Thursday, May 28, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 5: Ingatkan Motosikal, Rupanya...

Sekali sekala saya memandu kereta pergi dan balik pejabat yang jaraknya kira-kira 320 kilometer. Walaupun masa perjalanan lebih singkat berbanding menggunakan kenderaan awam, ia meletih dan membosankan. Maklumlah perjalanan terlalu jauh dan apabila pulang terpaksa memandu sendirian dalam kegelapan malam.

Sesetengah orang gemar memandu pada malam hari bagi perjalanan jauh. Menurut mereka ketika itu suasana nyaman manakala lalu lintas agak lengang.

Bagaimanapun pada saya, memandu pada malam hari adakalanya menyeksakan. Selain terpaksa menahan rasa mengantuk, sikap pemandu lain, benar-benar menguji kesabaran.

Pelbagai perkara tidak diduga juga boleh berlaku ketika kita berada di lebuh raya pada malam hari.

Kenderaan besar 'lebih bebas' pada malam hari. Ia bagaikan 'raja lebuh raya'. Bas ekspres 'bertarung' sesama sendiri seolah-olah ada piala yang diburu manakala lori dipandu bagaikan 'pelesit'.

Selain itu, ada 'pemandu gila' yang 'gatal tangan' memainkan lampu 'high beam' jika kenderaan anda berada di depan mereka. Sekalipun tahu anda sedang memotong kenderaan lain, pemandu 'spesies' ini sengaja memainkan lampu itu, memaksa anda ke tepi dengan segera.

Bagaimanapun pada pandangan saya, cabaran terbesar ketika berada dalam kegelapan malam di lebuh raya adalah menghadapi kenderaan besar (terutama lori) yang lampu belakangnya tidak berfungsi atau 'dipasang cincai' saja.

Dari jauh kita melihat samar-samar cahaya satu lampu merah. Kita mengandaikan kenderaan di depan itu sebuah motosikal kerana setahu kita motosikal saja kenderaan berenjin yang ada satu lampu di bahagian belakangnya.

Semakin lama, lampu merah itu semakin dekat. Kita tidak bimbang kerana motosikal biasanya bergerak di di tepi lorong paling kiri dan tiada masalah memotongnya.

Dengan mata bagai ditarik-tarik, mati-matian kita ingat kenderaan di depan ialah motosikal.

Bagaimanapun, apabila sudah dekat betul, barulah kita sedar kenderaan dengan 'lampu merah tunggal' itu bukan motosikal tetapi...alamak, lori!

Bagi yang sempat mengelak atau menekan brek, bersyukurlah, tetapi bagi yang gagal bertindak pantas kerana terkejut, berangan-angan atau memandu laju, hanya Tuhan saja yang tahu nasibnya.

Sebagai pengguna tetap lebuh raya, saya amati bahagian belakang kenderaan berat terutama lori susah dicamkan dari jauh pada malam hari. Selain ada lori dengan satu lampu belakangnya menyala, lebih teruk lagi ada lori dengan kedua-dua lampu belakangnya tidak berfungsi.

Ada yang lampunya menyala tetapi keadaannya teruk. Cahaya lampu pudar, terutama bagi lori yang mengangkut tanah dan batu. Sudahlah lampunya bersaiz kecil (lampu belakang kereta pun lebih besar dan terang), ia diselaputi debu dan tanah pula.

Ada lori pula 'diselubungkan' dengan kanvas hitam, terutama pada hari hujan. Jadi pemandu dalam jarak beberapa ratus meter di belakang tidak tahu ada lori depannya.

Tiba-tiba saja ia sudah ada di depan mata. Ada pula lori yang rosak, dibiarkan saja di tepi jalan raya, tanpa sebarang tanda amaran.

Saya hairan mengapa tidak diwajibkan lori dipasang dengan lampu besar dan terang di bahagian belakangnya. Disebabkan sudah beberapa kali menghadapi situasi begini, saya geram sungguh dan berpendapat kalau boleh, pasang saja 'lampu kalimantang' di belakang lori. Barulah pemandu lain nampak dari jauh dan mengambil langkah berhati-hati.

Saya berpendapar pemasangan lampu bahagian belakang lori dengan ciri keselamatan lebih baik (terang, besar dan bukan hanya dua lampu kecil di bahagian bawah kenderaan itu), dapat membantu ramai pengguna jalan dan lebuh raya.

Perkara ini saya rasa tidaklah susah dilaksana atau dikuatkuasakan, tidak macam pemasangan kotak hitam yang diheboh-hebohkan ataupun kewajipan untuk penunggang motosikal memasang lampu dalam panas terik dan cahaya terang-benderang sepanjang lebuh raya.

Kadar kemalangan jalan raya yang tinggi di Malaysia bukan saja diperkatakan dalam negara, tetapi juga oleh pihak luar. Misalnya, ketika sambutan perayaan berkembar (Tahun Baru Cina dan Aidilfitri) baru-baru ini (1997), agensi berita Reuters melaporkan bahawa pihak berkuasa Malaysia sudah buntu dalam menangani kemalangan jalan raya yang terus meningkat.

Agensi berita itu berkata di sebalik tindakan kerajaan melancarkan gerakan peringkat kebangsaan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya pada 31 Januari 1997, kemalangan semakin kerap.

Katanya, purata 600 nahas jalan raya sehari dicatatkan antara 31 Januari hingga 7 Februari 1997. Bagi tahun 1996 saja, lebih 6,000 orang mati dalam nahas jalan raya.
Seperti Malaysia, sebuah lagi negara membangun yang dilaporkan mempunyai kadar kemalangan yang tinggi ialah Maghribi (Morocco) di Afrika.

Menurut perangkaan, sepanjang 1995, Maghribi mencatatkan 41,552 kemalangan sekalipun hanya ada 1.66 juta kereta di negara dengan 27 juta penduduk itu. Jumlah kemalangan di Maghribi dikatakan sembilan kali lebih banyak daripada Perancis dan 10 kali ganda berbanding Norway.

Sepanjang enam bulan pertama tahun 1996, 1,196 orang terbunuh manakala 26,599 cedera dalam 18,033 kemalangan jalan raya di Maghribi. Sepanjang tempoh yang sama pada 1995, 1,618 orang mati manakalalebih 30,000 orang cedera dalam nahas jalan raya.

Kadar kemalangan di Maghribi juga tinggi berbanding jirannya, Algeria yang mencatatkan 24,842 kemalangan dalam enam bulan pertama tahun 1996 sekalipun jumlah kereta di negara itu lebih banyak iaitu 2.1 juta buah.

Menurut 'New Guinness Book of Records 1996', Latvia (sebuah negara Komanwel Negara Berdaulat -CIS - bekas republik Soviet Union), mencatatkan kadar kematian nahas jalan raya tertinggi di dunia iaitu 34.7 kematian bagi setiap 100,000 penduduk manakala Malta yang terendah dengan 1.6 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.

Sementara itu kemalangan jalan raya yang mengorbankan paling banyak orang adalah letupan sebuah lori tangki minyak dalam Terowong Salang di Afghanistan pada 3 November 1982. Sebanyak 176 orang disahkan terkorban dalam nahas itu.


***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.

Tuesday, May 26, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 4: Usah Persia Usia Muda

Kematian Tan Sri Yahaya Ahmad, 50, yang boleh dikatakan 'masih muda' dalam nahas helikopter (1997), mengingatkan saya pada satu kejadian di depan mata saya, berhampiran persimpangan Jalan Sultan, Kuala Lumpur, tidak lama dulu.

Ketika itu saya tergesa-gesa ke tempat kerja. Di tepi persimpangan jalan itu, saya terlihat seorang lelaki tua berkopiah duduk dalam keadaan termengah-mengah.

Suasana tengah hari Sabtu itu begitu sibuk. Orang ramai berpusu-pusu melepasi orang tua itu manakala kenderaan bertali-arus. Udara berbahang dengan matahari tegak di kepala mungkin menyebabkan orang tua itu hampir pitam.

Naluri saya ingin menolongnya. Tetapi seolah-olah 'ada suara' menegah saya berbuat demikian.

"Aaa, kalau kau tolong dia, nanti kau lambat sampai pejabat."

"Jangan cari pasallah, lebih baik kau 'blah' segera!"

"Hah, buat apa susahkan diri, ramai lagi orang boleh bantu orang tua tu!"

"Macam mana kalau orang tua itu minta kau hantar dia balik atau pergi hospital? Menyusah dan membuang masa kau saja!"

Kerana mengikut lintasan fikiran jahat itu, saya tidak menolong orang tua itu. Saya hanya terpacak di tepi jalan, memerhati saja kejadian itu. Seminit-dua berlalu. Orang ramai buat tidak tahu, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

Beberapa minit kemudian barulah seorang pemuda berserban mendekati orang tua itu. Dengan bantuan seorang lelaki lain, dia memapah orang tua itu ke tepi, seterusnya ke tempat yang teduh.

Tiba-tiba saya rasa malu pada diri sendiri. Terasa kesal kerana tidak bertindak waras sebaliknya melayani fikiran jahat saya. Kejadian itu menghantui saya sepanjang hari. Terbayang-bayang di mata saya, orang tua itu menahan kesakitan di celah-celah kaki orang rami di tengah-tengah matahari terik dan saya tergamak memerhatikannya saja.

Kejadian ini menyedar dan mengingatkan saya bahawa untuk menolong orang, kita tidak perlu menunggu diri menjadi 'serba lengkap'. Misalnya dalam kisah yang saya alami itu, kita tidak perlu menunggu waktu lapang baru hendak memberi bantuan. Sekalipun tengah sibuk dan tidak ada masa, kita perlu meluangkan sedikit daripada waktu itu untuk membantu orang lain.

Kita tidak payah jadi 'Superman', baru hendak menolong orang. Kita juga tidak perlu sampai menggadai nyawa untuk menolong orang lain kerana ada banyak tugas mudah yang boleh kita buat, tetapi kita tidak buat.

Berhubung soal membantu orang ini, saya tertarik dengan satu laporan akhbar 'Malay Mail' tidak lama dulu mengenai seorang lelaki tidak dikenali menolong seorang wanita asing pada suatu malam selepas kereta wanita itu terbabit dalam kemalangan dengan tajuk begini, 'Knight in black batik help woman' (Wira berbaju batik tolong wanita). Rupa-rupanya 'Knight in batik' itu ialah Menteri Perusahaan Utama (1997), Datuk Seri Lim Keng Yaik.

Ada orang bercakap mereka akan jadi dermawan, buat rumah anak yatim dan pelbagai kebajikan lain jika mereka banyak wang, menang loteri ataupun menerima durian runtuh.
Mereka akan tolong orang jika mereka ada kuasa, ada pangkat dan ada segala-galanya.

Seolah-olah mereka menunggu menjadi orang terkaya di dunia seperti Sultan Brunei atau Bill Gates ataupun yang paling berkuasa seperti Presiden Amerika ataupun paling disegani seoerti Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum memberi bantuan kepada orang lain.

Bagaimanapun, ia tidak lebih daripada cakap-cakap kosong dan angan-angan saja. Saya berpendapat jika kita mahu membantu seseorang, bantulah sekarang, jangan tunggu-tunggu lagi.

Demikian juga jika kita mahu membina kekayaan, meraih kejayaan, mempertingkatkan ilmu, mengukuhkan ikatan persahabatan atau persaudaraan, mulakan usaha itu sekarang, jangan tunggu-tunggu lagi.

Bagi saya, kejayaan Yahaya, seorang murid tua Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dalam dunia perniagaan sebelum berusia 50 tahun, menunjukkan bahawa jika seseorang itu mahu cemerlang dalam sesuatu bidang, dia hendaklah memulakannya sejak muda lagi.

Ramai tokoh berjaya, membuktikan kewibawaan sejak mereka muda, malah di bangku sekolah. Mereka termasuklah beberapa tokoh dunia sama ada pada era moden ini atau pada zaman silam.

Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton (1992-2000), mula memimpin negaranya dalam usia 40-an manakala Benazir Bhutto menjadi perdana menteri Pakistan dalam usia 35 tahun pada 1988. Perdana Menteri Liechtenstein pula mula memimpin negaranya ketika berusia 28 tahun pada 15 Disember 1993.

Sekalipun ramai orang muda menjadi pemimpin dunia, China sebaliknya 'bangga' dengan tokoh veteran mereka. Salah seorang pemimpin tertingginya, Deng Xiaoping, meninggal dunia dalam usia 92 tahun. Tokoh-tokoh lain seperti Jiang Zemin, Li Peng dan Qiao Shi semuanya termasuk dalam golongan veteran.

Antara tokoh dunia zaman purba yang mencatat kemasyhuran dalam usia muda ialah Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) yang berjaya menakluk kawasan luas yang terbentang dari Mesir di barat dan India di timur. Dia meninggal dunia dalam usia 30-an di Babylon.

Untuk pengetahuan peminat filem pula, 'Evita' yang mendapat sambutan hangat, mengisahkan kehidupan Eva Peron yang menjadi masyhur sebagai isteri pemimpin Argentina sebelum dia meninggal dunia dalam usia 33 tahun kerana penyakit barah.

Umur sebahagian tokoh masyhur dunia pendek tetapi dalam tempoh singkat itu mereka berjaya melonjakkan diri dan mencatat nama dalam lembaran sejarah mengatasi mereka yang berusia panjang tetapi mensia-siakan usia mereka.

Ringkasnya, kita perlu memanfaatkan sepenuhnya masa sekarang dan bukan memasang angan-angan membuat itu dan ini pada masa depan.


***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.

Monday, May 25, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 3: Membaca Rugi, Tidak Membaca Lagi Rugi

Sebagai kota bersejarah, ramai orang mengunjungi Melaka. Mereka termasuklah pelawat luar negara. Peloncong 'Mat Saleh' mudah dikenali tetapi sukar mengenali pelawat dari negara Asia lain (seperti Indonesia, Singapura, Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan Thailand).

Sekali sekala dalam perjalanan pergi atau balik kerja, saya ketemui pelancong 'Mat Saleh' dalam bas yang sama. Saya tidak berapa suka duduk di sebelah 'backpackers' (pelancong dengan ongkos terhad) ini. Bukan apa, kebanyakan 'Mat Saleh' yang saya temui berbau, menunjukkan mereka tidak mandi sekian lama.

Di negara mereka yang mengalami empat musim, adalah biasa untuk seseorang itu tidak mandi beberapa hari pada musim tertentu, tetapi di Malaysia dengan iklim lembab basah, amalan itu tidak sesuai.

Sedaya upaya saya cuba mengelak daripada duduk di sebelah 'backpackers' ini. Tetapi kadang-kadang terkena juga. Bagi menghilangkan bosan dan jika ada 'mood', saya berbual dengan mereka. Tetapi bukan semua orang sedia berbual, ada yang suka melayan perasaan sendiri ataupun tidur.

Satu perkara yang menarik perhatian saya mengenai sesetengah 'Mat Saleh' ini ialah kecenderungan mereka mengisi masa terluang ketika dalam perjalanan jauh, ialah dengan membaca.

Minat ini tidak pula dikongsi pula oleh sebahagian besar anak tempatan. Saya perhatikan kebanyakan 'orang kita' lebih suka menghabiskan masa dengan termenung, berbual-bual kosong atau 'mendengkur' (tidur). Jarang sekali saya lihat penumpang tempatan membaca buku, hanya beberapa orang memanfaatkan masa dengan menatap akhbar atau majalah.

Berdasarkan senario dalam bas ekspres ini, rasanya tidak salah untuk diandaikan bahawa rakyat Malaysia tidak gemar membaca, berbeza daripada yang ditunjukkan oleh 'Mat Saleh' atau orang Jepun.

Membaca nampaknya belum lagi menjadi sebahagian budaya rakyat Malaysia. Malahan satu kajian oleh Majlis Buku Kebangsaan (MBK) tidak lama dulu, mendapati secara purata seorang penduduk negara kita hanya membaca satu setengah muka surat buku setahun!

Banyak sebab dikemukakan mengenai sikap rakyat Malaysia yang tidak gemar membaca.

Saya amat setuju dengan pandangan Johan Jaafar dalam kolumnya 'Nota Kaki' (1997) dalam sebuah akhbar harian nasional, bahawa suasana kedai buku di Malaysia yang 'tidak mesra' menjauhkan khalayak ramai daripada buku.

Johan dalam ruangannya itu, berkata kebanyakan pembantu kedai buku di Malaysia memandang penuh curiga kepada setiap pengunjung. Buku baru dibalut dengan plastik bagi menghalang pengunjung daripada membelek-beleknya. Keadaan ini mematikan minat orang awam membaca apatah lagi untuk membeli buku bermutu yang mahal harganya.

Selain kedai buku, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, saya dapati perpustakaan awam di negara kita juga 'kurang mesra'. Penyelia perpustakaan dengan wajah masam, kelihatan sengaja mahu mencari kesalahan pengunjung bagi mendenda mereka. Akhbar pula 'dikepit' dengan bingkai kayu panjang (kadang-kadang penyelia tidak membenarkan ia dibuka) menyukarkan pengunjung membacanya.

Ketika di bangku sekolah pada tahun 70-an dan 80-an dulu, saya kerap mengunjungi perpustakaan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka yang terletak di Jalan Hang Tuah (kini perpustakaan baru negeri terletak di Bukit Baru).

Saya tidak dapat lupakan seorang penyelia perpustakaan yang tempang sebelah kakinya dan tidak pernah senyum. Kerjanya mencari kesalahan pengunjung, termasuk menghalau keluar pengunjung yang berkelakuan tidak wajar pada pandangannya.

Berdasarkan pengalaman pahit ini, sudah lama saya tidak mengunjungi perpustakaan awam. Mungkin keadaan sekarang sudah jauh berubah kerana semakin ramai pustakawan berkelulusan profesional dari institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Kini, dengan kebanjiran buku, majalah dan bahan bacaan lain, saya percaya tahap pembacaan rakyat Malaysia, malah dunia, sudah meningkat. Tetapi apakah yang sebenarnya menjadi tumpuan pembacaan mereka itu, terutama golongan remaja yang kini kerap dikaitkan dengan keruntuhan akhlak?

Majalah 'Newsweek' dalam satu laporannya (17 Februari 1997), mendedahkan kebimbangan sesetengah pihak mengenai apa yang dibaca oleh golongan remaja Britain.

Laporan majalah ini dengan tajuk 'Sex tips for teen girls - Take a look at what your 12-year old is reading (Tip seks untuk untuk remaja perempuan - Jenguklah apa yang dibaca oleh anak gadis anda yang berusia 12 tahun) mendedahkan bagaimana ahli Parlimen Konservatif British, Peter Luff terperanjat dengan kandungan majalah yang dibaca oleh anak perempuannya yang berusia sembilan tahun.

Antara yang dipaparkan dalam majalah itu adalah permintaan seorang pembaca remaja yang mahukan nasihat selepas menemui gambar lucah ibunya dan surat yang memberahikan daripada seorang lelaki. Malahan, ada majalah lain yang ditujukan kepada pembaca remaja perempuan, menyiarkan kisah yang lebih berani.

Berdasarkan pengalaman yang dilaluinya, Luff memulakan perjuangan supaya cadangan umur diletakkan pada muka depan majalah remaja British. Beliau mendapat sokongan banyak ibu bapa British yang bimbang dengan apa yang dibaca oleh anak mereka.

Ibu bapa British sebenarnya mempunyai sebab untuk bimbang. Satu pungutan suara MTV menunjukkan secara purata remaja British melakukan hubungan seks pertama dalam usia 15 tahun 6 bulan, jauh lebih awal daripada negara Eropah lain.

Kira-kira 90,000 remaja perempuan di bawah usia 16 tahubn (had umur boleh kahwin), kini mendapatkan nasihat mengenai kaedah pencegahan hamil, dua kali ganda berbanding 10 tahun lalu.

Jika ibu bapa di Britain bimbang mengenai masa depan anak-anak mereka termasuk apa yang mereka baca, saya berpendapat tiada sebab mengapa ibu bapa di Malaysia harus berdiam diri sedangkan keruntuhan akhlak di kalangan remaja, termasuk pelajar dilaporkan semakin menjadi-jadi.

Ibu bapa tidak seharusnya menggalakkan anak-anak membaca dan selepas itu tersenyum melihat mereka menatap buku atau bahan bacaan lain. Mereka perlu menjenguk apa yang dibaca oleh si anak - sama ada ia memberi manfaat atau bahan lucah, picisan, karut dan seumpamanya yang banyak dalam pasaran.

Pendedahan bahan bacaan seumpama ini, hanya akan membawa kepada keruntuhan moral anak-anak muda.

Ringkasnya, membaca (bahan lucah dan sebagainya) menyebabkan seseorang itu rugi tetapi jika tidak membaca (bahan manfaat), lagi rugilah individu itu. Sehubungan itu, bijak-bijaklah memilih, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.


***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.

Friday, May 22, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 2: Antara Visi Abdul Ghafur Dan Albright

Surat khabar menjadi penyebab saya mengenali Abdul Ghafur, seorang penjual akhbar di seberang jalan berhadapan Kompleks Kota Raya.

Berdasarkan susuk tubuhnya, saya mengagak Abdul Ghafur berusia dalam lingkungan 60-an.

Abdul Ghafur mudah dikenali. Seperti kebanyakan peniaga India Muslim daripada generasi lama, dia sentiasa berkain putih. Malah setiap kali saya ketemuinya, Abdul Ghafur mengenakan baju putih dan berkopiah putih. Dia duduk tekun di depan akhbar yang dijualnya - jarang saya melihatnya di tempat lain.

Pengenalan saya dengan Abdul Ghafur berdasarkan minat dan mungkin juga 'kerjaya dalam industri yang sama'.

Saya seorang wartawan yang akan resah jika tidak menatap sekurang-kurangnya sebuah akhbar nasional setiap hari manakala Abdul Ghafur seorang peniaga yang membanting tulang bagi memastikan akhbarnya habis dijual.

Biasanya sebelum memulakan perjalanan jauh ke tempat kerja, saya membeli akhbar untuk mengisi masa dan yang paling penting mengetahui hal ehwal semasa sebagai persediaan sebelum memulakan tugas. Kadang-kadang saya membaca sehingga empat akhbar.

Ramai orang berpendapat membaca dalam bas ekspres menyeksakan. Sebenarnya, itu cerita lama. Kini, dengan adanya rangkaian bas ekspres selesa (berhawa dingin dan pelbagai ciri lain), membaca begitu menyeronokan.

Penumpang boleh membaca dalam kedudukan yang mereka rasakan paling selesa. Ini kerana bas ekspres jarang penuh (kadang-kadang ada beberapa penumpang saja), kecuali pada hari perayaan. Oleh itu, penumpang boleh bersandar atau berbaring 'macam raja' ketika membaca.

Akhbar 'diburu' untuk dibaca. Selepas dibaca, ia tidak dipedulikan lagi. Jika di rumah, pejabat atau perpustakaan, akhbar itu boleh dikongsi tetapi bagi saya, ia tidak berguna selepas tiba di ibu kota.

Dulu, saya tinggalkan saja akhbar itu dalam bas. Tetapi jika hampir setiap hari dibuat begitu, saya rasa rugi pula. Kemudian saya terfikir untuk menjualnya dengan separuh harga.

Kebanyakan peniaga yang saya temui, menolak mentah-mentah usaha saya itu, sehinggalah saya bertemu Abdul Ghafur.

Demikianlah, surat khabar menjadi penyebab saya mengenali Abdul Ghafur. Hari demi hari, ikatan berdasarkan kepentingan bersama (penjual dan pembeli) itu kian mantap.

Saya tidak perlu banyak membuka mulut apabila bertemu Abdul Ghafur, hanya beri salam, letakkan akhbar itu dan dia akan menyerahkan duit yang disorokkan di bawah timbunan akhbar kepada saya. Lepas itu saya pergi sambil mengucapkan terima kasih.

Suatu hari menjelang Ramadan, ketika saya lakukan perkara yang sama - letakkan akhbar, ambil duit dan bergegas pergi - Abdul Ghafur menjerit memanggil saya.

Berderau darah saya kerana menyangka saya telah membuat kesalahan yang menyebabkan peniaga tua itu naik darah.

"Encikkk," katanya. "Minggu depan, saya balik India. Saya sudah beritahu rakan-rakan saya mengenai Encik (maksudnya saya boleh terus menjual akhbar di gerai itu)."

"Yakah? Berapa lama? Mana tempat?" tanya saya.

"Enam bulan," katanya. "India Selatan."

"Siapa ada sana?" tanya saya.

"Bini ada. Anak ada. Cucu ada."

Segera terbayang di kepala saya, Abdul Ghafur disambut penuh tangisan tetapi 'bagaikan wira' oleh keluarga dan sanak-saudaranya.

Bayangkanlah, selepas bertahun-tahun merantau dan bekerja keras, Abdul Ghafur akhirnya pulang 'bercuti' selama enam bulan untuk bersama-sama keluarganya pada bulan Ramadan, Syawal dan musim haji.

Hati saya tersentuh. Terasa sedih kerana peniaga baik hati itu (tidak menolak rezeki walaupun kecil) tidak akan saya temui untuk suatu jangka waktu yang panjang.

Apabila terbayangkan cucu-cucu Abdul Ghafur mengejar datuk mereka apabila dia pulang nanti, saya menjadi lebih terharu. Saya pun menyeluk saku dan mengeluarkan jam tangan secara berkata: "Beri kepada cucu."

Saya tidak tahu status kerakyatan Abdul Ghafur. Tetapi saya mengagak, dia adalah antara jutaan pendatang di seluruh dunia yang berusaha membaiki penghidupan di rantau orang, termasuk negara kita.

Di Malaysia dianggarkan ada 2.1 juta pekerja asing (statistik pertengahan 1990-an), 1.5 juta daripada mereka berada di Semenanjung Malaysia. Dianggarkan 300,000 hingga 500,000 rakyat Filipina menetap di Sabah. Menurut perangkaan, sehingga 1 Januari 1997, ada 960,164 pekerja yang sah dari segi undang-undang di negara ini.

Negara Asia Selatan menjadi penyumbang tenaga buruh yang besar ke negara Asia yang pesat membangun. Dianggarkan 440,000 pekerja India berhijrah ke negara lain setiap tahun, dari Pakistan seramai 120,000 orang, dari Bangladesh seramai 190,000 orang dan dari Sri Lanka seramai 130,000 orang.

Negara penyumbang tenaga buruh lain di Asia ialah Indonesia dengan 130,000 pekerjanya ke seberang laut setiap tahun dan Filipina dengan 720,000 orang.
Rantau Asia yang paling banyak menerima pekerja asing ialah Asia Barat yang mencatatkan lima juta orang, diikuti Malaysia (2.1 juta), Jepun (1 juta), Korea Selatan (1 juta) dan 300,000 orang masing-masing di Taiwan, Hong Kong dan Singapura.
Di Hong Kong dilaporkan ada 14,200 rakyat Malaysia yang berusaha mencari penghidupan yang baik di bekas tanah jajahan British itu.

Selain itu ada 20,500 rakyat Australia, 20,900 rakyat India, 21,500 rakyat Jepun, 25,500 rakyat Thailand, 25,900 rakyat Indonesia, 26,700 rakyat Britain, 28,200 rakyat Kanada, 32,600 rakyat Amerika Syarikat dan 128,000 rakyat Filipina di kepulauan itu (perangkaan 1997).

Berdasarkan perkembangan semasa, saya percaya jika seseorang itu mahu mengubah penghidupannya, adalah lebih baik dia berhijrah - keluar dari kampung halamannya bagi mencuba penghidupan baru.

Di peringkat antarabangsa, kisah Madeleine Albright adalah contoh terbaik. Daripada seorang budak miskin di Czechoslovakia (kini terbahagi kepada dua negara - Republik Czech dan Slovakia), Albright yang dilahirkan pada 1937, berpindah ke 'Dunia Baru' pada 1948 dan berjaya meningkatkan diri sehingga menjawat tugas yang menurut sesetengah penganalisis sebagai yang paling sibuk di dunia iaitu Setiausaha Negara (kini bekas Setiausaha Negara) Amerika Syarikat!

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.

Thursday, May 21, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 1: Dunia Menjadi Semakin Kecil

Bagi yang gemar membaca, masih anda ingat kisah 'Around The World In Eighty Days' yang dihayati ketika di bangku sekolah?

Kisahnya adalah mengenai seorang warga British pada abad ke-19 berjaya melakukan pengembaraan mengelilingi dunia dalam tempoh 80 hari.

Dia melakukannya dengan menaiki kapal, kereta api dan kenderaan darat lain, dari London dan kembali semula ke kota raya itu.

Kini, pengembaraan mengelilingi dunia bukan saja dapat dilakukan dalam kiraan hari, tetapi berpuluh jam saja.

Mengikut catatan 'The New Guinness Book of Records 1996', tempoh terpantas mengelilingi dunia mengikut peraturan Persekutuan Penerbangan Antarabangsa (FAI) dengan menggunakan penerbangan berjadual ialah 44 jam 6 minit. Ia dilakukan oleh David J Springbett (dilahirkan pada 2 Mei 1938) dari Taplow, Bucks, Amerika Syarikat.
Perjalanan beliau bermula dari Los Angeles, California ke timur melalui London, Bahrain, Singapura, Bangkok, Manila, Tokyo dan Honolulu pada 8-10 Januari 1980, meliputi jarak 37,124 kilometer.

Sementara itu, rekod terpantas kelakuan udara ialah 3,529.56 kilometer sejam dicatatkan oleh Kapten Eldon W Joersz dan Mejar George T Morgan Jr yang mengemudi jet 'Blackbird' Lockheed SR-71A dekat Pangkalan Tentera Udara Beale di California, Amerika Syarikat sepanjang laluan 25 kilometer pada 28 Julai 1976.

Bagi kereta api pula, kelajuan terpantas dicatatkan oleh sebarang sistem kereta api kebangsaan ialah 515.3 kilometer sejam oleh kereta api berkelajuan tinggi SNCF Perancis, TGV (Train a Grande Vitesse) Atlantique antara Courtalain dan Tours pada 18Mei 1990. TGV Atlantique dan Nord kini memberi perkhidmatan dengan kelajuan 300 kilometer sejam.

Kereta api Perkhidmatan Eurostar dari London ke Paris juga bergerak dengan kelajuan 300 kilometer sejam di bahagian negara Perancis. Siri baru 500 kereta api bagi sistem kereta api JR West, Jepun juga direka untuk bergerak dengan 300 kilometer sejam bagi perkhidmatan biasa.

Bagi kereta keluaran 'standard' pula, kelajuan terpantas dicatatkan adalah 349.21 kilometer sejam oleh kereta Jaguar XJ220 yang dipandu oleh Martin Brundle di litar ujian Nardo, Itali pada 21 Jun 1992.

Saya mengemukakan contoh ini bagi membuktikan jarak bukan lagi halangan seseorang daripada bertugas di tempat yang dulunya dianggap jauh dari kediaman masing-masing.

Misalnya di Jepun dan negara maju lain, ramai orang yang tinggal beratus-ratus kilometer dari tempat kerja berulang-alik dengan kereta api setiap hari.

Daripada 10 juta orang di Jakarta pula, dua juta tinggal di bandar dan desa di luar ibu kota itu.

Oleh itu jangan hairan jika ada orang berkata, jumlah penduduk Jakarta pada waktu siang ialah 10 juta manakala pada malamnya, ia berkurangan kepada lapan juta.

Di negara kita pula, pengenalan kepada internet dan Koridor Raya Multimedia (MSC), mempercepatkan lagi fenomena ini.

Saya percaya dengan adanya sistem lebuh raya dan pengangkutan awam canggih (seperti komuter dan kereta api ringan ketika ini), makin ramai pekerja Kuala Lumpur memilih tinggal di bandar atau pekan yang terletak berpuluh-puluh malah beratus-ratus kilometer jauhnya.

Ringkasnya, bukanlah sesuatu yang menghairankan, jika dalam temph terdekat ini, sebahagian pekerja di Kuala Lumpur, sebenarnya tinggal di kawasan lebih jauh dari Rawang (Lembah Beringin?), Ipoh, Seremban, Muar atau pun Melaka!

****** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Tuesday, May 19, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 16: Eksperimen

Seseorang yang insaf mengenai masa depan keluarga, terutama anak-anak, tidak akan membuat keputusan mengejut termasuklah berhenti kerja tanpa sebarang sandaran.

Demikian halnya dengan diri saya. Selepas menyedari dunia kewartawanan tidak dapat memberi kepuasan dari segi jiwa, saya sudah merancang untuk berhenti sejak tahun 1993lagi selepas timbul kesedaran di hati saya semasa menziarahi Makam Imam Bukhari di Samarkand, Uzbekistan.

Pada pertengahan tahun 1994, saya serta keluarga telah berpindah ke rumah kami yang baru siap di Melaka. Mulai tempoh ini, saya terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Melaka kerana pejabat saya terletak di ibu kota manakala rumah di negeri Hang Tuah itu.

Hampir setiap hari saya berulang-alik antara dua kota ini. Untuk menjimatkan kos dan merehatkan tubuh, saya menaiki bas. Berdasarkan pengalaman semasa perjalanan inilah, saya rakamkan dalam kolum saya dengan nama 'Kisah Antara Dua Kota' di Berita Harian sebanyak 29 keluaran (15 Februari - 30 Ogos 1997).

Disebabkan laporan peristiwa dunia kebanyakan akhbar kelihatan membosankan, saya mencuba pendekatan baru ini yang belum pernah dibuat oleh mana-mana akhbar. Saya percaya cara ini adalah satu eksperimen bagi memperkayakan khazanah ilmu kewartawanan Malaysia.

Pengalaman ini juga mematangkan saya, seterusnya memberi semangat bagi mengharungi dunia kewartawanan dan bidang kehidupan lain.

Sesetengah kisah yang dipaparkan seperti kisah hari kemerdekaan, mengingatkan saya bahawa perjuangan seseorang insan tidak pernah selesai, sama ada dia seorang wartawan atau bukan.

Ketika menghadapi dilema mengenai tempat tinggal ini, saya berhasil menjadikan kesukaran yang dihadapi sebagai bahan tulisan yang boleh menjadi renungan bersama.

***Pengenalan Kisah Antara Dua Kota (15 Februari 1997)

Selepas tujuh tahun menghuni kota Kuala Lumpur, saya mulai bosan dengan penghidupan di metropolitan ini. Kerenah kehidupan di flet, sikap tidak peduli penduduk atau kesesakan di jalan raya memeningkan kepala.

Saya juga tidak sampai hati menyaksikan anak-anak membesar di rumah dengan jerjak pintu atau pagar terpaksa ditutup hampir setiap masa semata-mata bagi memastikan keselamatan mereka.

Sehubungan itu, tiga tahun lalu, saya membuat keputusan nekad. Saya kembali ke kampung halaman di Melaka untuk merasakan pengalaman baru. Tetapi saya masih meneruskan kerja di Kuala Lumpur. Ringkasnya, rumah saya di Melaka manakala pejabat di Kuala Lumpur.

Berulang-alik antara Melaka dan Kuala Lumpur, setidak-tidaknya memberikan pengalaman yang tidak mungkin dapat dijual beli pada saya.

Bagi saya, manusia sama saja, sama ada beliau Presiden Amerika yang didakwa sesetengah pihak sebagai manusia paling berkuasa di dunia atau seorang pengemis di Somalia.

'Kisah Antara Dua Kota' ini memaparkan pengamatan saya sepanjang perjalanan pergi dan balik kerja yang jaraknya lebih 320 kilometer. Kisahnya diadunkan dengan fakta dan peristiwa antarabangsa kerana saya berpendapat sifat dan sikap manusia sama saja (sejagat).

Sudah pasti dalam mengharungi perjalanan sejauh ini, saya tidak larat melakukannya dengan kerap memandu kenderaan sendiri. Kosnya tinggi, malah 'roda kereta pun boleh tercabut', jika dibuat demikian.

Dengan menaiki kenderaan awam, saya memperolehi pelbagai pengalaman yang saya rasa rugi jika tidak dikongsi bersama pembaca.

****** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Monday, May 18, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 15: Selamat Tinggal

Akhirnya pada tanggal 1 Februari 1998, ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, saya mengemukakan surat perletakan jawatan saya kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, A Nazri Abdullah.

Disebabkan hari itu cuti umum, saya menyelitkan surat itu di bawah pintu bilik beliau. Salinan surat itu saya hantar kepada beberapa orang pembantu kanannya.

Beberapa hari kemudian, beberapa pengarang kanan yang baru kembali bertugas selepas Hari Raya, menelefon saya, meminta saya memikirkan kembali perkara itu, sekali gus menarik balik keputusan itu.

Tetapi saya tidak berganjak dengan keputusan itu. Setiausaha Nazri kemudiannya menelefon saya, menyatakan 'bos' meminta saya berjumpanya. Katanya, Nazri mahu mendengar masalah dari mulut saya sendiri.

Dalam pertemuan dengan Nazri, saya nyatakan masalah yang saya hadapi dalam menjalani peranan saya sebagai seorang wartawan Muslim.

Saya timbulkan mengenai ketidaksesuaian jiwa saya dengan corak kewartawanan masa kini. Tentang penggunaan gambar-gambar tidak sopan, tentang pemberitaan yang terpesong, tentang wujudnya keputusan empat nombor ekor dan pelbagai lagi unsur dalam dunia persuratkhabaran yang tidak selari dengan jiwa saya.

Saya juga memberitahunya dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai seorang wartawan yang berdedikasi, saya gagal mencari masa 'untuk melakukan kerja-kerja berfaedah' untuk bekalan di akhirat kelak.

Misalnya, saya tidak ada masa untuk belajar membaca al-Quran. Tentulah di akhirat malah di dunia lagi, saya menjadi seorang yang amat rugi, dan tiada siapa yang dapat menolong diri saya kecuali saya sendiri.

Jika dari muda saya sudah 'menghambakan' diri kepada akhbar, sampai mati pun nanti saya akan jadi 'hamba akhbar'. Siapakah yang dapat menolong saya, malahan di dunia pun, jika meminta tolong kepada orang, kebanyakan orang tidak akan mempedulikan kita.

Nazri memandang saya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan dan kemudian antara lain berkata: "Banyak daripada pandangan awak itu salah. Awak tidak boleh meletakkan sesuatu hukum itu berdasarkan fikiran awak. Awak masih banyak kena belajar!"

Selepas puas berbahas, Nazri berkata: "Kalau awak mahu, saya boleh tarik balik surat (perletakan jawatan) itu. Tapi kalau awak sudah nekad, saya akan 'sign' surat itu."
"Saya sudah nekad," kata saya.

"Saya tak mahu awak jadi pelampau (agama). Saya bimbang awak akan jadi seorang pelampau suatu hari nanti!"

Saya diam saja, tetapi dalam kepala berfikir, mengapa dia kata suatu hari aku akan jadi pelampau agama.

"Baiklah," kata Nazri. "Saya mahu tengok berapa jauh awak pergi. Ramai orang di sini yang berhenti, kemudian datang balik, menyatakan rasa menyesal mereka berhenti."
Saya diam saja.

"Awak sudah ada kerja lain?" tanyanya.

"Tidak," kata saya.

"Habis, awak nak buat apa?"

"Saya berserah kepada Allah."

"Takkan berserah saja?"

"Saya akan buat sesuatu yang mendatangkan hasil."

Lama dia merenung saya dan kemudian berkata: "Baiklah, jika demikian kehendak awak. Selepas dua tahun nanti, awak datanglah jumpa saya. Saya nak tahu awak sudah jadi apa masa itu!"

Demikianlah perbualan terakhir saya dengan Nazri. Sehingga kini saya tidak lagi berjumpa dengannya tetapi perkembangan dalam dunia media massa Malaysia selepas itu sungguh memeranjatkan.

Beberapa bulan kemudian Nazri sendiri meletakkan jawatan sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian. Demikian juga dengan Johan Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan Yunus Said sebagai Pengarah Operasi TV3.

Selepas peletakan jawatan mereka, Anwar Ibrahim juga diminta meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden Umno.

Selepas pemergian mereka, dunia persuratkhabaran /media tanah air menghadapi krisis kepercayaan yang begitu hebat sekali. Akhbar nasional dikritik hebat manakala petugasnya tidak terlepas daripada dilempar kata-kata keji.

Saya yang tidak lagi terbabit dalam dunia persuratkhabaran juga dilempar kata-kata nista seperti: "Oh, wartawan ya, bila awak nak hentikan kerja-kerja terkutuk tu? Bila awak nak henti memfitnah? Wartawan penipu!"

Saya terduduk, termenung jauh memikirkan perkara ini. Orang boleh mengutuk sebab mereka tidak tahu saya sudah meninggalkan dunia kewartawanan.

Pada hari terakhir saya di Balai Berita (NSTP), saya mengatur langkah perlahan-lahan. Sebaik sampai di persimpangan jalan dekat bangunan China Press (dekat persimpangan Jalan Riong-Bangsar), saya menoleh - melihat kembali institusi yang banyak mengajar saya erti penghidupan.

Suka-duka selama lebih 12 tahun di institusi itu, bagaikan baru semalam berlaku. Dunia 'glamor' dan janji masa depan yang cerah tidak dapat menyekat runtunan hati saya. Saya tidak mahu menjadi 'hamba akhbar' sepanjang hidup saya.

Lantas saya pun mengakhiri kerjaya dengan gaji lebih RM4,000 sebulan bagi mencari 'diri sendiri'. Selamat tinggal NSTP! Selamat tinggal dunia kewartawanan!, bisik hati saya.

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Friday, May 15, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 14: Penyebab

"Jika begitu, saya letak jawatan," tegas saya, membuatkan suasana bilik mesyuarat editorial Berita Harian pagi itu sunyi-sepi. Buat seketika rakan-rakan setugas memandang saya tanpa seorang pun mengeluarkan suara.

Peristiwa ini berlaku pada suatu hari Khamis pada bulan Januari 1998. Ketika itu juga umat Islam sedang berpuasa Ramadan dan akan menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi.

Seperti biasa setiap pagi Khamis, sidang pengarang Berita Harian akan mengadakan mesyuarat. Antara perkara yang dibincangkan pagi itu adalah berkenaan jadual bertugas kakitangan ketika sambutan Aidilfitri.

Sejak saya dilantik ke jawatan Pengarang Luar Negara, saya sudah beberapa kali menyuarakan kekurangan petugas di unit saya. Tetapi ia tidak diendahkan oleh pihak atasan. Maka, terpaksalah saya berpuas hati dengan lima orang petugas, termasuk saya.

Disebabkan kekurangan petugas, saya tidak pernah bercuti pada Hari Raya. Demikian juga dengan petugas lain. Yang mampu dibuat di unit kami ialah membahagikan petugas kepada dua kumpulan - satu kumpulan 'berehat' beberapa hari sebelum hari raya dan bertugas pada hari raya dan satu lagi 'berehat' pada hari raya dan beberapa hari selepas itu.

Perkara ini pun rumit dilakukan disebabkan petugas bekerja mengikut syif, ada yang masuk jam 11 pagi, 2 petang dan 4 petang. Kalau berlaku hal-hal kecemasan, bertambah rumitlah masalah yang dihadapi.

Selain itu ada kakitangan yang menghadapi masalah peribadi kronik yang menjejaskan operasi kerja. Apabila diadukan kepada pihak atasan, pihak berkenaan berkata:
"Kamu diamanahkan sebagai ketua. Jika kamu diberikan setandan pisang, pandai-pandailah kamu menggunakan pisang itu bagi memberi pulangan terbaik. Kalau ada pisang lembik, kamu buat cucur, dapat dapat pisang elok sikit, kamu boleh goreng atau buat bubur. Kalau ada pisang busuk, kamu pakailah akal kamu nak buat apa dengannya!"

Disebabkan masalah ini, saya suarakan dalam mesyuarat itu, meminta tambahan seorang lagi petugas, jika tidak boleh, dapat dipinjamkan seorang petugas dari unit lain, memadailah.

Tetapi apakah jawapan yang diberikan oleh seorang pengarang kanan? Beliau antara lain berkata: "Nak minta 'staf' itu nak buat apa? Supaya senanglah 'you' nak cuti Hari Raya!"

Hati saya benar-benar sakit mendengar jawapan itu. Permintaan untuk mendapatkan bantuan petugas lain bagi melicinkan operasi syarikat pada sambutan Hari Raya dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan faedah bagi diri sendiri.

Saya meminta bantuan itu kerana ikhlas mahu melihat kerja-kerja berjalan lancar sekalipun ketika sambutan Aidilfitri. Tetapi usaha 'mengemis' bantuan daripada unit lain itu tidak langsung dihargai, menyebabkan saya berfikir dalam dunia yang mementingkan diri sendiri ini, sukarlah seseorang itu mendapatkan bantuan rakan setugas. Jarang ada orang yang sudi membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.

Dalam mesyuarat itu, dengan nada kecewa saya berkata: "Jika demikian keadaannya, dengan tiadanya sikap untuk tolong-menolong sesama kita, saya ambil keputusan meletakkan jawatan!"

Saya tahu bahawa di dunia ini tiada ramai orang sudi menolong orang lain. Kebanyakannya mementingkan diri sendiri - asalkan haknya terjamin, ia sudah cukup. Orang lain, biarlah mereka dengan masalah masing-masing.

Saya terfikir jika di dunia masalah kita, kita tanggung sendiri, bagaimana pula di akhirat nanti? Tentulah semuanya kita tanggung sendiri.

Berdasarkan pengalaman, saya mula menilai pembabitan diri saya dalam dunia kewartawanan. Dalam suasana dunia kewartawanan (sekular?) ini, terasa betapa sukar untuk mengimbangi antara hasrat hati untuk menjadi seorang Muslim yang taat dan pada masa yang sama seorang wartawan berkaliber.

Pengorbanan seorang wartawan begitu besar tetapi apakah ia benar-benar memberi manfaat kepada seseorang itu di akhirat kelak? Siapakah yang akan menolong dirinya di akhirat kelak?

Kebanyakan wartawan hanya mengenal kerjayanya saja. Dari pagi sampai malam, dia bertungkus-lumus menyiapkan tugasannya. Lebih malang lagi, pada cuti hujung minggu dia mungkin bekerja sedangkan orang lain berseronok-seronok bersama keluarga.

Ramai orang berkata wartawan tidak ada masa untuk bermasyarakat. Wartawan sendiri mengakuinya. Kebanyakan daripada undangan ke majlis perkahwinan, kenduri dan gotong-royong tidak dihadirinya. Malah untuk ke masjid untuk solat berjemaah pun, mereka tidak berkesempatan disebabkan terlalu berat dan panjangnya waktu tugas.

Pada Hari Raya pun, mereka terpaksa mengorbankan waktu untuk tugas. Jika demikian bilakah mereka meluangkan masa untuk mengeratkan persaudaraan sesama anggota keluarga.

Wartawan yang sudah terlalu 'taksub' dengan kerja lebih teruk lagi. Mereka asyik bekerja saja sehingga meninggalkan solat waktu. Dunia wartawan terlalu sibuk sehingga tidak ada masa untuk menghadiri kelas pengajian agama di masjid, bermesra dengan jiran atau mengambil tahu masalah kawasan tempat tinggal mereka.

Anak-anak saya pula semakin membesar. Mereka perlukan perhatian. Saya diburu rasa berdosa kerana membiarkan anak-anak membesar tanpa perhatian sepenuhnya oleh seorang bapa kerana si bapa terlalu asyik dengan kerjaya sebagai wartawan.

Semua ini membuatkan saya berfikir bahawa tiada siapa yang akan menolong saya di akhirat kelak jika di dunia ini saya terlalu 'taksub' dengan kerjaya sebagai seorang wartawan dan mengabaikan tanggungjawab yang lain. Ertinya, saya hanya mencari kebinasaan diri.

Selepas berhari-hari berfikir, merenung sana, merenung sini, akhirnya saya tersenyum puas dengan langkah yang saya ambil. Berhenti sajalah dari dunia kewartawanan yang sungguh mencabar ini. Peristiwa dalam mesyuarat sidang pengarang Berita Harian itu menjadi penyebab saja untuk saya mengakhiri kerjaya saya dalam dunia kewartawanan!

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Thursday, May 14, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 13: Di Afrika Selatan

Kata orang, luas perjalanan banyak pengalaman. Ketika pilihan raya pelbagai kaum yang pertama diadakan di Afrika Selatan (April 1994) saya, Anuar Hashim (jurugambar NST), Ben De' Cunha (wartawan NST) dan Aziz Ishak (wartawan Utusan) mewakili media dari Malaysia membuat liputan secara langsung peristiwa bersejarah itu. Hanya kami berempat saja yang datang dari Malaysia.

Sekalipun pilihan raya itu antara peristiwa terpenting abad ke-20 (menamatkan dasar aparteid), tidak ramai wakil media Malaysia membuat liputan disebabkan gambaran media antarabangsa mengenai keganasan di Afrika Selatan. Malahan di dalam kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Johannesburg, seorang pegawai MAS menasihati kami agar berhati-hari di sana.

Keganasan sering dikaitkan dengan golongan kulit hitam tetapi apabila berada di sana barulah saya faham mengapa perkara ini terjadi. Sejak sekian lama golongan kulit hitam dianaktirikan di negara sendiri melalui sistem aparteid menyebabkan mereka ketinggalan daripada segala genap bidang penghidupan.

Pilihan raya pelbagai kaum Afrika Selatan itu juga menandakan kuasa 'kulit putih' yang menjajah negara itu akan berakhir tidak lama selepas itu. Parti Kebangsaan (NP) pimpinan Presiden F W de Klerk dilihat sebagai pasti akan tersungkur di tangan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinan Nelson Mandela. Tokoh ini menjalani hukuman penjara selama berpuluh-puluh tahun termasuk di Pulau Robbins semasa era aparteid.

Media massa Barat sering memaparkan keganasan berlaku antara penyokong ANC dan Parti Pembebasan Inkatha (IFP) pimpin Mogosuthu Buthelezi - ertinya sesama kulit hitam. Demikian juga serangan orang kulit hitam ke atas orang kulit putih.

Ternyata sesetengah media Barat terlalu berat sebelah dalam laporan mereka. Sama seperti sesetengah 'orang kulit putih', pihak berkenaan tidak ingin melihat sebuah lagi negara Afrika kembali ke pangkuan peribuminya.

Untuk melihat sendiri penghidupan golongan kulit hitam, kami berkunjung ke Soweto, sebuah perbandaran kulit hitam terbesar Afrika Selatan dengan 1.5 juta penduduk. Di sinilah kerap dilaporkan berlaku keganasan, termasuklah kejadian yang menyebabkan seorang wartawan asing terbunuh.

Untuk ke sana, kami mengupah seorang pemuda ANC yang lengkap dengan senapang. Gayanya begitu kasar dan apabila melalui kawasan setinggan, dia menjerit kepada kami dalam bahasa Inggeris: "Kamu lihatlah sendiri betapa dahsyatnya penghidupan orang kami."

Benar, seperti katanya, setinggan-setinggan di kawasan itu hidup dalam rumah yang kelihatan seperti kotak. Penempatan setinggan itu sungguh besar - saujana mata memandang. Di bahagian belakang rumah kotak itu tersedia 'rumah kotak' yang lebih kecil. Itulah tandas penempatan setinggan itu. Di dindingnya tertampal gambar logo ANC dan Mandela.

Jalan melalui kawasan setinggan itu berlopak-lopak digenangi air dari pili awam dan air najis. Baunya cukup menyesakkan hidung.

Kami kemudiannya singgah di salah sebuah perkampungan setinggan. Sebaik saja turun dari kereta, 'orang kampung' menggerumumi kami dan bertanya apa yang kami mahu. Nada percakapan mereka kasar saja. Jurupandu menerangkan bahawa kami adalah wartawan yang mahu membuat tinjauan penghidupan mereka.

Kanak-kanak (ada yang berpakaian koyak-rabak dan ada yang tidak berpakaian) menggerumuni kami. Saya dan Anuar membeli gula-gula yang dijual di pangkin-pangkin kecil di tepi jalan dan kemudian membahagikannya kepada kanak-kanak itu.

Seorang dewasa datang dan meminta kanak-kanak itu beratur. Saya pun membahagikan gula-gula itu kepada mereka yang membentuk barisan panjang manakala Anuar sibuk mengambil gambar.

Timbul pula rasa bangga diri di hati saya. Ketika saat itu saya rasakan diri saya sebagai seorang pemimpin besar atau orang kaya yang mengagih-agihkan bantuan makanan kepada orang miskin.

Perasaan riak itu cepat-cepat saya buang daripada diri saya dengan mengingatkan penderitaan kanak-kanak ini tidak banyak berbeza daripada yang saya lalui masa kanak-kanak dulu. Pada tahun-tahun 50-an dan 60-an dulu, ramai budak kampung tidak berbaju - mereka 'berlengin' saja, menghabiskan masa di sungai atau di bendang.

Kunjungan ke penempatan setinggan kulit hitam ini menginsafkan. Kemiskinan dan kesengsaraan melahirkan manusia yang kasar sifatnya dan sewajarnya golongan ini mendapat pembelaan dengan penghapusan dasar aparteid dan kelahiran sebuah negara Afrika Selatan yang baru.

Selain kunjungan ke kawasan setinggan, kami juga berpeluang menghadiri salah sebuah rapat umum ANC yang terbesar menjelang pilihan raya. Ia diadakan di Stadium First National Bank (FNB) di Soweto. Perhimpunan ini dihadiri oleh kira-kira 100,000 penyokong ANC.

Kami menyertai ribuan penyokong memasuki stadium ini pada sebelah pagi - menunggu ketibaan Mandela pada waktu petang. Suasana dalam stadium begitu gamat.

Laungan 'Viva ANC', 'Viva Mandela' memekakkan telinga. Orang kulit hitam Afrika Selatan kelihatan begitu bersemangat, daripada wajah mereka terbayang masa depan gemilang di bawah kerajaan baru.

Terhimpit di celah ribuan orang ramai itu adalah saya - seorang wartawan kerdil dari Malaysia, negara yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya. Saya membayangkan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Ketika itu saya belum lahir lagi. Saya mencongak tentulah suasana meriah itu sama seperti yang berlaku di Stadium FNB itu.

Sebagai seorang Muslim, di tengah-tengah kesibukan dalam stadium itu saya menghadapi dilema lagi. Dilema untuk solat. Saya berfikir bagaimana untuk solat di tengah-tengah ribuan orang ramai itu. Hati saya tidak tenang selagi tidak solat.

Akhirnya saya nekad. Saya mengambil wuduk di salah sebuah tandas stadium dan kemudian menuju ke sebuah sudut galeri penonton, membentang helaian akhbar dan solat di situ. Saya memejamkan mata cuba khusyuk tetapi saya tahu ribuan mata bertumpu ke arah saya. Mungkin sebahagian besar daripada mereka tidak pernah tengok orang Islam solat.

Seperti diketahui umum, ANC memenangi pilihan raya itu dengan lebih 60 peratus undi, sekali gus membolehkan Mandela menjadi presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan.
Terlanjur berada di Afrika Selatan, saya begitu berminat untuk mengetahui keadaan masyarakat Islam di sana.

Secara kebetulan saya dan Anuar berkenalan dengan seorang pemandu kereta sewa beragama Islam. Selepas mengetahui kami beragama Islam, beliau berusaha bersungguh-sungguh mahu menunjukkan kepada kami penghidupan orang Islam di sana.

Beliau membawa kami berjumpa dengan keluarganya di Bosmont yang terletak di pinggir Johannesburg. Di sana terdapat ramai keluarga Islam. Kami berhenti di sebuah masjid, dan di situ kami melihat kanak-kanak mengikuti kelas pengajian Islam. Yang perempuan bertudung manakala lelaki berkopiah - satu pemandangan yang seakan-akan sama seperti sebuah sekolah agama rakyat di Malaysia.

Keluarga pemandu itu menyambut kami dengan baik sekali, menyediakan makanan dan minuman. Bapa mentua pemandu itu memeluk kami dan berkata beliau bangga berjumpa saudara seagama yang datang dari jauh. Beliau dengan bangga menceritakan asal-usul keturunannya dari Makassar, Indonesia. Sebagai tanda gembira dengan pertemuan itu, saya menghadiahkannya beberapa naskhah surah Yassin.

Selepas makan dan berehat, pemandu itu membawa kami berjumpa dengan seorang pemimpin Islam Afrika Selatan pada waktu tengah malam.

Pemimpin itu yang sedang tidur berjaya dikejutkannya dan pada 'malam-malam buta' itu kami mewancaranya mengenai masa depan umat Islam Afrika Selatan. Katanya, umat Islam sebagai golongan minoriti begitu teguh ikatan persaudaraannya.

Buktinya, kata beliau, golongan kayanya mampu menyediakan satu dana besar bagi menyediakan sebuah kapal yang diisi dengan pelbagai barangan keperluan harian untuk disampaikan kepada umat Islam Bosnia.

Ketika itu perang Bosnia berada di kemuncaknya. Orang Islam disembelih oleh pengganas Serb manakala beribu-ribu lagi menjadi pelarian termasuk di Afrika Selatan dan juga Malaysia.

Di Bosmont juga kami berkenalan dengan seorang ahli perniagaan Islam yang mengundang kami ke rumahnya. Dengan kereta Mercedes mewahnya kami dibawa untuk melihat sendiri sebuah sekolah (madrasah) Darul Ulum yang bina hasil permuafatakan umat Islam Afrika Selatan.

Pelajar sekolah agama ini berasal dari serata negara selatan Afrika seperti Mozambique, Namibia, Zaire dan sebagainya. Semua pemimpin Islam yang kami temui menyatakan harapan mereka untuk melihat umat Islam menjalani penghidupan lebih bermakna di negara Afrika Selatan yang baru.

Rasa persaudaraan yang ditunjukkan oleh umat Islam Afrika Selatan serta usaha mereka untuk membela saudara seagama, memberi kesan mendalam di hati saya. Pada ketika ditekan hebat oleh rejim aparteid, mereka masih boleh mengamalkan ajaran Islam malah berusaha untuk membantu saudara seagama yang kurang mampu. Saya mula menyoal diri sendiri - apa pula yang telah saya lakukan untuk Islam di negara sendiri?

Secara diam-diam saya mengakui saya mementingkan diri sendiri saja. Selama hampir 10 tahun saya 'duduk terkongkong' dalam dunia kewartawanan. Saya tidak ambil pusing 'perkara lain' dalam dunia ini selain daripada kerjaya dan keluarga.

Manusia semakin lama semakin tua dan adalah sesuatu yang amat menyedihkan jika seseorang itu hanya mengenali kerjayanya saja - daripada dia muda sampai dia mati. Mungkin pendapat ini salah, tetapi adalah penting untuk seseorang itu tidak menghabiskan usianya begitu saja tanpa dia mengerti untuk apa dia berada di muka bumi ini.

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Tuesday, May 12, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 12: Jalan Keluar

Kejahilan menyebabkan saya berpandangan adalah sukar untuk mengimbangi antara melakukan ibadat harian dan memenuhi tuntutan dunia kewartawanan.

Antara persoalan yang berlegar-legar di kepala - yang mana satu perlu diutamakan, sebagai contoh antara menghadiri sidang akhbar pada waktu maghrib atau pun solat maghrib. Jika gagal membuat laporan berdasarkan sidang akhbar itu, sudah tentu akan dimaki hamun oleh pengarang tetapi jika tidak solat, akibatnya lebih buruk lagi...kita tidak menunaikan amanah yang diwajibkan oleh Allah SWT.

Persoalan-persoalan apakah hukumnya jika kita sebagai pemberita, penyunting dan pengarang menyiarkan berita, rencana dan gambar yang tidak bersesuaian dengan akhlak agama sentiasa bermain-main di benak saya.

Ketika persoalan seperti ini belum mendapat jawapan, saya diuji dengan kenaikan pangkat yang tidak dijangka. Saya dilantik sebagai Pengarang Luar Negara dalam usia muda - 32 tahun.

Disebabkan pemikiran saya terlalu kusut, saya pun berjumpa dengan pegawai agama NSTP, Ustaz Ahmad Abdul Majid. Saya menceritakan masalah yang saya hadapi. Beliau dengan senang hati menasihati saya supaya menerima jawatan itu dan 'melakukan tugas sebaik mungkin' berdasarkan kehendak agama.

Katanya, Allah sudah memilih awak, dan tidak ada sebab untuk awak menolaknya. Kalau awak tolak tawaran, apa kata kalau jawatan itu diberi kepada seorang yang buruk akhlaknya. Dia akan menggunakan jawatan itu menyiarkan apa saja mengikut nafsunya.

Dia akan menyiarkan berita, gambar dan sebagainya yang bertentangan dengan kehendak Islam. Tidakkah awak rasa berdosa disebabkan itu?, katanya.

Saya memikirkan apa yang diperkatakan ustaz itu. Memang benar, pangkat dan kuasa akan membuatkan seseorang itu lupa daratan, apatah lagi jika ia jatuh ke tangan orang yang sentiasa menurutkan hawa nafsunya.

Berdasarkan garis panduan itu, saya dan rakan-rakan setugas pun memulakan tanggungjawab dengan azam untuk tidak menyiarkan laporan dan gambar yang tidak sesuai dengan kehendak agama.

Sekalipun kebanyakan laporan luar negara yang kami terima, melalui agensi berita antarabangsa seperti Reuters, AFP dan AP yang pro-Barat yang anti-Islam, kami berusaha menyesesuaikannya dengan keperluan masyarakat Islam.

Berita-berita mengenai kezaliman ke atas umat Islam (seperti tragedi Bosnia, Palestin, Kashmir dan Asia Tengah) sengaja kami 'highlight' tetapi yang menghina dan boleh membuatkan umat Islam rasa terhina seperti kelakukan biadap orang Arab ke atas orang gaji Filipina dan Indonesia, seboleh-bolehnya, 'kami bakul sampahkan'.

Sepanjang saya bertugas, saya tidak pedulikan langsung dengan laporan dan gambar 'Miss World' atau 'Miss Universe'. Bagi saya selain bertentangan dengan kehendak agama, ia tidak memberi apa-apa kebaikan kepada pembangunan insan apatah lagi sesetengah kumpulan wanita di negara ini sendiri menentang pertandingan itu dengan menganggapnya 'pertunjukan lembu'.

Disebabkan komitmen saya itu, ada pihak yang perasaan dan mula melontarkan kata-kata kurang sedap didengar seperti: "Ini akhbar nasionallah, bukan akhbar Islam!"
Saya hanya diamkan diri, mencongak-congak berapa lama saya boleh tahan dengan tekanan seperti itu.

Suatu hari berlaku satu pengalaman yang saya fikir Allah mahu menunjukkan jalan keluar kepada saya. Pengalaman itu adalah berdasarkan laporan satu kejadian (letupan bom) yang berlaku di Amerika Syarikat - kalau tidak silap saya, letupan bom di Oklohama.

Berdasarkan laporan agensi berita asing, pihak berkuasa di sana tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh sebuah kumpulan yang mereka panggil 'pelampau Islam'. Ini tidak menghairankan kerana dalam banyak kes keganasan di dunia Barat, tuduhan segera dibuat kepada 'pelampau Islam'.

Disebabkan tuduhan sudah dibuat kepada 'pelampau Islam', saya tidaklah berhajat untuk menyiarkan berita itu secara besar-besaran. Saya fikir cukuplah untuk disiarkan sepintas lalu saja, sebagai berita di halaman luar negara. Buat apa kita hebahkan kononnya orang Islam itu 'gemar sangat mengganas'.

Malangnya, hajat saya itu tidak kesampaian. Rupa-rupanya pengarang atasan sudah menghidu berita itu, lantas memanggil saya ke biliknya.

"Mana berita itu?" tanyanya.

Saya katakan kepadanya saya akan menyiarkan berita itu di muka dalam saja. Ia tidaklah begitu penting untuk disiarkan di muka hadapan.

Pengarang berkenaan merenung saya. Kemudian dia katakan dia tetap mahukan berita itu untuk disiarkan di muka satu. Siap dengan gambarnya sekali.

Saya ulangi bahawa berita itu tidak berapa penting. Lebih-lebih pihak berkuasa di sana seolah-olah sudah 'menghulurkan telunjuk' kepada 'pelampau Islam' sedangkan siasatan masih diteruskan.

"Itulah yang kita mahu!" kata pengarang itu, membuatkan saya terkejut besar. "Kita mahu siarkan berita itu bagi menunjukkan sikap yang melampau kepada agama, akan membawa kepada kejadian seperti ini. Golongan pelampau ini mesti ditolak," katanya merujuk kepada perkembangan yang berlaku dalam negara.

Segera terbayang di fikirkan saya, kemungkinan pihak yang dikatakan sebagai pelampau itu. Mungkinkah pihak itu Al-Arqam, PAS dan seumpamanya. Saya tidak tahu, tetapi hakikatnya ketika itu negara masih hangat dengan isu Al-Arqam dan pilihan raya yang bakal diadakan (1995).

Pengalaman itu benar-benar meninggalkan kesan di hati saya. Kepercayaan saya kepada media mulai goyah.

Jika selama ini saya percaya, media adalah suara hati rakyat dan akan sentiasa membela kebenaran, tetapi mulai saat itu saya mula sedar bahawa media boleh dijadikan saluran untuk mempengaruhi pembaca supaya percaya kepada perkara karut dan tidak benar sama sekali!

Jika demikian keadaannya dalam industri media kita, apakah pilihan yang ada bagi insan kecil seperti saya selain daripada meninggalkan bidang ini?

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Monday, May 11, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 11: Mencari Sinar

Menyedari ilmu agama saya yang amat cetek, saya pun menemui seorang imam di NST. Saya mencurahkan rasa hati kepadanya. Beliau bersimpati dengan saya yang tidak kenal huruf al-Quran. Saya beritahunya, masa kanak-kanak dulu, saya belajar surah-surah pendek (Muqaddam) secara menghafaznya dan bukan mengenal huruf terlebih dulu.

Sebagai kanak-kanak memanglah mudah saya menghafaz surah-surah pendek itu tetapi apabila sampai ke Surah Al-Baqarah, tidaklah mudah saya berbuat demikian. Masalah bertambah rumit apabila saya memasuki Tingkatan Satu di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak.

Di sekolah elit ini, tiada siapa peduli sama ada seseorang pelajar itu boleh membaca al-Quran atau tidak. Yang dipentingkan ialah kejayaan akademik dan pencapaian cemerlang dalam bidang-bidang seperti sukan dan kegiatan luar.

Imam itu berkata kes saya bukan sesuatu yang luar biasa. Sebelum itu, ada beberapa 'orang tua' menemuinya, mengutarakan perkara yang sama.

"Awak tahu tak Haji...Dulu dia pun buta huruf. Sekarang dia dah boleh." Saya tahu orang yang dimaksudkan. Saya selalu lihat dia di surau, memanfaat masa rehat untuk membaca al-Quran.

Imam itu sedia membimbing saya. Beliau menyuruh saya mencari masa lapang yang sesuai bagi dirinya dan saya untuk membolehkan dia mengajar saya.

Bagaimanapun disebabkan 'terlalu sibuk' dengan tugas sebagai wartawan, saya gagal 'memperuntukkan' masa tersebut. Tidak lama kemudian imam itu bersara daripada NSTP, sekali gus melenyapkan peluang saya untuk berguru kepadanya.

Saya kemudiannya cuba 'berguru' dengan Ustaz Hassan Azhari melalui rancangan 'Muqaddam' yang disiarkan di televisyen pada hampir setiap petang. Saya usahakan untuk mengikutinya saban petang tetapi selepas tiga bulan, saya dapati saya tidak tahu apa yang saya ikuti (pelajari).

Kemudian saya mengikuti kelas pengajian al-Quran di NSTP. Kelas ini bermula dengan meminta setiap pelajar membaca surah Al-Fatehah. Ustaz yang membimbing, menegur kerana terlalu banyak kesilapan yang saya buat.

Disebabkan majoriti pelajar mahukan uztaz berkenaan mengajar tajwid, saya dapati kelas itu tidak dapat membantu saya. Akhirnya saya pun tidak datang lagi.

Saya sedar masalah saya semakin lama semakin serius. Ini kerana umur kita semakin lama semakin meningkat dan di luar sana, tidak banyak pihak yang sedia untuk mengajar 'orang tua' membaca al-Quran dengan bermula dengan mengenal huruf alif, ba, ta dan sebagainya.

Di kebanyakan masjid dan surau yang diajar ialah tajwid, tafsir dan kaedah memperelokkan bacaan. Ini sudah tentu tidak sesuai dengan orang seperti saya.

Semakin lama, semakin tertekan perasaan saya. Masakan tidak. Di dunia lagi saya telah rasakan bahang tidak tahu membaca al-Quran ini, apatah lagi di akhirat nanti. Sebagai contoh, ketika menghadiri majlis bacaan Yaasin, saya pun mengambil sama 'buku kecil' itu tetapi disebabkan buta huruf, saya macam 'berlakon' saja. Mulut kumat-kamit, mengikut saja apa yang orang lain sebut.

Saya pun tertanya-tanya pada diri sendiri, sampai bila saya mahu berkeadaan bergitu. Dalam kubur nanti, bolehkah saya berkumat-kamit seperti itu saja.

Saya rasa sedih sekali dengan diri sendiri. Saya menyimpan keazaman besar - suatu hari aku mesti boleh membaca al-Quran. Jika orang lain boleh, mengapa saya tidak boleh.

Kisah-kisah saudara baru menginsafkan saya. Jika mereka yang baru memeluk Islam (ada yang sudah tua), akhirnya boleh membaca al-Quran, mengapa saya tidak boleh. Jika golongan mualaf ini boleh tekun belajar di Perkim untuk mengenal alif, ba, ta dan seterusnya mengapa saya tidak boleh.

Akhirnya saya mengikuti kelas pengajian al-Quran di NSTP sekali lagi. Kali ini ustaz yang mengajar menggunakan kaedah Iqra' yang bermula daripada mengenal huruf. Saya begitu bersemangat mengikutinya.

Kelas itu diadakan pada setiap hari kerja, jam 5.00 petang. Malangnya, pada masa itu mesyuarat harian editorial diadakan menyebabkan saya sering ketinggalan mengikutinya. Mula-mula sekali dua saya tidak datang, akhirnya saya tidak datang terus, menyebabkan usaha saya sekali lagi menemui jalan buntu.

Saya hampir berputus asa tetapi melalui pembacaan kisah-kisah saudara baru dari seluruh pelosok dunia mengembalikan semangat saya. Macam mana tokoh-tokoh seperti Muhammad Asad (penulis buku 'The Road To Mecca' dari Austria), Yusuf Islam (penyanyi Cat Stevens), Ali Selman Benoist (Perancis) dan ramai lagi yang menemui jalan tauhid, menyedarkan saya bahawa mereka bermula daripada 'sifar' sedangkan saya sudah 'ditanam' kefahaman Islam sejak bayi lagi.

Saya terkenangkan firman Allah SWT melalui Surah Al-Ra'd, ayat 11 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaannya sendiri."

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Friday, May 8, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 10: Perjalanan Kerohanian

Apabila kapal terbang Aeroflot yang kami sewa berlepas dari Moscow menuju ibu kota Kazakhstan, Alma Ata, saya fikir sudah hilanglah sebahagian 'pantang-larang' ketika di Russia - seperti soal makanan.

Di Moscow, saya langsung tidak menjamah makanan daging yang dihidangkan sama ada di hotel atau di luar kecuali di Kedutaan Malaysia. Saya yakin makanan demikian tidak halal dan terpaksalah makan roti dan sayur-sayuran saja. Tetapi saya perhatikan sebahagian besar rombongan Malaysia tidak mempedulikan hal itu. Mereka 'membelasah' saja apa yang dihidangkan.

Bercerita mengenai soal makanan ini, saya teringatkan gelagat seorang wartawan kanan Malaysia ketika berada di Bangkok. Ketika menikmati makanan, beliau memberitahu saya dan beberapa wartawan lain yang membuat liputan sebuah sidang kemuncak di ibu kota Thai itu bahawa "kita berada dalam keadaan darurat, oleh itu usahlah bersusah payah memikirkan masalah itu."

Beliau kemudian memesan 'mi siam sup berdaging lembu' dan apabila makanan itu datang, beliau berkata: "Aku sembelih lembu ini." Tangannya menggayakan sudu dan garpu, seolah-olah bagai pisau penyembelih.

Dengan lafaz, Bismillah...beliau kemudian menikmati hidangan itu!

Di Alma Ata, saya fikir bolehlah saya menikmati makanan berdaging halal kerana saya difahamkan separuh daripada penduduknya beragama Islam. Tetapi apabila saja 'menjadi penghuni' Hotel Kazakhstan, fikiran apabila berubah apabila berdepan dengan petugas hotel yang mengaku beragama Islam tetapi tidak tahu bahawa daging babi haram untuk dimakan. Petugas berkenaan menunjukkan daging babi dalam tin yang juga menjadi makanan mereka. Pekerja itu juga tidak tahu arah kiblat apabila saya bertanya apabila mahu solat.

Berdasarkan tinjauan, saya membuat andaian mereka hanya Islam dari segi nama tetapi tidak dari segi amalan. Ada seorang lelaki memberitahu tidak perlu solat kerana ia mengganggu tugas harian dan tidak selaras dengan masyarakat moden.

Bagi menguji andaian itu, saya dan rakan-rakan berkunjung sebuah masjid yang terletak di tengah-tengah bandar raya Alma Ata. Khabarnya masjid itu dibuka semula sebaik saja Kazakhstan mengisytiharkan kemerdekaannya tetapi masih dipimpin oleh seorang presiden bekas komunis, Nursultan Nazarbayev.

Sejumlah pengemis menyambut kami di depan masjid. Mereka merayu-rayu dan terus-menerus mengejar kami sehingga ke tangga masjid. Ketika kunjungan itu, waktu solat paling hampir (zohor) belum masuk. Di beranda masjid, kelihatan ramai warga tua duduk-duduk sambil bersembang.

Tidak kelihatan orang sedang solat, berzikir atau membaca al-Quran. Saya fikir inilah wajah sebenar penduduk Islam Kazakhstan. Golongan tua ini mungkin kembali ke masjid - mengenangkan waktu-waktu lampau - ketika mereka beribadat dalam masjid itu.

Tetapi kezaliman pemerintah yang tidak membenarkan mereka melakukan ibadat secara terbuka, mungkin menyebabkan mereka terlupa amalan tersebut. Mereka hanya mampu berkumpul beramai-ramai tetapi tidak tahu beribadat.

Apabila mengetahui kami beragama Islam, golongan tua ini menyambut kami dengan ramah sekali. Kami berjabat dengan begitu erat sekali tetapi disebabkan halangan bahasa, tidaklah dapat kami mencungkil rahsia mengapa mereka berkumpul beramai-ramai di masjid itu.

Berdasarkan keterangan pegawai Kazakhstan yang tahu bahasa Inggeris kemudiannya, kami difahamkan umat Islam Kazakhstan sebenarnya hauskan ilmu Islam dan berharap mubaligh Islam dari bahagian dunia lain dapat membantu mereka.

Selepas beberapa hari berada di Kazakhstan, kami berangkat pula ke Bishkek, ibu kota Republik Krygyzstan. Keadaan di Bishkek adalah sama seperti di Alma Ata. Penduduk Islamnya seolah-olah baru sedar daripada tidur yang cukup lama dan kini kebingungan mengenai masa depan mereka. Pemimpin mereka mendepangkan tangan menyambut kedatangan kami. Apabila mengetahui kami beragama Islam, semakin hebat sambutan diberikan.

Seorang pemimpinnya bercerita mengenai Anwar Ibrahim yang katanya dikenali di kalangan pemimpin pemuda Islam antarabangsa.

Dari Bishkek, kami meneruskan perjalanan dengan pesawat Aeroflot ke Tashkent, ibu kota Republik Uzbekistan. Tashket sebuah kota besar, malah bandar raya yang terbesar di Asia Tengah. Di sinilah terletaknya pusat ketamadunan Asia Tengah era Soviet Union.

Kota ini bagaikan sebuah replika Moscow dalam bentuk lebih kecil. Sama seperti di Moscow, penduduknya tidak ada masa untuk orang asing. Mereka terkejar-kejar, seolah-olah memburu sesuatu dan 'amat kedekut' dengan senyuman.

Selepas, Tashkent, kami mengunjungi pula kota Bukhara dan Samarkand. Di sinilah 'perjalanan kerohanian' saya bermula.

Ketika menziarahi makam Khussam ibn Abbas di Samarkand, terbayanglah di kotak fikiran saya mengenai pengorbanan sepupu Rasulullah s.a.w. ini. Dari Tanah Arab, Khussam menggembara beribu-ribu kilometer meninggalkan tanah air untuk menyampaikan seruan Islam di Khurasan (kini Uzbekistan).

Beliau bukan menaiki kapal terbang seperti kebiasaan kita hari ini, tetapi menggunakan kudrat binatang seperti kuda dan unta. Jika kita yang menaiki pesawat pun kadang-kadang tidak tahan dengan cabaran menggembara, bayangkanlah dugaan yang dihadapi oleh Khussam. Sepupu Rasulullah s.a.w. akhirnya syahid dan dimakamkan di bumi Khurasan.

Bukhara dan Samarkand adalah gambaran kebesaran Islam zaman Islam. Nama-nama masyhur dalam dunia Islam seperti Ibnu Sina, Abu Nawas, Imam Bukhari dan Muslim adalah sinonim dengan rantau ini. Penakluk agung seperti Timurlane yang mempunyai empayar yang terbentang luas dari pinggir Eropah ke China juga memusatkan pemerintahannya di Samarkand.

Menyelami pengorbanan Khussam dan Saad ibn Waqqas (seorang sahabat Rasulullah) yang pergi lebih jauh lagi (negara China) untuk menyampaikan seruan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., membuatkan saya insaf. Bagaimana Khussam dan Saad melakukannya?

Di sini saya lihat buminya berpadang pasir manakala gunung-ganangnya diselimuti salji. Apabila angin bertiup, ia begitu kencang menyebabkan tubuh dicengkam kesejukan sehingga tulang. Bagaimana mereka merentasi halangan ini?

Saya mula melihat diri sendiri. Memeriksa apa yang sudah dilakukan sepanjang hidup saya. Jasa tiada. Ilmu dan amal pun kurang. Kalau ilmu kurang macam mana mahu tolong orang lain. Untuk diri sendiri pun, tidak lepas, macam mana mahu bantu orang lain?

Segala macam persoalan timbul di benak. Ringkasnya, saya benar-benar insaf selepas muhasabah diri.

Akhirnya, ketika mengunjungi makam Khussam dan Imam Bukhari, perasaan sedih begitu mencengkam diri. Siapakah diri ini jika mahu dibandingkan dengan tuan yang mulia, wahai Bukhari, wahai Khussam, demikian rintih hati saya.

Saya benar-benar terharu, apatah lagi ketika mendengar bacaan ayat-ayat suci di Makam Imam Bukhari. Oh, alangkah malangnya nasib aku yang buta huruf al-Quran sedangkan hamba-hamba Allah di bumi Soviet Union ini masih ada yang baik bacaan mereka sedangkan selama beratus-ratus tahun ditekan penjajah, termasuk selama 70 tahun oleh komunis. Ya, Allah, Kau lapangkan dadaku untuk mempelajari kitab-Mu!

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Thursday, May 7, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 9: Russia Yang Kukenali

Di Hotel Metropole, Moscow, barulah saya berjumpa dengan dua wartawan Malaysia yang ditugaskan membuat liputan kunjungan Menteri Luar itu. Mereka ialah Suhaimi Mokhtar dari Utusan Malaysia dan Juhaidi Yean Abdullah dari New Straits Times.

Pada waktu itu (Mei 1992), 'angin demokrasi' sedang hebat melanda negara bekas komunis itu. Penganalisis Barat mengaitkannya dengan rancangan pembaharuan (perestroika dan glasnost) yang diperkenalkan oleh Presiden Soviet Union yang terakhir, Mikhail Gorbachev.

Pembaharuan inilah yang akhirnya menyebabkan Gorbachev sendiri tersingkir sebagai presiden dan membuka laluan kepada kewujudan 15 negara baru termasuk Russia yang dipimpin Presiden Boris Yeltsin.

Republik yang mengisytiharkan kemerdekaan ialah Lithuania, Latvia, Estonia, Belarus, Ukraine, Georgia, Armenia, Moldova, Azerbaijan, Turkmenistan, Kazakhstan, Tajikistan, Krygystan dan Uzbekistan.

Pada awal perubahan ini, Russia membuka seluas-luasnya 'pintu'nya kepada dunia Barat. Itulah antara sebabnya menteri dan wartawan dari Malaysia juga dibenarkan untuk masuk seterusnya menyaksikan sendiri pembaharuan yang berlaku di negara itu.

Hampir saban hari, kami menyaksikan tunjuk perasaan antikomunis dan pro-komunis di Medan Medan (Red Square) yang terletak berhampiran Kremlin.

Ketika itu, di satu bahagian Red Square diletakkan obor api yang berterusan menyala sebagai simbol semangat perjuangan rakyat yang mahukan pembaharuan di Russia.

Menurut penduduk, obor api itu juga sebagai menandakan penghormatan kepada beberapa penduduk awam yang terbunuh ketika Russia melalui perubahan kuasa daripada komunis membawa kepada pemerintahan Boris Yeltsin. Dalam susana kacar-bilau di Kremlin, Yeltsin menggunakan kesempatan untuk menonjolkan diri sebagai 'pejuang rakyat'.

Beliau berdiri megah di atas sebuah kereta kebal, menyeru rakyat menghentikan keganasan sebalik membina masa depan baru bagi Russia.

Rakyat menyambut baik angin pembaharuan yang melanda Russia, tetapi mereka terpaksa menyesesuaikan diri dengan suasana penghidupan baru. Bayangkanlah bagaimana mereka mahu hidup dalam 'kepompong' baru sedangkan dulunya mereka berada dalam 'kepompong kuku besi'.

Rakyat Russia, khususnya penduduk Moscow kelihatan canggung dengan perubahan itu. Secara tiba-tiba penghidupan 'ala-Amerika' menjadi model mereka. Hampir seluruh penghidupan daripada ekonomi kepada sosial berubah kepada sistem Amerika.

Ekonomi pasaran bebas diperkenalkan manakala hiburan ala-Amerika mendapat tempat di hati rakyat - terutama di kalangan orang kaya dan berkemampuan.

Dolar Amerika bagaikan raja dan menjadi buruan - daripada pengemis sehinggalah ahli perniagaan.

Ekonomi pasaran bebas menyebabkan rakyat mahu memperdagangkan apa saja barangan yang mereka miliki. Di tepi-tepi jalan Red Square ada rakyat yang menjaja satu-satunya botol madu yang dimilikinya, ada yang mempamerkan beberapa kotak rokok jenama Amerika, ada yang menjual satu-dua patung troika dan tidak kurang yang menunjukkan sehelai-dua baju atau sekuntum-dua bunga.

Mereka menunjukkan barangan kepada pengunjung 'berwajah asing' dan mendesak dibayar dalam dolar Amerika. Di luar Red Square, pengemis berkeliaran, menadah tangan, merayu dan terus merayu sehingga anda menghulurkan sesuatu. Sebaik saja melihat kebaikan anda, entah dari mana, ramai lagi pengemis akan mengerumuni anda, meminta dicampakkan sesuatu.

Pada waktu malam pula, di luar hotel, gadis Russia tanpa berselindung menawarkan diri untuk ditiduri pengunjung asing. Tak mahal, kata mereka, hanya AS$100 untuk perkhidmatan sepanjang malam.

Rancangan televisyen dipenuhi program dari Amerika. Filem-filem Amerika mendapat sambutan hangat. Dunia Hollywood menjadi pujaan. Ada slogan berbunyi: "Dibawakan khas untuk anda, dari Hollywood terus ke Moscow."

Pertunjukan di kelab malam dan hotel juga dipenuhi dengan hiburan ala-Amerika manakala pengunjung tidak lekang dengan botol arak. Artisnya menyanyikan lagu-lagu Amerika, seolah-olah Amerikalah pusat dunia, membuatkan seseorang pengunjung itu kadang-kadang terlupa dia kini berada di 'ibu kota dunia komunis'.

Lagu seperti 'Welcome to the Hotel California' nyanyian kumpulan Eagles dari Amerika menjadi kegilaan. Lagu ini dinyanyikan berulang-ulang menyebabkan ada pengunjung menjadi bosan.

Salah satu perkara yang dikatakan mesti dilakukan pengunjung ke kota Moscow ialah menyaksikan sendiri mayat Vladimir Lenin, pengasas Soviet Union. Untuk tujuan itu, tiket perlu dibeli dan kemudian beratur dalam barisan panjang untuk memasuki bangunan berkenaan yang terletak di Red Square.

Barisan itu mungkin sepanjang satu kilometer pada hari minggu. Pengunjung tidak boleh bercakap-cakap sebaliknya bergerak perlahan-lahan dengan diawasi askar yang berdiri tegak tanpa menunjukkan sebarang emosi. Semakin dekat bangunan itu, semakin banyak askar mengawal suasana.

Di dalam bangunan yang menempatkan Lenin, pengunjung melepasi kotak kaca yang menempatkan pemimpin itu. Hanya wajahnya kelihatan. Kolar bajunya lengkap dengan tali leher. Ada pengunjung yang memberi tabik hormat manakala kebanyakannya melepasinya saja.

Bagi saya, terasa kelegaan sebaik saja keluar dari bangunan itu. Terasa hembusan angin segar musim bunga Moscow sedangkan ketika di dalamnya terasa seperti dalam kurungan atau penjara! Lenin kini terpenjara dalam kotak kacanya - nasib diktator ini lebih buruk daripada jutaan rakyat yang dipenjarakannya dalam sebuah negara bernama Soviet Union!

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Tuesday, May 5, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 8: Tugasan Di Luar Negara

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 8: Tugasan Di Luar Negara

Pada penghujung 1991, Kesatuan Sosialis Republik Soviet (USSR) atau lebih dikenali Soviet Union dibubarkan. Berikutan perpecahan itu lahirlah 15 negara atau republik baru dengan Russia menjadi negara terkuat dan sebagai pewaris Soviet Union.

Enam daripada 15 republik ini menarik perhatian masyarakat Islam Malaysia. Ini kerana negara-negara yang terletak di Asia Tengah ini - Kazakhstan, Krygyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Tajikistan dan Azerbaijan - sebahagian besar penduduknya beragama Islam.

Berikutan kemunculan negara baru ini, pemerintah Malaysia menunjukkan minat untuk merintis laluan persahabatan, kebudayaan dan perdagangan di rantau yang baru dibuka kepada dunia luar itu.

Kementerian Luar, ketika itu diterajui Dato' Abdullah Ahmad Badawi, memulakan inisiatif untuk menghulurkan 'tangan persahabatan' dengan negara-negara baru itu. Kementerian berkenaan mempelawa wartawan Malaysia untuk menyertai rombongan tinjauan yang pertama dari negara Asean itu.

Entah kenapa secara tidak semena-mena saya dipilih oleh Berita Harian untuk menyertai rombongan itu. Ini kerana mungkin sebelum itu saya telah menulis sejumlah artikel yang menggambarkan betapa umat Islam Soviet Union begitu berkobar-kobar untuk merdeka dan kembali dalam pangkuan dunia Islam.

Pergerakan pembebasan umat Islam Soviet pada dekad terakhir abad lalu bukan bermula di enam republik Asia Tengah itu, sebaliknya boleh dikatakan bermula dengan penduduk Chechnya mengisytiharkan kemerdekaan mereka pada tahun 1990.

Disebabkan itulah tugasan pertama saya ke luar negara, saya menjadi cukup bimbang, lebih-lebih lagi saya diperlukan ke Moscow, ibu kota bekas gergasi komunis itu, sebelum ke republik Asia Tengah.

Pada hari ditetapkan (bulan Mei 1992) saya pun menaiki pesawat Aeroflot dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Saya tidak kenal sesiapa pun, hanya berpegang dengan jaminan pegawai Kementerian Luar bahawa ada petugas Kedutaan Malaysia di Moscow akan menunggu di sana.

Kata orang pesawat Aeroflot adalah penerbangan paling bahaya di dunia. Layanan yang diberikan pun kasar. Pendeknya, tidak ramai penumpang memilih untuk menggunakan perkhidmatan Aeroflot.

Saya dapati sesetengah dakwaan itu betul. Layanan yang diberikan memang kasar malah hidangan arak 'begitu mewah' dalam pesawat ini. Saya tengok sesetengah penumpang kulit putih tidak renggang daripada botol arak. Aroma minuman keras begitu kuat menusuk hidung.

Saya duduk bersebelahan seorang lelaki pertengahan umur dari Australia. Gayanya macam 'Crocodile Dundee' - watak pemuda kulit putih yang tinggal di pedalaman negara itu dalam sebuah filem yang masyhur ketika itu.

Saya bertanya khabar dan akhirnya kami leka berbual. Dia bertanya kenapa saya tidak minum. Saya katakan sebagai seorang Muslim, saya tidak minum. Dia tidak ambil kisah dan menceritakan itu bukan kali pertama dia ke Moscow.

Saya katakan bahawa itulah kunjungan pertama saya ke negara bekas komunis itu. Kami terus berbual sehinggalah kapal terbang mendarat di Dubai untuk mengisi minyak dan mengambil penumpang baru.

Di Lapangan Terbang Dubai, saya duduk sendirian memerhatikan gelagat penumpang lain. Ketika itu musim haji, kelihatanlah ramai jemaah yang duduk berkumpul-kumpul. Ada yang duduk saja di lantai dengan pakaian ihram mereka. Ada jemaah yang kelihatan macam orang Melayu dan ada berkulit hitam - yang saya agak dari negara di benua Afrika.

Saya menghampiri sekumpulan jemaah yang kelihatan macam orang Melayu dan menyapa mereka. Kumpulan jemaah itu berkata mereka dari Indonesia, menunggu sebentar di lapangan terbang itu sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah.

Dalam saya berleka-leka, saya teringat saya belum solat sejak berlepas pada kira-kira jam 6.00 petang di Subang. Ertinya saya terlepas solat Maghrib dan kini waktu Isyak mengikut waktu Dubai. Saya pun bertanyakan jemaah haji dari Indonesia di mana surau. Mereka menunjukkannya dan malam itu buat pertama kalinya saya meletakkan dahi di bumi Tanah Arab.

Perjalanan dari Dubai ke Moscow tidak terganggu. Cuma saya lihat penumpang pesawat semakin hebat menikmati minuman keras. Selepas puas minum, sesetengahnya tertidur dan berdengkur dengan kuat sekali.

Saya fikir itulah sebabnya mengapa sesetengah orang tidak suka menaiki penerbangan Aeroflot tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan saya hanya diberitahu mengenai 'keburukan' berkenaan selepas tiket penerbangan berada dalam tangan!

Hati saya berdetak ketika keluar dari pesawat di Lapangan Terbang Moscow. Akhirnya, aku sudah berada di Kremlin, bisik hati saya. Jangan-jangan ada 'spy' ikut aku. Mana tahu ada 'spy' KGB. 'Spy' Russia ini bukan boleh buat main-main - mereka digambarkan amat ganas macam dalam filem James Bond 'The Spy Who Loves Me' atau 'Moonraker', fikir saya.

Kalau berada di rantau orang, ikutlah resmi orang rantau itu. 'When in Rome, do as what the Roman's do'. Peribahasa Melayu pula menyebut; masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak dan masuk kandang harimau mengaum. Penumpang lain berbaris, saya pun berbaris. Penumpang lain mengambil bagasi mereka, saya pun mengambil bagasi saya. Penumpang lain berbaris sekali lagi, saya pun turut berbaris. Kali ini untuk pemeriksaan kastam.

Pegawai yang berpakaian macam tentera di kaunter tidak senyum langsung. Wajahnya serius, tegang. Dia membelek-belek pasport saya macam tidak pernah tengok pasport Malaysia sebelum itu. Selepas merenung saya, dari hujung rambut sampai hujung kaki, dia menyerahkan pasport itu dan menyuruh saya mengisi borang perisytiharan jumlah wang yang dibawa masuk ke Russia.

Lama juga saya hendak mengisi borang itu. Di satu muka borang itu adalah dalam bahasa Russia dan sebelah lagi bahasa Inggeris. Terkial-kiallah saya mengisinya, kerana butiran perlu dibuat secara terperinci.

Selepas melepasi pemeriksaan kastam, saya menjadi cemas. Saya mula memikirkan apa yang hendak dibuat jika pegawai Kedutaan Malaysia tidak datang. Di rumah lagi pun saya sudah memikirkan kemungkinan itu. Saya berusaha mencari alamat dan nombor telefon Kedutaan Malaysia dan menulisnya di atas sebuah kad. Jika timbul masalah, saya akan menunjukkannya kepada pemandu teksi dan menyuruhnya membawa saya ke sana.

Saya juga telah membuat salinan pasport kerana berpendapat jika pasport itu dirampas atau tercicir, saya mempunyai salinannya. Dengan cara itu, saya fikir, sekurang-kurangnya saya ada bukti pengenalan diri, dan tidaklah saya 'terkontang-kanting' dan 'dijual' di bumi yang begitu asing itu.

Kebimbangan saya itu nyata tidak berasas. Seorang lelaki berwajah Melayu kemudian menegur saya. Ternyata dia pegawai dari Kedutaan Malaysia. Alangkah leganya, rasa hati saya.

Bersama seorang lagi petugas yang menunggu dalam kereta, mereka membawa saya ke menyusuri keluar dari lapangan terbang, seterusnya ke Moscow. Dari dalam kereta, saya amati Russia tidak menepati gambaran yang ada dalam kepala saya. Saya ingatkan sebagai 'super power' (kuasa besar), tentulah bangunan di sana hebat-hebat dengan lebuh raya bersimpang-siur.

Rupanya tidak. Lapangan terbangnya kecil saja manakala lebuh rayanya 'kosong'. Di tepi lebuh raya terdapat banyak tanah terbiar dan kawasan pertanian dengan pondok-pondok usang. Seakan-akan bermimpi saja layaknya. Betulkah saya kini berada di Moscow, ibu kota Russia yang digambarkan seteru terkuat Amerika?

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

Monday, May 4, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 7: Melahirkan Harian Metro

Pada bulan Ogos 1990, tentera Iraq secara tiba-tiba menceroboh Kuwait dan menakluk negara itu. Selepas peristiwa ini, berlaku pergolakan paling hebat di Timur Tengah, malah dunia, yang dinamakan 'Krisis dan Perang Teluk'.

Perang ini membuka dimensi baru dunia kewartawanan kerana buat pertama kalinya, penduduk dunia berpeluang menyaksikan perang ini secara langsung di kaca TV masing-masing. Wartawan Cable News Network (CNN), Peter Arnett menjadi terkenal kerana membuatkan laporan langsung dari medan perang iaitu di Baghdad.

Keghairahan membuat laporan terkini juga menjangkiti wartawan Berita Harian. Bagi pembaca bahasa Inggeris, mereka berpeluang mengikuti laporan terkini pada sebelah petang melalui akhbar 'The Malay Mail' tetapi bagi pembaca Melayu, pada masa itu belum ada akhbar harian yang dikeluarkan pada waktu petang.

Pengurusan Berita Harian dengan segera menggunakan kesempatan yang terbuka luas itu untuk menerbitkan keluaran khas sebelah petang yang membuatkan laporan terkini mengenai Perang Teluk. Keluaran khas itu diedarkan serentak dengan akhbar 'The Malay Mail'.

Dengan wujudnya keluaran khas itu, bermakna buat pertama kalinya, wartawan akhbar berbahasa Melayu 'berpeluang' untuk bekerja pada waktu tengah malam hingga subuh yang biasanya digunakan untuk 'berdengkur' kerana akhbar petang itu perlu disiapkan awal pagi.

Disebabkan keluaran khas itu membabitkan berita mengenai Perang Teluk, kumpulan wartawan pertama yang terpaksa bersengkang mata adalah pengarang, penyunting dan penterjemah. Saya termasuk dalam kumpulan penterjemah, jadi terpaksalah saya memulakan tugas jam 4.00 pagi.

Untuk bangun pada jam 3.00 pagi sebagai persiapan ke pejabat bukanlah mudah. Ketika dalam perjalanan ke pejabat, pelbagai peristiwa dialami seperti berselisih dengan pemandu mabuk di samping suasana sunyi-sepi di sesetengah jalan raya.

Selepas berakhirnya Perang Teluk, penerbitan keluaran khas itu dihentikan. Tetapi pengalaman berharga dan keghairahan untuk mengisi 'kekosongan' bahan bacaan petang dalam bahasa Melayu tidak dapat disekat lagi.

Selepas menghadapi pelbagai rintangan, akhirnya, terbitlah akhbar petang Melayu pertama iaitu Harian Metro pada bulan Mac 1991. Akhbar ini bukan lahir begitu saja tetapi membabitkan pengorbanan besar daripada kumpulan pertama pekerjanya, terutama pengarang, pemberita dan penyunting.

Saya adalah salah seorang penyunting yang terbabit dalam penyediaan dan reka bentuk muka surat untuk berita luar negaranya. Untuk bermula daripada kosong (tiada apa-apa), petugas perlu mengorbankan banyak masa untuk melakukan pelbagai percubaan, termasuk dari segi pemberitaan, persembahan, reka letak (page-making) dan sebagainya. Masalah utama, sebahagian petugas adalah kakitangan baru yang tidak mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja penerbitan akhbar.

Dengan berbekalan beberapa kerat petugas yang mempunyai pengalaman di Berita Harian, terpaksalah kami bersengkang mata untuk menerbitkan Harian Metro. Sebagai akhbar petang, kebiasaan dalam mengendalikan Berita Harian perlu diketepikan.

Misalnya, bagi pemberita, mereka perlu membuat laporan yang berbeza daripada Berita Harian, menulisnya pada sebelah malam malah ada yang terpaksa membuat liputan kejadian yang berlaku selepas tengah malam sehingga subuh.

Bagi kumpulan penyunting pula, mereka diperlukan memulakan kerja pada jam 5.00 pagi. Sebagai penyunting berita luar negara, saya memulakan kerja mulai jam 4.00 pagi. Ini kerana saya terpaksa memilih, menterjemah dan kemudian menyelesaikan kerja-kerja reka letak secara sendirian dan semua kerja-kerja ini perlu dibereskan sebelum pukul 8.00 pagi.

Urusan menyiapkan reka letak muka surat di Harian Metro dibahagikan kepada dua bahagian, satu yang bersifat semasa (current) manakala satu lagi membabitkan laporan dan rencana yang reka letak muka suratnya boleh disiapkan lebih awal (advance pages). Disebabkan keadaan ini, tugas seseorang penyunting itu tidak tamat sekalipun akhbar terbitan untuk hari berkenaan sudah dicetak, biasanya mulai jam 9.00 pagi.

Penyunting juga diperlukan untuk menyiapkan 'advance pages', yang biasanya berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Tetapi disebabkan ketika itu, sistem 'manual' masih digunakan (bromide perlu ditampal), seseorang penyunting itu terpaksa menunggu jurureka letak menyiapkan kerja-kerja itu, kadang-kala sehingga jam 5.00 atau 6.00 petang.

Ini menyebabkan seseorang penyunting itu terpaksa pulang lewat petang atau pada waktu malam sedangkan sebelum subuh esoknya, dia diperlukan untuk berada di pejabat semula.

Pada peringkat awal, ini adalah antara 'kerja-kerja gila' yang terpaksa dilakukan oleh penyunting. Pengorbanan mereka amat besar, apa tidaknya, keluar rumah untuk bekerja jam 3.00 atau 4.00 pagi dan balik lewat petang atau malam. Kata orang, keluar rumah 'tidak nampak matahari dan balik rumah pun tidak nampak matahari'.

'Kerja-kerja gila' ini dilakukan enam hari seminggu (Harian Metro pada peringkat awalnya terbit enam kali seminggu tanpa edisi hari Ahad).

Dalam melakukan 'kerja-kerja gila' ini tentulah penghidupan rumah tangga seseorang itu terjejas dengan teruknya.

Saya bernasib baik kerana isteri saya juga adalah bekas pelajar kewartawanan dan pernah bekerja dalam industri persuratkhabaran. Jadi dia memahami apa yang terpaksa saya lalui, tetapi pada masa yang sama dia menyindir saya dengan berkata: "Kahwinlah saja dengan surat khabar itu dan buatlah rumah tangga di sana!"

Begitulah sedikit sebanyak pengorbanan kami dalam penerbitan Harian Metro itu boleh dilihat berdasarkan slip gaji yang kami terima. Ada antara kami yang menerima bayaran kerja lebih masa lebih 30 hari - ada sebanyak 33 hari dan ada 35 hari - sedangkan dalam sebulan seseorang wartawan diperlukan bekerja kira-kira 20 hari saja (5 hari seminggu)!

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3 Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.