan individu penentang untuk terus berkuasa dulu, kini dan selamanya.

Jika universiti Ramadan diharapkan dapat mentalbiyah seluruh ummah, mereka yang sudah menunaikan haji (di Malaysia ada ratusan ribu insan bergelar haji dan hajah kerana pada satu-satu musim kira-kira 25,000 jemaah berangkat ke Tanah Suci jadi sepanjang tempoh 10 tahun lalu jumah haji dan hajah adalah kira-kira 250,000 orang) sudah tentu tanggungjawab mereka untuk menegakkan kebenaran dan melawan kemungkaran adalah lebih berat lagi.

Mereka yang sudah mengerjakan haji (melengkapkan Rukun Islam) mendapat penghormatan tertinggi masyarakat (dipandang sebagai orang baik-baik) dan dari sudut pandangan agama jika mereka ikhlas dalam ibadat ini lantas mendapat haji mabrur, balasan yang dijanjikan Allah tiada lain melainkan syurga.

Persoalan yang ingin kita fikirkan sejenak di ruangan ini adalah mengapa haji dan hajah ramai di kalangan kita tetapi aneka penyelewengan (termasuk kerakusan kuasa, gejala rasuah, ampu-mengampu malah membunuh) dan maksiat semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita? Apakah haji dan hajah tidak mengorak usaha atau membantu pihak lain dalam membanteras penyelewengan dalam negara kita? Atau adakah mereka membuat 'pekak badak' saja terhadap pelbagai ketidak-adilan yang berleluasa dalam masyarakat?

Cendekiawan ada mengungkapkan bahawa tragedi (seperti berleluasanya penyelewengan dan maksiat) bukanlah disebabkan keganasan si penjahat tetapi sikap membisu, memekakkan telinga dan membutakan mata oleh orang baik-baik. 

Mereka membenarkan kejahatan merajalela; ya setiap tahun berjuta-juta orang ketika mengerjakan haji berikrar untuk tunduk dan patuh serta berkhidmat kepada Allah Yang Kuasa, tetapi selepas balik dan bergelar haji dan hajah di manakah mereka sudah pergi? Kenapa dibiarkan aneka ketidak-adilan termasuk penyelewengan oleh pemimpin berleluasa?

Cendekiawan prihatin amat berharap haji dan hajah tidak terlupakan tugas suci mereka untuk memerangi ketidak-adilan, kesombongan serta kejahilan dengan lidah, tangan, hati dan segala segala sumber yang ada pada mereka.

Sesiapa yang sudah menunaikan haji, mereka diharap dapat mempamerkan 'kebaikan tertinggi' dalam apa saja mereka kerjakan selaras dengan ajaran Rasul, Nabi Muhammad SAW.

Ya, ada ratusan ribu insan bergelar haji dan hajah di negara kita, persoalannya di manakah mereka pada ketika negara digegarkan dengan pelbagai kejahatan seperti berleluasanya rasuah, penyelewengan kuasa, penyelewengan sumber termasuk kewangan. Mengapa membisu seribu bahasa...atau lebih buruk lagi adakah mereka bersama-sama 'geng kejahatan' ini?

Jumlah haji dan hajah yang ribuan orang itu sudah pasti kuat suara mereka dalam menentang penyelewengan, kezaliman serta maksiat yang 'subur' di sekeliling mereka. Ya, haji dan hajah 'ada di mana-mana' tetapi di manakah suara mereka itu? Mengapa mereka membisu?

Umat Islam, apatah lagi mereka yang sudah bergelar haji dan hajah diminta menyeru kebaikan dan melarang kejahatan sebagai firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Hendaklah ada antara kamu satu umat yang menyeru akan kebaikan, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Quran 3:104)

Kemudian dalam ayat lain (Quran, 3:110) Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar imam).

Haji dan hajah, insya-Allah adalah orang baik-baik. Malah mereka memang baik sekali. Dalam kesempatan yang ada, marilah kita haji dan hajah meluangkan masa sejenak dua untuk merenung kata-kata bijak pandai bahawa tragedi kejahatan yang berlaku seperti rasuah wang berbilion-bilion ringgit, penyelewengan dalam pelbagai urusan kehidupan dan aneka maksiat bukanlah disebabkan keganasan si penjahat tetapi kerana sikap membisu dan memekakkan telinga oleh orang baik-baik!

No comments: